Mana silapnya ekonomi Islam? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 1 June 2021

Oleh Dr Razli Ramli
Felo Adjung
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

 

DALAM membina sistem ekonomi Islam ini (termasuk lah kewangan Islam) kini terdapat dua arus utama gerakan Islam. Pertama, gerakan Islam yang terdiri daripada sarjana dan ekonomis yang sangat tegas dan rigid dalam mematuhi ajaran Islam mengikut kaedah menafsirkan al-Qur'an & Sunnah.

 

Mereka biasanya menumpukan perhatian pada perkara-perkara muamalah yang remeh tanpa mempunyai model ekonomi dan politik berasaskan ajaran Islam yang dapat dilaksanakan dan difahami oleh masyarakat awam.

 

Aliran gerakan Islam yang kedua pula lebih bersifat liberal dan lebih realistik. Aliran ini terbuka dalam menafsirkan Al-Qur'an dan Hadis. Mereka bersedia untuk berkompromi atau mengubah pendirian mereka mengenai isu-isu nasional dan antarabangsa tertentu, dan biasanya menggabungkannya dengan politik semasa.

 

Namun, ketika mencari jalan mengadakan ekonomi negara yang ideal, mereka tidak bersiap sedia dan tidak komited untuk menerapkan model ekonomi yang berasas ‘divined’ dan hanya menerima apa sahaja model yang sudah ada dan mengikuti sistem sekular yang ada sekarang.

 

Akibatnya, para sarjana dan ekonomis tidak dapat memahami dan memvisualisasikan model ekonomi Islam yang sebenar dalam menangani masalah ekonomi negara. Model ekonomi yang merangkumi ciri-ciri  prinsip dan teori yang berkonsepkan sistem ekonomi yang diamalkan pada zaman Nabi, pada zaman sahabat. Tiada pengetahuan tentang model Islam yang sebenar untuk dioperasikan dalam keadaan ekonomi sekarang yang perlu difahami dan diperbetulkan untuk menggantikan model cacat yang sedang beroperasi secara sekular sekarang.

 

Justeru, perkara seperti di atas telah menjadi penyebab utama masyarakat kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadap kemampuan sistem ekonomi Islam yang sebenar (“divined”) untuk menangani masalah ekonomi sekarang.

 

Makna kata, kepercayaan dan keyakinan terhadap kemampuan ekonomi Islam yang sebenar ini untuk menangani masalah ekonomi telah dan kian terhakis oleh kegagalan umat Islam untuk menghadirkan kepada masyarakat model ekonomi makro dan mikro berasaskan “divinity” ini, yang mampu mengurangkan frekuensi dan kesan ekonomi krisis.

 

Kesimpulan yang boleh dinyatakan ialah:

 

  1. Kefahaman berkaitan model ekonomi Islam yang sebenar masih cetek, tidak diterangkan secara yang mendalam sehingga para sarjana dan ekonomis mempunyai beberapa idea yang tidak tepat tentang apa yang dimaksudkan dengan sistem ekonomi Islam itu sendiri.

     

  2. Kekurangan perancangan senario dan perancangan strategik yang komprehensif yang mampu membawa transformasi sistem ekonomi.
     

  3. Nampaknya, model ekonomi "Islamisasi" sekarang hanya bermaksud mematuhi aspek Syariah sahaja tanpa mengambil kira dan menyemai kesan ‘theology’, ‘vicegerency’ dan etika dalam komponen ekonomi.

 

Kendatipun begitu, para sarjana dan ekonomis kini kian aktif mencari solusi dalam membina model baharu untuk mengstruktur satu kerangka sistem ekonomi Islam baharu. Semoga model tersebut lekas-lekas dibentangkan. - DagangNews.com

 

 

 

Portfolio Tags