KUALA TERENGGANU 15 Okt – Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT 2), pengendali lebuh raya bagi Lebuhraya LPT2 menyarankan orang ramai agar merancang perjalanan mereka lebih awal.
Ini kerana LPT 2 menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya tersebut pada hujung minggu ini diikuti dengan cuti Maulidur Rasul pada Selasa minggu hadapan, susulan kebenaran perjalanan merentas negeri yang diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini.
Bagi orang ramai yang bercadang melakukan perjalanan di lebuh raya, LPT 2 tetap komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan selesa kepada pelanggan.
Pengurus Perniagaan Wilayah, LPT 2 Sdn Bhd., Suhaimi Samat berkata, pelanggan lebuh raya yang merancang percutian untuk menikmati pantai yang indah di Terengganu atau menuju ke kampung halaman, mereka dinasihatkan untuk mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka.
Selain itu, mendaftar di Aplikasi MySejahtera, memeriksa suhu badan di tempat yang ditetapkan dan menjaga jarak yang selamat apabila beratur untuk mendapatkan makanan atau ketika menggunakan kemudahan di lebuh raya LPT 2.
‘’Kami juga mengalu-alukan semua pelanggan lebuh raya untuk singgah di mana-mana R&R untuk berehat selepas perjalanan yang panjang.
‘’Kami juga menggalakkan pelanggan lebuh raya untuk menyokong rakan peniaga tempatan kami di lima R&R dan empat hentian sebelah di lebuh raya LPT2 dengan membeli produk tempatan mereka sebagai hadiah untuk dibawa pulang kepada keluarga dan rakan taulan.
‘’Selain itu, kemudahan awam lain di R&R seperti stesen minyak, surau dan tandas awam juga dibuka 24 jam sehari.
Pelanggan yang telah menerima vaksin lengkap, kini boleh menikmati pelbagai pilihan juadah yang enak ketika berkunjung ke R&R dan hentian sebelah semasa perjalanan mereka.
Untuk pengesahan bagi menikmati makanan di ruang makan medan selera, pelanggan yang telah menerima vaksin lengkap perlu menunjukkan status vaksinasi COVID-19 di Aplikasi MySejahtera ketika membuat pesanan di gerai kendalian rakan niaga yang beroperasi.
Mereka kemudiannya akan menerima pelekat hijau sebelum memasuki ruang makan di medan selera R&R.
“Di samping itu, sekiranya terdapat pertembungan besar dalam kalangan pelanggan di R&R dan penjarakan fizikal boleh terjejas, LPT 2 dan rakan peniaga kami akan menawarkan pembelian makanan untuk dibawa pulang bagi mengelakkan orang ramai bertumpu di satu-satu kawasan,” jelas Suhaimi.
“Bagi memastikan kebersihan, semua kemudahan R&R dan hentian sebelah di LPT2 dibersihkan dan disanitasi mengikut jadual.
Setiap ruang solat di surau mempunyai penanda penjarakan 1-meter termasuk penanda penjarakan di kawasan mengambil wuduk. Pelanggan lebuh raya juga digalakkan membawa kelengkapan solat sendiri seperti sejadah atau telekung untuk wanita, bagi memastikan kebersihan diri terpelihara,” tambah Suhaimi.
Bergantung kepada saiz dan susun atur setiap surau, poster pemberitahuan had bilangan jemaah yang dibenarkan telah dipasang dengan jelas dan pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera diperlukan untuk tujuan pengesanan kontak.
LPT 2 juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan memastikan kad Touch 'n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi untuk memastikan perjalanan yang lebih lancar ketika melalui plaza tol.
Untuk maklumat trafik terkini dan mendapatkan bantuan di lebuh raya, pelanggan boleh menghubungi Talian Bantuan LPT2Line di 1800-88-0220. – DagangNews.com