Malaysia, Jepun perlu teroka bidang kerjasama baharu menerusi Dasar Pandang ke Timur - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Jepun perlu teroka bidang kerjasama baharu menerusi Dasar Pandang ke Timur - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjabat tangan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika lawatan kerja rasmi Ismail Sabri ke Jepun pada 27 Mei 2022. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa supaya bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terus diterokai oleh Malaysia dan Jepun melalui projek serta program yang dilaksanakan di bawah Dasar Pandang ke Timur (DPT).

 

Katanya ini termasuklah mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi serta pertumbuhan hijau.

 

Beliau berkata pada masa sama, pelaksanaan DPT juga menitikberatkan limpahan faedah yang seimbang kepada kedua-dua negara termasuk melalui keupayaan Malaysia meningkat kerjasama dalam pembangunan industri halal dengan Jepun, Bernama melaporkan.

 

“Malaysia sebagai pelopor dalam industri halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat yang tinggi membangunkan industri halalnya,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun Ke-40 DPT di sini hari ini.

 

Teks ucapan Perdana Menteri pada majlis itu dibacakan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - DagangNews.com