Maxis ambil alih kepentingan ComeBy perkasakan inovasi dan digitalisasi industri runcit | DagangNews Skip to main content

Maxis ambil alih kepentingan ComeBy perkasakan inovasi dan digitalisasi industri runcit

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Maxis kini mengambil kepentingan besar dalam syarikat pemula analisis runcit tempatan, ComeBy, sebagai usaha untuk memperkasakan inovasi dan digitalisasi dalam industri runcit. 

 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen Maxis dalam pembinaan usaha korporat dan strategi untuk menyokong syarikat pemula dan perniagaan teknologi.

 

Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata, sebagai penyedia penyelesaian konvergen terkemuka negara, Maxis memanfaatkan rangkaiannya dengan menyediakan akses teknologi dan rangkaian manusia untuk menggandakan ekonomi tempatan.

 

“Kami berbesar hati dengan momentum kegiatan usaha sama kami. Ini menunjukkan komitmen berterusan dalam memupuk inovasi tempatan. 

 

"Pelaburan kami dalam ComeBy akan memperkasakan usahawan dan perniagaan tempatan yang mampu memberi impak kepada industri melalui inovasi digital. Kami yakin bahawa pendekatan inovatif ComeBy terhadap data pembeli boleh memberikan peluang baharu untuk peruncit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, ComeBy memberikan peruncit luar talian maklumat tentang pilihan pembeli individu sebelum pembayaran. Dengan gabungan pengesanan aktif dan pasif, syarikat ini meningkatkan penglibatan dan mengoptimumkan penjualan dalam kedai, pemasaran semula dan perdagangan. 

 

Rakan Pengasas ComeBy, Barry Oi pula berkata, ComeBy telah memulakan ujian perintis dengan beberapa rakan niaga runcit terkemuka seperti Senheng. 

 

 

maxis
Barry Oi (kiri) dan Arjun Thomas

 

 

"ComeBy mengalu-alukan peruncit yang berminat untuk melayari laman web mereka di ComeBy.io.

 

“Selain daripada pelaburan kewangan yang membantu kami mengembangkan pasukan dan meningkatkan skala dengan lebih segera, kami teruja untuk memanfaatkan rangkaian rakan niaga Maxis yang luas, serta sumber teknologi yang menyeluruh,” katanya. 

 

ComeBy merupakan hasil kerjasama dengan Wright Partners, pembina usaha niaga korporat yang meneroka peluang dalam ruang teknologi runcit. Selain pembiayaan, Maxis juga akan menyediakan akses sokongan melalui keupayaan, pengalaman dan bakat kepada syarikat laburan mereka.

 

Maxis telah lama aktif dalam ruang inovasi. Baru-baru ini, Maxis mengumumkan penglibatannya dalam pembinaan usaha niaga dengan syarikat pemula pendidikan teknologi Gurulab. 

 

Maxis juga membangunkan beberapa program inovasi dengan ekosistem pemula menerusi pelbagai inisiatif seperti Maxis IoT Challenge, siri SPARK, Market Access Day, dan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). - DagangNews.com