Maybank IB mulakan liputan terhadap MNRB dengan saranan 'pegang' TP RM1.10  | DagangNews Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan terhadap MNRB dengan saranan 'pegang' TP RM1.10 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Maybank Investment Bank (IB) memulakan liputan terhadap MNRB Holdings Bhd. dengan saranan 'pegang' pada harga sasaran RM1.10 sesaham. 

 

Firma itu menjangkakan premium/caruman perolehan kasar kumpulan MNRB meningkat sebanyak 8% dan 4% masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) dan FY24 berbanding 16% pada FY22, dalam keadaan pertumbuhan premium insurans semula yang lebih sederhana, serta pertumbuhan penggunaan domestik yang lebih perlahan.

 

Namun, katanya, keuntungan operasi sebelum cukai dijangka berkembang pada kadar 36% dan 7% bagi FY23 dan FY24 (berbanding -47% bagi FY22) disokong kerugian nilai saksama yang lebih rendah dan pelabur pendapatan yang lebih tinggi di tengah-tengah kenaikan kadar faedah.

 

"Oleh itu secara keseluruhan kami mengunjurkan untung bersih MNRB akan meningkat sebanyak 16%, 9% dan 5% masing-masing bagi FY23, FY24 dan FY25 manakala pulangan ke atas purata ekuiti (ROAE) meningkat kepada 5.3%, 5.5% dan 5.5% berbanding 4.7% pada FY22," katanya dalam nota kajian pada Jumaat.

 

MNRB memberi pendedahan kepada satu-satunya pemain domestik Malaysia dalam ruang takaful semula dan insurans semula am, serta perniagaan takaful keluarga dan am di negara ini.

 

Perniagaan kumpulan terdiri daripada takaful semula dan insurans semula di Malaysia dan luar negara menerusi Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), yang menguasai 60% pasaran dalam ruang insurans semula di peringkat domestik.

 

Sementara itu, bagi takaful am dan keluarga, ia beroperasi menerusi anak syarikat milik penuhnya, Takaful Ikhlas General Bhd. (TIGB) dan Takaful Ikhlas Family Bhd. (TIFB).

 

Maybank IB berkata, berdasarkan keputusan kewangan terkumpul membabitkan hanya 3 entiti utama itu, insurans semula/takaful semula menyumbang 50% daripada keuntungan bersih kumpulan pada FY22 dengan sumbangan daripada TIGB dan TIFB masing-masing sebanyak 26% dan 24%.

 

Setakat 11.30 pagi ini, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.5% kepada RM1 dengan 112,900 saham diniagakan. - DagangNews.com