Lupakan keabsahan politik, utamakan usaha pulihkan ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 25 August 2021

LUPAKAN KEABSAHAN POLITIK, UTAMAKAN USAHA PULIHKAN EKONOMI

 

RAKYAT penat dengan pergolakan politik di Malaysia. Dalam waktu yang “nazak” pun sempat untuk bertukar Perdana Menteri dan kerajaan. Oh Malaysiaku!

 

Ingatkan negara berada di zon “tenang dan tenteram” selepas rebutan kepimpinan negara sudah terjawab apabila Datuk Seri Ismail Sabri secara rasmi memulakan tugasnya di Perdana Putra pada 23 Ogos yang lalu.

 

Rupanya masih belum tenang dan tenteram lagi!

 

Lupakan Keabsahan Politik: BN atau PN?

Kabinet pun belum dibentuk, sudah timbul perselisihan pendapat dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sama ada kerajaan baharu akan dikenali sebagai BN ataupun PN.

 

Adakah kerajaan baharu masih kerajaan PN? Mantan Perdana Menteri menyatakan sokongan partinya kepada kerajaan PN yang dipimpin oleh Ismail Sabri. Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Azumu juga menyatakan kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri masih kerajaan PN kerana majoriti ahli Parlimen yang menyokong adalah dari gabungan PN manakala BN hanya 41 sokongan sahaja.

 

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati BN apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyatakan kerajaan dahulu adalah gabungan PN BN, PBS dan GBS dan bukannya PN, dengan alasan bahawa PN sudah berakhir selepas Ismail Sabri secara rasmi menjadi Perdana Menteri ke-9.

 

Inilah yang merisaukan rakyat tentang keabsahan politik negara. Sudah berjaya bentuk kerajaan baharu pun, masih hendak bercakaran.

 

 

 

ismail sabri
AGONG berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, 21 Ogos 2021.

 


 

Tak kiralah hendak namakan apa sekali pun, PN atau BN atau satu penjenamaan baharu sekalipun. Yang penting peranan dan fungsi kerajaan baharu dalam mengemudi negara dalam membawa mandat dan pengharapan rakyat yang tinggi menggunung membawa Malaysia keluar dari kemelut kesihatan dan ekonomi yang perlu diutamakan.

 

Tak habis dengan apakah nama kerajaan, penentuan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet juga terus menjadi perebutan daripada komponen parti kerajaan baharu.

 

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersuara menuntut hak mereka untuk melantik Timbalan Perdana Menteri kepada pemimpin Sabah dan Sarawak dengan alasan pemimpin Sarawak banyak menyumbang sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

 

Kabinet barisan menteri kerajaan baharu belum dipersembahkan kepada KYDM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah untuk diperkenankan lagi dan ia dijangka pada minggu ini.

 

Membentuk Kerajaan Demi Rakyat!

Diharapkan barisan menteri yang dipilih adalah barisan individu yang berkaliber, yang bebas daripada kes mahkamah dan Ismail Sabri juga boleh memilih golongan profesional, teknokrat dan pemimpin muda membarisi “pasukannya”.

 

Ismail juga boleh mempertimbangkan untuk “menjemput kembali tulang belakang kerajaan lama” iaitu Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz, Khairy Jamaludin dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein bagi menguatkan barisan kepimpinan beliau.

 

Jangan gaduh-gaduh, tak kiralah sesiapa pun dilantik menjadi menteri, agenda utama kerajaan dan barisan menteri kabinet seharusnya bertunjangkan matlamat mengakhiri pandemik dan menstabilkan semula ekonomi negara.

 

 

pkp
PERINTAH Kawalan Pergerakan bagi mengekang COVID-19 daripada merebak masuh berkuatkuasa ke hari ini.

 

 

Kestabilan Ekonomi Penting Bagi Negara

Kerajaan baharu perlu memastikan imunisasi berkelompok dicapai segera bagi membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula menjelang suku keempat tahun 2021.

 

Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dibuka untuk membantu peningkatan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Data bulanan KDNK telah menunjukkan pada Jun lalu telah menguncup sebanyak 4.4 peratus.

 

Sejak PKP 3.0 dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu bermula Jun 2021 dan sekatan pergerakan telah memberi kesan buruk kepada ekonomi. Walaupun ada sektor ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi, namun sektor ini telah beroperasi di bawah kapasiti.  Keadaan ini akan mengehadkan dan menampan kesan negatif kepada pertumbuhan semula ekonomi.

 

Ismail Sabri dan barisan Menteri Kabinet baharu perlu segera mengambil langkah “di luar kotak” dan berani membuat keputusan demi menstabilkan semula ekonomi negara.

 

Defisit Fiskal Yang Besar Kekal Lama Adalah Tidak Sihat

Kita berterima kasih kepada kerajaan terdahulu kerana berusaha “menyelamatkan” rakyat dengan pelbagai pelan rangsagan dan inisiatif. Terakhir sekali, kerajaan terdahulu telah memasukkan suntikan fiskal langsung sebanyak RM10 bilion di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bertujuan menyediakan bantuan menyeluruh kepada rakyat.

 

 

volatiliti

 

 

Apakah kesan pengganda?

Kini defisit fiskal Malaysia antara 6.5% hingga 7% daripada KDNK. Jika angka defisit fiskal Malaysia terus meningkat, ia akan menganggu daya saing ekonomi negara dan akan menggagalkan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, yang mana menyasarkan defisit fiskal pada kadar atau kurang daripada 6% pada tahun ini.

 

Kerajaan baharu perlu komited terhadap konsolidasi fiskal jangka sederhana dalam memastikan kemapanan fiskal negara mencapai sasaran.

 

Apa Strategi Kurangkan Defisit Fiskal?

Pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat perlu dilaksanakan oleh kerajaan baharu yang bertujuan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil negara.

 

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah mencadangkan agar memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai sebahagian daripada strategi fiskal jangka sederhana.

 

Cadangan ini pastinya dianggap “cadangan tidak popular” kerana terma kata “GST” ini membawa “kemarahan” yang besar kepada rakyat Malaysia. Tidak ingatkah kita, kerana janji penghapusan GST inilah yang menjadi kunci  tumbangkan Kerajaan BN setelah 60 tahun mentadbir negara.

 

Namun dari sudut pandang kewangan dan ekonomi, jika kerajaan baharu memperkenalkan semula GST kelak, ianya boleh memperbaiki kedudukan kewangan negara dan mengurangkan beban hutang negara dan liabiliti bersyarat dalam strategi fiskal jangka sederhana pasca COVID-19.

 

Akta Tanggungjawab Fiskal (ATF) atau Fiscal Responsibility Act (FRA) 

Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (ATF) atau Fiscal Responsibility Act (FRA) dilihat akan  menambah baik kehematan, tadbir urus dan ketelusan dasar fiskal berdasarkan amalan terbaik global. Hal ini penting bagi negara untuk memastikan kemampanan fiskal dalam tempoh jangka masa panjang.

 

Penggubalan ATF ini selari dengan apa yang telah dibuat oleh kebanyakan negara di dunia termasuk Australia, Brazil, Chile, Ireland, New Zealand, Thailand dan United Kingdom yang telah memperkenalkan undang-undang khusus untuk membuat kawalan ke atas pengurusan kewangan awam.

 

Rang undang-undang juga boleh diwujudkan melalui Akta Perolehan Kerajaan (GPA) yang boleh meningkatkan tadbir urus proses perolehan kerajaan agar selaras dengan prinsip akauntabiliti awam yang telus dan memupuk perolehan lestari melalui penetapan dasar dan peraturan yang menyokong pembangunan ekonomi, sosial serta pengurusan fiskal Kerajaan yang cekap.

 

 

volatiliti

 

 

Faktor Luar Bantu Pulihkan Ekonomi

Kerajaan baharu juga perlu sentiasa berwaspada terhadap risiko yang disebabkan oleh perubahan dalam persekitaran ekonomi global yang boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara.

 

Namun begitu, kesan limpahan luaran (external spillover) dari pemulihan permintaan global, termasuklah aktiviti perdagangan yang terus meningkat dilihat boleh menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

 

Dalam masa yang sama, tumpuan Kerajaan perlu dalam melestarikan Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021–2025) bagi membantu merancakkan semula ekonomi negara melalui dasar fiskal yang mengembang selain dasar monetari yang akomodatif. - DagangNews.com

 

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

Portfolio Tags