Malaysia akan bankrap seperti Sri Lanka? Ini perbezaannya: | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 20 July 2022

Malaysia akan bankrap seperti Sri Lanka? Ini perbezaannya:

 

 

 

KECOH di media sosial yang dikatakan Malaysia akan muflis atau bankrap. Betulkah Malaysia akan bankrap?

 

Nisbah bayaran khidmat hutang ataupun debt service ratio kepada hasil bagi Malaysia telah mencapai 16.3% pada tahun 2021, dan ia dijangka melebihi 18%- 25% pada tahun ini.

 

Secara matematiknya, lebih kurang setiap RM1 hasil kerajaan hampir 20 sen digunakan untuk membayar faedah atau bunga hutang sahaja. Jumlah ini tidak ambil kira keupayaan untuk membayar balik pokok pinjaman kerajaan.

 

Dalam situasi semasa, Malaysia terjejas dengan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat. Dek kerana proses pemulihan ekonomi yang belum stabil, defisit fiskal Malaysia terus berada dalam julat 6.0% dan kebimbangan hutang statutori Malaysia pada masa kini dan hadapan.

 

Namun buat masa ini ia masih di bawah had yang diluluskan sejajar dengan sasaran defisit.

 

Paras hutang dan risiko bankrap

Paras hutang yang tinggi bukanya penentu kepada risiko bankrapnya sesebuah negara. Pemahaman ini perlu ada pada setiap rakyat. Jangan kita terus menghukum kerajaan dan negara dalam isu hutang ini.

 

S&P Global, Fitch and Moody’s, iaitu agensi penarafan antarabangsa sentiasa akan menilai tahap hutang sesebuah negara bersama faktor lain seperti rangka kerja fiskal, tadbir urus, kedudukan kewangan dan keadaan ekonomi untuk “membuat kesimpulan” bahawa sesebuah negara itu mengalami risiko bankrap atau pun tidak.

 

Penilaian S&P kepada Malaysia pada masa kini, kedudukan hutang Malaysia masih lagi di paras terurus dan perancangan dasar kerajaan pasti akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara.

 

Selepas mendengar penjelasan S&P ini, rakyat boleh menarik nafas lega sedikit kerana negara masih lagi berada tahap yang terurus walaupun mempunyai jumlah hutang yang tinggi kini.

 

 

volatiliti

 


Keadaan hutang negara lain di dunia

Malaysia bukannya satu-satu negara yang mengalami hutang yang tinggi buat masa kini. Banyak juga negara lain di dunia yang mengalami hutang yang tinggi.

 

Banyak negara di Asia yang lain juga mempunyai kadar hutang yang lebih tinggi dari Malaysia. Antaranya negara maju seperti Jepun dengan kadar hutang sebanyak 263.1% daripada KDNK dan Singapura dengan kadar hutang sebanyak 132.8% daripada KDNK.

 

Namun begitu, ini bukan satu alasan buat Malaysia untuk berada di zon selesa!

 

Mengambil iktibar dari Sri Lanka

Kita tidak mahu apa yang berlaku di Sri Lanka berlaku di Malaysia. Apa yang terjadi dengan Sri Lanka? Sri Lanka negara mempunyai hutang yang tinggi dan dalam “fasa negara bankrap".

 

Sri Lanka telah memohon pinjaman kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di bawah 'Instrumen Pembiayaan Pantas' (RFI) bagi negara yang memerlukan bantuan baki pembayaran segera.

 

Sri Lanka memerlukan kewangan bagi menambah rizab dan menarik pembiayaan sementara serta membayar import bahan penting seperti minyak, makanan dan ubat-ubatan.

 

Apakah nasib Sri Lanka? Adakah IMF akan membantu Sri Lanka. Pada awalnya , IMF enggan untuk membantu namun begitu India telah menyatakan sokongannya untuk Sri Lanka mendapatkan RFI.

 

Terdahulu, Sri Lanka telah “menagih pertolongan” kepada pelbagai pihak  termasuk IMF bagi mendapatkan AS$3 bilion (RM12.8 bilion) IMF bagi mengelakkan krisis ekonomi bertambah buruk.

 

Mujurlah ada India dan China yang sudah menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada Sri Lanka.  India juga telah bersungguh-sungguh membantu jirannya itu dengan mendapatkan keyakinan China kepada Sri Lanka. Sri Lanka perlu mendapatkan semula pengaruh China yang telah hilang dek kerana masalah kewangan negara itu.

 

 

sri lanka
Pemandu tuk-tuk Sri Lanka beratur untuk mendapatkan minyak berhampiran stesen minyak di Colombo pada 6 Julai 2022.

 

 

Jangan samakan Malaysia dengan Sri Lanka

Kalau nak dibandingkan, hutang Sri Lanka ialah 107.2% daripada KDNK berbanding Malaysia pada kadar 63.4% sahaja.

 

Perbandingan indikator ekonomi Malaysia dan Sri Lanka, adalah jelas bahawa ekonomi Malaysia jauh lebih kukuh berbanding Sri Lanka.

 

Kadar hutang kepada GDP bukanlah aspek yang paling penting dalam menentukan kadar hutang adalah terkawal, sebaliknya yang paling penting adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability).

 

Adalah tidak adil untuk menyamakan kedudukan Malaysia dengan Sri Lanka!

 

 

sri lanka
Penduduk Sri Lanka beratur untuk membeli tong gas memasak ketika bekalan gas dicatu berikutan kejatuhan ekonomi di negara itu.

 

 

Malaysia masih “selamat”

Dalam situasi semasa, walaupun beban kerajaan meningkat kini, kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan di tahap terkawal.

 

Pada masa kini, hutang Kerajaan Persekutuan masih lagi terkawal dengan kerajaan terus komited menekankan aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability).

 

Situasi-situasi berikut membuktikan Malaysia masih “selamat”:

 

1. Malaysia masih mempunyai kemampuan sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik dan kerajaan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang walaupun negara sedang mengalami keadaan ekonomi yang masih belum stabil.

 

2. Kerajaan telah melakukan pengurusan hutang secara berhemat yang diterapkan melalui undang-undang sedia ada, melalui:

  • Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya Kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang (debt charges) berbanding perbelanjaan operasi yang lain.
  • Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir (offshore borrowings) tidak boleh melebihi RM35 bilion. Pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah 29.4 bilion.
  • Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan bahawa had statutori hutang Kerajaan tidak boleh melebihi 65% daripada KDNK. Pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4% daripada KDNK.

 

3. 97% daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi Ringgit. Ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing (foreign exchange risk) adalah minimum.

 

Jangan jika tidak benar, kita “memandai-mandai” mengatakan Malaysia akan bankrap. Rakyat perlu faham dahulu kedudukan kewangan negara dari terus menghukum kerajaan secara membabi buta.

 

 

BNM

 

 

Rizab Antarabangsa BNM sehingga 30 Jun 2022

Dari segi  Rizab Antarabangsa, Malaysia mempunyai Rizab Antarabangsa BNM sehingga 30 Jun 2022 berjumlah AS$109.0 bilion Paras rizab ini telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.

 

Paras rizab ini dilihat cukup untuk membiayai hampir 6 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

 

Di bawah ukuran liputan import terdahulu, paras rizab memadai untuk membiayai 6.7 bulan import barangan tertangguh. Data bagi import tertangguh tersedia setiap bulan ini dibandingkan dengan  kedudukan rizab antarabangsa negara.

 

Daripada jumlah ini,  menunjukkan keupayaan ekonomi Malaysia untuk bertahan daripada kejutan luaran namun begitu penting juga untuk ditekankan bahawa penilaian kecukupan rizab tidak seharusnya berdasarkan semata-mata nilai muka penunjuk-penunjuk ini.

 

Namun begitu, Rizab Antarabangsa BNM ini tidak boleh lagi menurun bagi memastikan pembiayaan import barangan dan perkhidmatan negara untuk jangka masa panjang.

 

Adakah proses pemulihan ekonomi di landasan yang betul?

Dalam mengimbangi dasar fiskal negara ini dan kerajaan tidak terus dihimpit dengan hutang yang banyak, proses pemulihan ekonomi negara perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya. Persoalannya, adakah proses pemulihan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang betul?

 

Adakah  unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 5.3% dan 6.3% pada 2022 boleh dicapai?

 

Jika menilai KDNK Malaysia  pada suku tahun pertama tahun ini, KDNK terus berkembang 5.0 % berbanding 3.6% pada suku tahun sebelumnya.

 

Daripada kedudukan ekonomi semasa, prestasi ekonomi pada suku tahun pertama 2022 telah melepasi paras suku tahun sebelumnya sebanyak 5.2% atau RM17.9 bilion.

 

 

volatiliti

 

 

Penstrukturan semula perlu dilakukan

Walaupun petunjuk KDNK menunjukkan jumlah perkembangan yang baik, kerajaan perlu mengkaji semula dengan penstrukturan kedudukan fiskal negara.

 

Kerajaan seharusnya mengkaji cara untuk “menjimatkan wang” bagi mengurangkan beban kerajaan.

 

Pengimbangan antara beban hutang dan membantu rakyat perlu dilaksana dengan baik.

 

Terkini, dengan menaikkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) melibatkan bantuan tunai terbesar negara sebanyak RM8 bilion.

 

Jangan jadikan alasan beban hutang yang tinggi untuk kurangkan subsidi dan lain-lain bantuan kepada rakyat. Rakyat kini susah cukup “menderita” dek kerana kos sara hidup yang tinggi demi kelangsungan hidup! – DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags