KWSP catat RM34.05 bilion pendapatan pelaburan | DagangNews Skip to main content

KWSP catat RM34.05 bilion pendapatan pelaburan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR  24 Sept. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021, meningkat sebanyak RM6.79 bilion atau 25% daripada RM27.26 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

KWSP berkata, jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku tahun kedua bagaimanapun susut kepada RM14.77 bilion, RM0.35 bilion lebih rendah berbanding 2020 dengan ekuiti sebagai penyumbang utama sebanyak RM7.89 bilion, merangkumi 53% daripada jumlah keseluruhan.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menyumbang pendapatan yang stabil sebanyak RM5.28 bilion, atau 36% kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku kedua tahun kewangannya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi kukuh pada separuh pertama 2021 dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset yang lain, ketika pasaran global mengalami kebangkitan semula.

“Pelaksanaan program vaksin COVIS-19 yang sedang giat dijalankan, di samping pembukaan semula sektor ekonomi telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.

“Bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baharu muncul adalah lebih lembab berikutan peningkatan kes jangkitan di beberapa negara di Asia Tenggara disusuli kejatuhan harga saham ketara akibat tindakan China mengetatkan peraturan ke atas sesetengah sektor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Segmen Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang KWSP masing-masing mencatatkan pendapatan RM1.4 bilion dan RM0.2 bilion.

Setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37% daripadanya adalah pelaburan di luar negara.

Sementara itu Amir Hamzah turut menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan persaraan rakyat, terutamanya apabila 46% ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.

“Pandemik telah mengakibatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36% kepada 27% susulan pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan semasa pandemik ini.

“Fokus KWSP adalah untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka. Kami akan fokus kepada Alokasi Aset Strategik dan peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan,” katanya. -DagangNews.com