KWSP kurangkan pegangan dalam Hartalega kepada 6.93%, jual 4.32 juta saham | DagangNews Skip to main content

KWSP kurangkan pegangan dalam Hartalega kepada 6.93%, jual 4.32 juta saham

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pegangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Hartalega Holdings Bhd. berkurangan kepda 6.93% pada Jumaat lalu apabila dana persaraan itu melupuskan 4.32 juta saham dalam syarikat pengeluar sarung tangan getah itu.

 

Dengan pegangan pada 6.93% itu ia terdiri daripada 237.52 juta saham, menurut Hartalega dalam maklumannya di Bursa Malaysia pada Rabu.

 

Sebelum urus niaga terbaharu itu, KWSP memiliki 7.056% pegangan dalam Hartalega, seperti dinyatakan dalam makluman pada Selasa.

 

Sektor sarung tangan getah Malaysia meraih manfaat daripada pandemik COVID-19 yang tercetus sejak awal 2020 apabila permintaannya terus melonjak.

 

Bagaimanapun permintaan yang dipacu pandemik itu, kini mula mereda berikutan kadar vaksinasi di seluruh dunia menyaksikan penularan COVID-19 dapat dikawal.

 

Sentimen sedimikian menyebabkan harga saham syarikat pengeluar utama sarung tangan getah seperti Hartalega turut terjejas. Selain itu, ia juga memberi kesan kepada Top Glove Corp. Bhd., Supermax Corp. Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd.

 

Dalam laporan kewangan suku pertama berakhir 30 Jun 2022 yang diumumkan Selasa lalu, untung bersih Hartalega merudum 96% kepada RM88.28 juta daripada RM2.26 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya apabila pendapatannya pada suku berkenaan merosot dengan ketara. 

 

Pada suku berkenaan, pendapatannya susut 78.3% kepada RM845.67 juta daripada RM3.9 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2022.

 

Penurunan itu terutamanya disebabkan normalisasi harga jualan purata (ASP) dan penurunan jumlah jualan sebanyak 28%, berbanding suku pertama tahun sebelumnya apabila kedua-dua ASP dan permintaan mencecah rekod tertinggi ketika pandemik COVID-19. 

 

Penganalisis turut memberi amaran bahawa Hartalega mungkin berisiko terkeluar daripada konstituen KLCI dalam semakan separuh tahunan FTSE Bursa Malaysia KLCI yang akan datang sekiranya harga sahamnya terus merosot, kerana ia kini berada di tempat ke-35 (berdasarkan penutupan 9 Ogos). 

 

Setakat 3.50 petang ini, harga sahamnya 17 sen atau 6.94% kepada RM2.28 sesaham dengan 20.21 juta saham diniagakan menjadikan permodalan pasarannya pada RM7.81 bilion. - DagangNews.com