Logo dan tema HKHM 2022 dilancar, inspirasi dari Aspirasi Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Logo dan tema HKHM 2022 dilancar, inspirasi dari Aspirasi Keluarga Malaysia

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kiri) beramah mesra dengan tetamu pada majlis pelancaran logo Hari Kebangsaan Ke-65 di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Oleh FAIZAL ZAKARIA

MENJELANG bulan Ogos setiap tahun, Malaysia tidak pernah gagal dalam menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan sejak negara menyambut kemerdekaan pada tahun 1957.

 

Kemeriahan bulan kemerdekaan tidak hanya disambut pada tanggal 31 Ogos semata-mata, tetapi telah bermula seawal 1 Ogos dan berlarutan sehingga 30 September bersempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September.

 

Walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 sehingga memaksa rutin kehidupan masyarakat berubah, namun kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tetap berlangsung walaupun dalam suasana norma baharu.

 

Tahun ini, selepas negara hampir bebas daripada cengkaman pandemik COVID-19, jawatankuasa induk pelaksanaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 (HKHM 2022) yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) telah merencana pelbagai program dan atur cara.

 

Berada di kedudukan pertama dalam carta program HKHM 2022, majlis pelancaran logo dan tema sambutan tersebut telah berlangsung pada 1 Julai lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

Annuar pada majlis tersebut berkata, majlis pelancaran logo dan tema itu bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat bersempena sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini, sekali gus menyebarluaskan pemakaian logo dan tema kepada semua pihak.


 

kkomm

 


“Saban tahun, sambutan bulan kemerdekaan pasti akan memberi makna tersendiri kepada rakyat Malaysia yang diterjemahkan melalui pemilihan logo dan tema.

 

“Logo dan tema Hari kebangsaan dan Hari Malaysia adalah satu simbol dan elemen penting dalam pembinaan sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya.

 

“Justeru, majlis pelancaran logo dan tema pada hari ini merupakan permulaan publisiti ke arah Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 30 Julai ini,” katanya.

 
 

kkomm
Para tetamu majlis pelancaran logo  Hari Kebangsaan Ke-65  mengangkat logo yang tertera slogan #TeguhBersama di  Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.


 

Menurut Annuar, pemilihan logo pada tahun ini berkonsepkan pembangunan negara dalam aspek infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.

 

Ini selaras dengan hasrat kerajaan khususnya dalam usaha menjayakan MyDIGITAL dan seterusnya melengkapkan pelaksanaan program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memanfaatkan seluruh Keluarga Malaysia, katanya.

 

Pemilihan tiga jalur warna di dalam logo iaitu warna merah, biru dan kuning merupakan cerminan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang mempunyai jati diri dan semangat patriotik serta hidup dalam keadaan yang harmoni.

 

“Logo ini juga menterjemahkan keterbukaan rakyat Malaysia dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian demi kemajuan bersama,” ujarnya.

 

Manakala pemilihan tema HKHM 2022 iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ pula kata beliau, adalah selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

 

Jelasnya , ‘Keluarga Malaysia’ merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran manakala frasa ‘Teguh Bersama’ mendukung maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif serta mampan.


 

kkomm

 

kkomm




Menurut  Annuar lagi, bersempena dengan sambutan HKHM 2022, kementeriannya juga telah memperkenalkan tanda palang atau tanda pagar (hashtag) utama bagi merujuk kepada sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

 

Kesemua tanda palang tersebut ialah #KeluargaMalaysiaTeguhBersama, #TeguhBersama, #KeluargaMalaysia, #KKOM, #HKHM2022 dan #merdeka360.

 

Tambah beliau, Jabatan Penerangan Malaysia juga turut mewujudkan Portal Merdeka 360 iaitu http://merdeka360.my/ yang merupakan hab kepada informasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

 

Melalui portal itu katanya, orang ramai juga boleh mendapatkan lagu Negaraku, lagu-lagu patriotik, tatacara pemasangan bendera, e-buku dan logo Hari Kebangsaan serta kit promosi HKHM 2022 dalam pelbagai format.

 

Malah, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pertandingan-pertandingan sempena sambutan HKHM yang dianjurkan pada tahun ini. – DagangNews.com