Malaysia pertimbang buka sempadan negara kepada penerima vaksin lengkap - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Malaysia pertimbang buka sempadan negara kepada penerima vaksin lengkap - Muhyiddin

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Okt - Malaysia sedang mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing dari negara-negara tertentu yang telah lengkap divaksin, menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Beliau berkata, pelawat yang memasuki negara ini juga tidak perlu menjalani kuarantin wajib melalui program mutual recognition of vaccine certificate sepertimana yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain. 

 

"Ini satu perkembangan yang positif dalam proses pembukaan sempadan negara yang saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain di samping mempermudahkan urusan pelawat perniagaan dan pelawat sosial untuk datang ke negara kita. 

 

"Saya berharap proses pembukaan sempadan negara yang merupakan satu aspek penting dalam usaha pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan segera dan selamat," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) kali ke-4 hari ini. 

 

Mesyuarat MPN kali ini menyaksikan penglibatan wakil-wakil dari parti pembangkang termasuk Ahli Parlimen Subang mewakili PKR, Wong Chen; Ahli Parlimen Stampin mewakili DAP, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Kuala Selangor mewakili AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad dan Tan Sri Bernard Giluk Dompok mewakili UPKO.  

 

Muhyiddin berkata, mesyuarat tersebut memberi fokus kepada 2 kumpulan paling terjejas akibat pandemik COVID-19 iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta golongan rentan. 

 

Oleh itu, majlis telah membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan terutama berhubung isu kecairan dan kekurangan tenaga kerja serta pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan. 

 

Dalam hal ini, menurut beliau, MPN berpendapat satu analisis yang lebih terperinci perlu dibuat untuk memastikan industri yang terkesan berdasarkan statistik terkini dikenalpasti bagi memastikan penyelesaian jangka masa pendek dan panjang yang lebih berfokus dapat dilaksanakan segera. 

 

"Majlis bersetuju supaya sebuah Pasukan Petugas Khas dibentuk melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan untuk memperhalusi perkara-perkara berkenaan isu pembiayaan, tenaga kerja dan lain-lain keperluan PKS.

 

"Pasukan Petugas Khas ini akan membentangkan kajian terperinci dan syor-syor dalam masa sebulan kepada MPN untuk pertimbangan," jelasnya. 

 

Beliau juga memberitahu, MPN bersetuju supaya agihan bantuan makan kepada golongan rentan perlu lebih pendekatan di seluruh negara. 

 

"Peranan NGO dalam perkara ini perlu diperkasa dengan bantuan dan kerjasama semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan," tambah beliau. - DagangNews.com