Masihkah relevan January Effect ke atas pasaran saham? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 6 January 2021

Masihkah relevan Januari Effect ke atas pasaran saham?

 

KESAN Januari (January Effect) adalah terma kata dalam pasaran saham yang merujuk kepada kenaikan harga saham yang berlaku di awal bulan Januari pada awal setiap tahun baru. Selalunya kesan ini akan berlaku pada minggu pertama bulan Januari.

 

Kesan Januari ini berlaku berikutan keadaan window dressing yang berlaku di penghujung tahun di mana setiap pengurus portfolio (fund manager) akan menjual saham-saham yang merugikan dan membeli saham-saham yang menguntungkan.

 

Langkah ini diguna pakai oleh pengurus portfolio bagi mencantikkan laporan tahunan sebelum membentangkannya kepada pemengang saham atau pelanggan mereka. Pengurus portfolio kebiasaannya akan melepaskan pegangan saham yang berisiko sebelum membuat laporan portfolio mereka pada penghujung bulan Disember.

 

Mereka akan menjual saham atau aset yang berisiko  dan ia akan mengurangkan risiko keseluruhan portfolio mereka. Hal ini diibaratkan keluar poket kanan, masuk poket kiri. 

 

Contohnya, saham AA dan BB telah mencatatkan kenaikan harga yang banyak tetapi mempunyai pegangan yang sedikit untuk kedua-dua saham ini.  Sebaliknya saham XX dan YY berlebihan dalam dana tetapi ia tidak menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

 

Untuk menjadikannya kelihatan seperti pengurus portfolio melabur dalam saham AB dan BB sepanjang masa, pengurus portfolio akan menjual saham XX dan YY, menggantikannya dengan saham AA dan BB.

 

Mereka membuat keputusan untuk menjual semua saham yang mengalami kerugian di hujung tahun dan membeli saham yang lebih berpontensi untuk meraih keuntungan pada awal tahun.

 

Dari hasil yang diperoleh daripada penjualan saham yang tidak menguntungkan tersebut akan digunakan semula untuk dilaburkan dalam kaunter yang dilihat berpotensi untuk mendatangkan keuntungan.

 

Jadi ini sedikit sebanyak akan meningkatkan tekanan belian seterusnya mendorong kenaikan harga saham. Namun kebanyakan syarikat yag mempunyai modal pasaran yang lebih kecil menguasai pasaran berbanding syarikat yang mempunyai modal pasaran yang lebih besar. Ini bermaksud, lebih mudah untuk membuat keuntungan daripada saham-saham yang murah daripada saham mahal.

 

Selain itu, faktor cukai juga mungkin menyebabkan senario kesan Januari ini berlaku di mana apabila pelabur akan menjual pegangan saham yang sedang mengalami kerugian agar kerugian modal yang mereka alami dapat digunakan untuk offsekeuntungan capital gain dalam pelaburan mereka yang lain.

 

Dalam kaeadaan pasaran global semasa, Wall Street yang ditutup pada 24 November 2020 sebelum cuti Krismas mencatatkan Dow Jones ditutup tinggi di atas paras 30,000 mata iaitu 30,046.2 mata. Pasaran yang positif ini dilihat turut bakal memberi impak yang positif kepada pasaran Bursa Malaysia kerana Dow Jones bertindak sebagai “leader” bagi pasaran saham dunia.

 

wall street
BANGUNAN Bursa Saham New York di Jalan Wall Street, New York. - AP

 

Indeks Dow Jones, Nasdaq dan S&P 500 di Amerika Syarikat, menunjukkan kenaikan yang positif. Indeks Nasdaq ditutup pada paras 12,036.8 mata dengan mencatatkan kenaikan sebanyak 1.31% dan S&P500 pula ditutup pada paras 3,635.41 mata dengan mencatatkan kenaikan sebanyak 1.62%. Hal ini sedikit sebanyak akan memberi kesan yang baik kepada saham-saham di Malaysia pada awal Januari ini.

 

Di Malaysia pula pada penutup minggu lepas, 31 Disember 2020 di papan skor :

  • FBM 70 meningkat 30.3 mata kepada 15,142.84,
  • Indeks FBM ACE naik 77.39 mata kepada 10,734.69,
  • Indeks FBM Emas merosot 48.99 mata kepada 11,761.93,
  • Indeks FBMT 100 susut 67.94 mata kepada 11,501.99, dan
  • Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 124.03 mata kepada 13,159.15.

 

Mengikut sektor:

  • Indeks Perladangan susut 114.44 mata kepada 7,302.84,
  • Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 2.22 mata kepada 178.11, manakala
  • Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 56.18 mata kepada 15,316.55.
  • Indeks Tenaga naik 16.92 mata kepada 896.39,
  • Indeks Penjagaan Kesihatan susut 100.81 mata kepada 3,571.55 dan
  • Indeks Teknologi menambah 2.31 mata kepada 69.72.
  •  

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 31.20 bilion unit bernilai RM14.88 bilion daripada 28.99 bilion unit bernilai RM14.05 bilion yang ditutup pada khamis minggu lalu.

 

Pasaran saham minggu pertama bermula pada 4 hingga 8 Januari 2021 akan menarik minat pelabur untuk mencari pasaran dan peluang baharu namun ianya pastinya dalam keadaan yang berhati hati.

 

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Jeffrey Halley berkata, kes COVID-19 di Malaysia terus menjejaskan sentimen Bursa Malaysia, dan ia dijangka hingga minggu depan kecuali peningkatan yang ketara dapat dilihat selepas cuti Tahun Baharu.

 

Selain itu, jika Republikan AS memegang Georgia pada pilihan raya Senat Amerika Syarikat (AS) pada Rabu (waktu Malaysia) pasaran ekuiti dijangka meningkat dan hal ini juga akan turut menaikkan Bursa Malaysia yang bakal melepasi paras 1,700 mata.

 

Sehingga kini, teori dan kepercayaan mengenai kesan Januari ini tidak dapat dibukti dengan tepat. Jika dilihat kepada pergerakan Indeks KLCI dari tahun 2008 hingga 2020 yang lalu, pergerakan Indeks KLCI ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong teori dan kepercayaan ini.

 

Sehingga hari ini tiada bukti yang kukuh dan relevan untuk menyokong teori dan kepercayaan kesan Januari ini ke atas pasaran saham. Berdasarkan keadaan semasa, banyak saham pada awal Januari tahun 2021 boleh diberi perhatian untuk dijadikan pilihan oleh pelabur dan pedagang saham bagi memperoleh keuntungan yang baik. - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di  Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

Portfolio Tags