Skip to main content

Lumpuh separuh badan tidak halang bekas perejam sepak takraw negara genggam ijazah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Bekas perejam pasukan sepak takraw negara, Muhammad Kamal Ishak yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, di sini.

 

Bekas atlet berusia 29 tahun itu menerima ijazah berkenaan daripada Pro Canselor UPM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim.

 

Muhammad Kamal berkata, kemalangan pada Februari 2019 itu berpunca apabila tayar kenderaan yang dipandunya meletup ketika melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan namun isterinya, Nik Nozilawati Nik Wil yang ketika itu mengandung tiga bulan tidak cedera.

 

Beliau berkata, selepas kemalangan itu, beliau hampir berputus asa dan hampir tidak meneruskan pengajian semester tujuh kerana kesukaran untuk bergerak.

 

“Saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan, dan di hospital selama tiga bulan lagi. Ketika itu saya terlalu trauma… jari tak boleh gerak, dari tengkuk ke bawah lumpuh, saya hanya terbaring sahaja.

 

“Namun semangat saya kembali kuat apabila mendapat tahu isteri saya selamat dan anak dalam kandungannya juga selamat.

 

“Ibu dan ayah saya juga tidak pernah berputus asa dengan saya,” katanya yang kini bergerak menggunakan kerusi roda.

 

Muhammad Kamal yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata, selama tujuh bulan, ibunya, Jamilah Mad Jusoh dan bapa, Ishak Taib menjaganya di Kuala Lumpur.

 

Beliau hanya boleh kembali menulis selepas beberapa kali menjalani sesi rawatan fisioterapi.

 

Beliau yang merupakan anak lelaki tunggal daripada empat beradik berkata, Ketua Jabatan di Fakulti Pengajian Pendidikan juga menasihatinya supaya tidak berhenti belajar sebaliknya mendapatkan rawatan pemulihan.

 

"Ketika itu pengajian berlangsung secara dalam talian kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 dan latihan amali saya juga perlu dilakukan secara dalam talian. 

 

"Saya menjalani latihan amali di Sekolah Sukan Negeri Mutiara Impian, Nibong Tebal dan hanya perlu ke sekolah sekali seminggu kerana PKP. 

 

“Tempoh semasa PKP itu memudahkan saya menamatkan pengajian kerana saya tidak banyak bergerak kerana PKP," katanya.

 

Muhammad Kamal mula mewakli negara seawal usia 17 tahun di Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN dan pada 2015 beliau menyertai Sukan Universiti ASEAN dan Kejohanan Dunia Piala Raja-Raja di Thailand pada 2016 selain Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur serta Sukan Asia di Jakarta pada 2018.

 

Beliau berjaya meraih pingat perak di Sukan SEA dan Sukan Asia selain meraih pingat emas di Kejohanan Dunia Piala Raja-Raja di Thailand. 

 

Muhammad Kamal mengakui sangat sedih kerana tidak dapat beraksi di kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) namun berharap menjadi jurulatih atau membuat analisis profesional untuk membantu sukan sepak takraw negara pada masa akan datang. - DagangNews.com