Kurang penambahbaikan terhadap ESG, RHB Research kekal 'jual' saham FGV | DagangNews Skip to main content

Kurang penambahbaikan terhadap ESG, RHB Research kekal 'jual' saham FGV

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 0gos - RHB Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap FGV Holdings Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.25 daripada RM1.80 sesaham sebelum ini. 

 

Menurut firma itu, walaupun mempunyai laporan kemampanan yang berasingan, tidak banyak pendedahan atau penambahbaikan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) telah dibuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini – yang menjamin skor ESG lebih rendah sebanyak 2.4 (daripada 2.6).

 

"FGV juga nampaknya mahal pada tahap semasa dengan saham didagangkan pada 9 kali harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), iaitu pada hujung yang lebih tinggi daripada julat pemain industri lain iaitu 6 hingga 9 kali," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu telah menilai semula skor ESG dengan melihat kemajuan yang dicapai oleh industri, mengenal pasti kekurangan dan sebarang ruang untuk penambahbaikan.

 

Berdasarkan analisisnya, RHB Research menekankan bahawa, walaupun pendedahan yang lebih baik mengenai maklumat berkaitan ESG telah dibuat selama ini, kemajuan dalam mengurangkan isu berkenaan agak perlahan.

 

Oleh itu, ia telah menaikkan markah ESG bagi beberapa syarikat perladangan yang telah mencapai kemajuan tetapi terdapat beberapa pemain industri secara relatifnya tidak bergerak dalam usaha ESG mereka, manakala yang lain telah mengurangkan pendedahan.

 

Bagi harga minyak minyak sawit mentah, RHB Research menjangkakan paras stok akan kekal ketat dalam tempoh 2 hingga 3 bulan akan datang, dengan kemungkinan sehingga akhir suku ketiga.

 

Ini mendorongnya mengurangkan unjuran harga minyak sawit mentah bagi 2022 kepada RM5,100 satu tan metrik berbanding RM5,300 satu tan metrik sebelum ini. 

 

Namun, harga minyak sawit mentah mungkin akan terus menurun apabila asas-asas bertambah baik dengan menjangkakan kekurangan buruh dapat diselesaikan dan pengeluaran minyak bijian Ukraine dieksport semula.

 

"Bagaimanapun, sokongan daripada peningkatan mandat biodiesel dan permintaan biodiesel akan mengekalkan harga minyak sawit mentah melebihi RM3,000 satu tan metrik dalam jangka sederhana.

 

"Kami mengurangkan anggaran harga komoditi ini kepada RM3,900 satu tan metrik bagi 2023 daripada RM4,300 satu tan metrik sebelum ini. Unjuran RM3,500 satu tan metrik bagi 2024 kekal tidak berubah.

 

"Berdasarkan faktor-faktor ini, kami mengurangkan unjuran untung bersih FGV bagi FY22 hingga FY24 sebanyak 1 hingga 20%," jelasnya.

 

Setakat 10.29 pagi ini, harga saham FGV menokok 1 sen atau 0.66% kepada RM1.52 dengan 158,200 saham diniagakan. - DagangNews.com