Mana hilang minyak masak subsidi? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 22 January 2022

MANA HILANG MINYAK MASAK SUBSIDI?

Sin Chew Jit Poh, 20 Januari 2022

 

 

SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, sering kedengaran rungutan orang ramai berhubung kekurangan bekalan barangan di pasaran dan satu daripadanya adalah minyak masak bersubsidi paket polibeg.

 

Tinjauan di pasar raya dan kedai runcit, minyak masak paket  menjadi rebutan dan akan habis terjual sebaik sahaja berada di rak jualan.

 

Selepas kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak dalam botol beberapa tahun lalu, minyak masak paket kini ibarat ‘pisang goreng panas’.

 

Harga minyak masak botol 5kg dijual dengan harga sekitar RM30, manakala harga untuk sepaket minyak masak satu kilogram pula hanya RM2.50.

 

Jadi tidak hairanlah orang ramai berebut-rebut untuk beli 5 paket, kerana harganya separuh daripada harga jualan dalam botol.

 

Meskipun minyak masak botol 5kg jauh lebih berkualiti, tetapi dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan inflasi, orang ramai memilih untuk berjimat.

 

Namun, apabila kerajaan sering mempromosikan minyak masak bersubsidi sebagai satu langkah untuk membantu kerajaan, bayang minyak masak paket polibeg yang tidak nampak membuatkan rakyat menjadi marah.

 

Punca utama kegagalan dasar ini adalah kerana pegawai-pegawai kerajaan melaksanakan dasar tanpa memahami kesukaran rakyat yang sebenar.

 

Kerajaan atau lebih tepat lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bertanggungjawab menyelia perkara ini sentiasa beranggapan bahawa pesanan barangan subsidi daripada kilang adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat, tetapi realitinya adalah tidak.


 

kpdnhep

 


Minyak masak bersubsidi memang ditakdirkan hanya sedap untuk didengar dan sukar untuk dibeli.

 

Kita selalu melihat berita adanya orang-orang yang memborong minyak masak bersubsidi kemudian membungkus semula sebelum dijual, dan ada juga yang menyeludupnya. Keadaan ini menyebabkan masalah bekalan menjadi semakin teruk.

 

Kerajaan tidak boleh beranggapan misi mereka telah berjaya selepas melancarkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

 

Bagaimana pula dari segi pelaksanaan dasar tersebut? Adakah pemberian minyak masak bersubsidi benar-benar dapat memberi manfaat kepada mereka yang berpendapatan rendah, dan bukannya menjadi modal alternatif untuk perniagaan?

 

Ternyata sejak bertahun-tahun lagi,  apabila ada sesuatu barang yang diberi subsidi dengan perbezaan harga yang besar, pasti ada seseorang yang dapat menghidu peluang perniagaan.

 

Sebagai contoh, sesetengah orang yang layak untuk menjual minyak masak subsidi telah menetapkan syarat kepada pembeli untuk berbelanja jumlah yang tertentu di kedai baru boleh membeli minyak masak paket.

 

Taktik ini mungkin tidak berkesan kepada pembelian kegunaan rumah, tetapi menjadi tarikan kepada penjaja.

 

Ini kerana jika penjaja menggunakan minyak masak botol yang dijual di pasar raya, nescaya harga makanan yang dijual gerai tepi jalan seperti pisang goreng akan melambung tinggi. Adakah kita sebagai pembeli akan menerimanya?


 

kpdnhep

 


Jika mengikut undang-undang, minyak masak bersubsidi hanya boleh digunakan untuk keperluan rumah. Penjaja sebenarnya tidak dibenarkan untuk membeli atas tujuan kegunaan perniagaan.

 

Oleh kerana perkara ini tidak dikawal ketat, penggunaan minyak masak subsidi untuk tujuan perniagaan seolah-olah telah mendapat restu pihak yang berkaitan.

 

Sekiranya penjaja ini ditangkap atau dilarang sekeras-kerasnya menggunakan minyak masak bersubsidi, selain masalah ekonomi akan timbul, isu sosial dan undi adalah perkara yang perlu diambil kira. Atas faktor inilah menyebabkan masalah sentiasa tidak dapat diselesaikan. 

 

Selain itu, terdapat juga pemborong yang tidak bertanggungjawab mendominasi dan seolah-olah mempunyai kuasa untuk memilih siapa yang berhak mendapatkan minyak masak bersubsidi.

 

KPDNHEP pernah mendedahkan ada pemborong yang menjual secara terus kepada restoran dan perniagaan makanan.

 

Kesudahannya, hanya sebilangan kecil sahaja yang akan diagihkan kepada pasar raya atau kedai runcit. Dalam keadaan ini, bagaimana rakyat marhaen seperti kita dapat membelinya? Dan apa pula tindakan lanjut pihak berkuasa?


 

kpdnhep

 


Sebenarnya mod pengagihan tradisional bagi minyak masak subsidi sudah tidak dapat berfungsi dengan baik pada hari ini kerana terlalu banyak kecacatan dan kepincangan. 

 

Selagi pemborong dan ahli perniagaan memerah otak geliga mereka, pasti ada sahaja modus operandi untuk menjadikan minyak masak subsidi kerajaan sebagai satu strategi untuk mempertahankan perniagaan.

 

Selagi tiada mekanisme baru diketengahkan, tidak kira berapa banyak minyak masak subsidi yang dihasilkan, pengguna yang benar-benar memerlukan tidak akan dapat membelinya. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 20 Januari 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags