Maybank berdepan persekitaran operasi mencabar pada suku pertama, untung bersih susut kepada RM2.04 bilion | DagangNews Skip to main content

Maybank berdepan persekitaran operasi mencabar pada suku pertama, untung bersih susut kepada RM2.04 bilion

KUALA LUMPUR 26 Mei - Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 susut 14.64% kepada RM2.04 bilion berbanding RM2.39 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Penurunan itu disebabkan keruncingan geopolitik dan turun naik pasaran, sekali gus memberi kesan kepada persekitaran operasi. 

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku itu juga lebih rendah pada RM2.97 bilion daripada RM3.17 bilion setahun sebelumnya. 

 

Walaupun pembukaan semula ekonomi serantau membawa kepada peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman dan mengurangkan caj rosot nilai, kelemahan pasaran mengurangkan kesan positif ini.

 

Pendapatan berasaskan dana bersih untuk suku pertama meningkat 5.3% kepada RM4.89 bilion apabila margin faedah bersih (NIM) berkembang 3 mata asas tahun ke tahun di atas perbelanjaan faedah yang lebih rendah, dan pinjaman meningkat 5.2%. 

 

Tetapi, ia telah diimbangi oleh penurunan 28.3% dalam jumlah pendapatan berasaskan fi bersih kepada RM1.56 bilion merentas kebanyakan segmen perniagaan disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran. 

 

Akibatnya, pendapatan operasi bersih 5.4% lebih rendah pada RM6.45 bilion berbanding RM6.83 bilion sebelumnya.

 

Di sebalik aktiviti ekonomi yang bertambah baik di peringkat serantau, perbelanjaan operasi meningkat 4% tahun ke tahun berikutan perbelanjaan berkaitan hasil yang lebih tinggi. 

 

Nisbah kos kepada pendapatan (CIR) kumpulan berada pada 45.5%, dalam panduan tahun kewangan 2022 sebanyak 45% hingga 46%. 

 

Sementara itu, kerugian rosot nilai kumpulan terus menurun sebanyak 31.3% kepada RM597.1 juta daripada RM868.5 juta tahun lepas.

 

Zamzamzairani Mohd Isa
Zamzamzairani Mohd Isa

 

 

Mengulas mengenai prestasi bank keempat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset itu, pengerusinya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, permulaan 2022 kelihatan cerah dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi secara aktif dan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur. 

 

Namun, katanya, peningkatan keruncingan geopolitik dan kemeruapan pasaran yang terhasil serta tekanan inflasi telah melemahkan sentimen ini.

 

"Meskipun kami berhati-hati dalam tinjauan hadapan sepanjang tahun ini memandangkan ketidaktentuan yang ketara, kami akan kekal berpandukan strategi seperti ditetapkan dalam Pelan M25. 

 

"Kami berhasrat untuk memacu pertumbuhan perniagaan baharu secara aktif dalam tempoh pemulihan ini, sementara pada masa yang sama terus menyokong pelanggan untuk memastikan mereka dapat kekal mampan dalam jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Khairussaleh Ramli
Khairussaleh Ramli

 

Sementara itu, Datuk Khairussaleh Ramli yang baru dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank pada 1 Mei lalu berkata, arah aliran positif dalam prestasi kewangan suku pertama adalah jelas di seluruh pasaran utama walaupun terdapat kesan berlarutan faktor global terhadap persekitaran operasi.

 

Katanya, kumpulan akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan merentas segmen pelanggan dalam pasaran utama di samping mengekalkan kekuatan modal dan kecairan untuk memudahkan peluang pertumbuhan.

 

"Pada masa sama, kami akan memastikan keupayaan pengurusan risiko kekal teguh dan usaha pengurusan kos dan produktiviti diteruskan. 

 

"Selain itu, kami menyasarkan untuk mempercepatkan pelancaran penyelesaian pada platform digital untuk terus memenuhi perjalanan pelanggan sambil meningkatkan penembusan pasaran di serantau," katanya. - DagangNews.com