Maxis telco pertama sedia perkhidmatan roaming 5G di 3 negara | DagangNews Skip to main content

Maxis telco pertama sedia perkhidmatan roaming 5G di 3 negara

 

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Maxis Bhd. kini menyediakan perkhidmatan perayauan antarabangsa 5G kepada pelanggannya di Singapura, Thailand dan Indonesia.

 

Ini menjadikannya syarikat telekomunikasi pertama dalam negara yang menyediakan perkhidmatan seumpamanya dan berharap dapat memberi kelajuan 5G yang luar biasa kepada para pelanggannya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut berkata, pihaknya teruja dengan pencapaian ini, terutama dengan kerjasama rakan-rakan perayauan di 3 negara berkenaan.

 

"Ini adalah bukti komitmen utuh kami untuk membolehkan individu dan perniagaan Terus Menerajui dengan pengalaman kesalinghubungan terbaik di mana sahaja mereka berada," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelanggan boleh memilih rangkaian Singtel di Singapura, AIS di Thailand, atau Telkomsel di Indonesia sebaik sahaja tiba di salah satu destinasi tersebut.

 

Perkhidmatan perayauan 5G akan diaktifkan secara automatik pada mana-mana peranti berkemampuan 5G.

 

Mereka yang menggunakan perayauan 5G dikenakan bayaran yang sama berdasarkan pakej perayauan 4G tanpa caj tambahan.

 

Tetapi, pelanggan hanya perlu mengakses aplikasi Maxis dan klik pada banner Maxis Roaming untuk melanggan rancangan pilihan.

 

Bagi pelanggan Hotlink pula, mereka boleh mengaktifkan perayauan data melalui Pass Roam Data untuk melanggan. 

 

Sebagai alternatif, mereka juga boleh melanggan secara manual dengan mendail *100#, pergi ke 'International Roaming', pilih 'Country' dan pilih salah satu pas yang ada.

 

Maxis juga merancang untuk melancarkan perkhidmatan perayauan 5G ke destinasi popular lain pada akhir tahun ini. -DagangNews.com