Skip to main content

Kripto meranap: Berapa cepat boleh pulih?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

“SAYA nak tutup akaun. I suggest you do the same...” lebih kurang begitulah mesej daripada pedagang mata wang kripto, memaksa saya membalas dengan soalan `apa kes...?’

 

Beliau memberi penjelasan panjang lebar juga tetapi perkataan yang paling kerap diulangnya ialah volatility atau dalam bahasa Melayu, kemeruapan yang diterjemah lagi sebagai turun naik pasaran.

 

Versi volatility yang diperjelaskan oleh pedagang ini lebih ekstrem. Katanya, pasaran makin sukar diramal, bila dijangka panas rupanya hujan lebat dan kilat, membawa kepada ribut.

 

Bukannya tidak pernah pasaran kripto dilanda ribut.``Ya... ada turun naik. Tapi itu bukan ribut pun. Yang dikhuatiri ialah ribut ini berskala F1...tidak pasti bila tetapi tahun 2022”.

 

Dan perbualan ini berlangsung Januari lepas. Bulan Jun, ribut yang diramal menjadi realiti. Mujur ikut cakap dia.

 

Kripto cemerlang tahun 2021

Tahun 2021 adalah salah satu tahun terbaik untuk pelabur kripto. Walaupun Bitcoin telah mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak AS$69,000 pada November 2021, keseluruhan permodalan pasaran Bitcoin berjumlah hampir AS$3 trilion.

 

Penganalisis meramalkan Bitcoin akan melepasi paras AS$100,000 dolar sebelum akhir tahun. Mereka tidak tahu bahawa ribut terburuk melanda dan meranapkan banyak harta benda.

 

Januari 2022 menyaksikan pasaran kripto jatuh di bawah paras AS$2 trilion dan selepas itu, semuanya menurun tanpa pemulihan sedikit pada bulan April.

 

merrepak

 

Semasa Merrepak ini ditulis, mata wang kripto terbesar di dunia, Bitcoin, didagangkan pada AS$19,165 dengan penurunan 7 hari sebanyak 8.47%. Ini hampir ke paras terendah dalam beberapa tahun.

 

Secara keseluruhan, Bitcoin telah merosot kira-kira 70% dalam nilai daripada rekod tertinggi sepanjang masa tahun lepas pada bulan November, manakala token lain seperti Dogecoin, Avalanche, dan Solana, antara lain, telah dihentam badai sehingga 90%. Setakat ini, jumlah had pasaran untuk kripto kini berjumlah $860 bilion.

 

Punca `crypto crash’

 

  1. Rizab Persekutuan AS

Ramai pakar yang telah mengulas dan menulis dalam ruang kripto selama bertahun-tahun menganggap inflasi global sebagai salah satu punca utama yang bertanggungjawab untuk situasi kripto meranap (crypto crash) ini.

 

Rizab Persekutuan AS telah cuba melawan perangkap kemelesetan dengan menaikkan kadar faedah, yang merupakan satu daripada kenaikan terbesarnya dalam 28 tahun. Walaupun pada mulanya pasaran kripto tidak terganggu oleh kenaikan 0.75%, ramai penganalisis pasaran percaya ia telah membawa kepada kadar inflasi yang lebih teruk.

 

Pengasas Refleks, Ajeet Khurana berkata, di peringkat global, inflasi telah memaksa bank pusat mengurangkan kecairan dalam pasaran dengan menaikkan kadar faedah.

 

``Ini adalah sebab utama kejatuhan dalam pasaran kripto. Walau bagaimanapun, sementara token hanya mengalami kenaikan harga, dan berkemungkinan akan muncul semula sebaik sahaja kemerosotan berakhir, token yang lebih kecil mungkin tidak akan bertahan daripada kemerosotan itu,’’ katanya.

 

feds

 

 

  1. Pasaran saham dunia merudum

Pasaran saham juga telah merosot ke dalam wilayah `beruang’ - yang bermaksud penurunan 20% daripada paras tertinggi baru-baru ini. Walaupun S&P 500 turun lebih daripada 21%, Nasdaq telah jatuh 33% pada 2022.

 

Di Malaysia, setakat ini indeks FBM KLCI turun 7.4%, kejatuhan ketara berbanding tempoh sama pada 2020 iaitu hanya 5.53% berikutan kemuncak pandemik yang melanda ketika itu.

 

Pada 29 Jun 2022, urus niaga berakhir pada 1,451.48 iaitu paras terendah sejak Mei 2020. Hanya minggu lepas, ia merosot kepada serendah 1431.1 pada 22 Jun.

 

Namun berbanding pasaran Asia lain, aliran FBM KLCI tidaklah seburuk yang dicatat rakan pasaran negara lain. Korea Selatan, Kospi jatuh -20.14% dipengaruhi penurunan mendadak dalam stok semikonduktor.

 

Ini diikuti oleh penurunan Indeks Ho Chi Minh Vietnam susut -18.70%, Indeks Taiwan -16.35%, Indeks Shenzhen -13.27%, Indeks Filipina -11.50%, Nikkei 225 -6.90%, Indeks Hang Seng HK -5.99% dan Indeks SET Thailand -4.31%.

 

Hanya dua pasaran serantau yang mencatatkan pulangan positif iaitu Indeks Komposit Jakarta naik 5.48% dan Indeks Straits Times Singapura naik 0.36%.

 

Satu rekod buruk berlaku di Bursa Malaysia di mana sebanyak 100 Indeks teratas bursa mencatat kejatuhan di bawah paras 10,000 buat kali pertama  pada 22 Jun iaitu 9,952.340 mata, paras kejatuhan yang tidak dilihat sejak Mei 2020. Penurunan itu sebanyak 8.42%.

 

merrepak

 

 

  1. Kerajaan tidak suka kripto

Banyak kerajaan di seluruh dunia sedang mencari untuk menyelaraskan kripto.

 

Salah satu sebab banyak kerajaan berhati-hati tentang crypto adalah kerana sifatnya yang terdesentralisasi dan sejarah transaksi yang mustahil untuk dijejaki.

 

Pada 15 Disember 2021, sidang Parlimen dimaklumkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf penggunaan mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum sebagai mata wang yang sah diperlakukan untuk digunakan dalam urus niaga harian.

 

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata mata wang kripto juga bukan instrumen pembayaran yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) buat masa ini.

 

"Mata wang kripto tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran disebabkan mata wang ini tidak menunjukkan ciri sejagat wang.

 

"Secara umumnya, mata wang kripto bukan penyimpan nilai dan medium pertukaran yang baik disebabkan keadaan mata wang kripto yang terdedah kepada turun naik harga yang tidak menentu dan pendedahan kepada ancaman siber dan kekurangan daripada segi boleh skala," katanya.

 

Meskipun tidak `diiktiraf’, urus niaga pelaburan kripto tidak dihalang. Luno menjadi entiti pertama menerima kelulusan penuh Suruhanjaya Sekuriti untuk menawarkan platform perkhidmatan tukaran mata wang kripto di Malaysia.

 

Pening bab ini. Ada sahabat memberi analogi: “Kripto macam rokok. Kementerian Kesihatan kata haram, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri kata okay”.

 

merrepak

 

Sekurang-kurangnya dua negara di dunia sekarang mengenakan larangan menyeluruh aktiviti kripto iaitu China dan Mesir.

 

Kebimbangan yang wujud bukan boleh dibuat tidak tahu. Pemindahan mata wang kripto amat sulit dijejaki dan boleh diguna untuk apa sahaja tujuan. Baru-baru ini, EU berkata undang-undang baharu telah dipersetujui di mana pemindahan aset kripto akan dikesan dan dikenal pasti untuk mencegah pengubahan wang haram, pembiayaan pengganas dan jenayah lain.

 

Kebaikan daripada langkah seumpamanya ialah dengan peraturan dalam kripto, pelabur boleh dilindungi daripada jumlah kerugian yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat kejatuhan pasaran kripto dan pedagang penyangak atau apa saja faktor dapat dikesan.

 

Kripto meranap

Satu daripada dana lindung nilai kripto terbesar, Three Arrows Capital (3AC) bakal gulung tikar selepas ia gagal membuat pembayaran untuk pinjaman 15,250 Bitcoin dan USDC bernilai AS$350 juta.

 

Dana lindung nilai kripto bernilai AS$10 bilion adalahpelabur di dalam Terra dan telah membuat pertaruhan leveraged pada pelbagai token yang sedang bergelut, termasuk Bitcoin, Ether dan Solana.

 

 Three Arrows Capital (3AC)

 

Nama besar lain seperti Voyager dan BlockFi juga telah memfailkan kebankrapan.

 

Banyak nama besar dalam ruang pertukaran kripto tidak mempunyai pilihan lain selain memberhentikan sebahagian daripada tenaga kerja mereka.

 

Satu bursa kripto terbesar, Crypto.com, membuang sejumlah 400 pekerja pada 16 Jun, manakala Coinbase mengumumkan ia memberhentikan 18% daripada jumlah tenaga kerjanya; iaitu 1,100 pekerja.

 

Laporan Coin Telegraph mengatakan bahawa lebih daripada 80,000 pelabur Bitcoin telah dibatalkan status jutawan mereka dengan hanya 26,284 alamat yang dilaporkan mengandungi pegangan bernilai lebih daripada AS$1 juta.

 

Ia merupakan penurunan sebanyak 75% dalam tempoh 9 bulan yang lalu. Juga, bilangan Bitcoin Whales (alamat yang memegang lebih daripada AS$10 juta nilai Bitcoin) menurun dengan ketara daripada 10,587 alamat kepada hanya 4,342.

 

merrepak

 

Masihkah kripto ada hayat?

Masih! Apa yang berlaku sekarang diterima oleh masyarakat pelabur kewangan sebagai kitaran semata-mata. Ini masa menjunam. Akan tiba masanya pasaran kripto, saham dan sebagainya kembali pulih.

 

Persoalannya, bila dan berapa cepat pemulihan itu boleh berlaku? Dan berapa lama kerugian ini boleh ditanggung... - DagangNews.com

 

 

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu yang pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 dan menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Fahrenheit - Kasih Orang Muda berulang-ulang kali.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MERREPAK