McDonald’s komited sediakan peluang latihan dan kerjaya kepada belia Malaysia | DagangNews Skip to main content

McDonald’s komited sediakan peluang latihan dan kerjaya kepada belia Malaysia

400 perantis berjaya tamatkan Program Perantis Vokasional McDonald’s

PUNCAK ALAM 20 Sept – McDonald’s Malaysia hari ini meraikan lebih 400 belia yang berjaya menamatkan latihan di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s. Majlis konvokesyen kali ke-3 oleh McDonald’s Malaysia ini telah diadakan di Dewan DK500 di UiTM Kampus Puncak Alam.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia berkata, Program Perantis Vokasional McDonald’s adalah program penting yang menyediakan peluang kepada belia untuk mempelajari kemahiran yang berguna untuk sepanjang hayat, memenuhi potensi diri dan mendaki tangga kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan.

 

Yang paling penting kata beliau, ialah mereka mampu mengamalkan budaya McDonald’s yang menekankan kualiti dalam segenap aspek perniagaan. 

 

“Sejajar dengan pertumbuhan McDonald’s Malaysia di negara ini, usaha meningkatkan piawaian pembangunan sumber manusia dan mengasah bakat baru dalam kalangan belia adalah amat penting untuk kami.

 

"Ini adalah komitmen berterusan kami untuk menyokong agenda nasional dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” kata Azmir dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Program Perantis Vokasional McDonald’s adalah program latihan berasaskan industri yang menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus pembelajaran teori di dalam kelas.

 

Program ini adalah hasil kerjasama McDonald’s Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diperkenalkan oleh Kementerian.

 

Setelah tamat program, pelajar dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang ditauliahkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan seterusnya layak bekerja di restoran McDonald’s atau mana-mana syarikat dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini.

 

Sejak 2018, Program Perantis Vokasional McDonald’s telah disertai oleh lebih 3,500 belia daripada pelbagai latar belakang untuk mendapatkan pengalaman dan pekerjaan dalam industri hospitaliti dan/atau makanan dan minuman (F&B).

 

Belia yang menyertai program ini ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia, dan ini melibatkan elaun bulanan, tempat tinggal, manfaat perubatan dan insurans serta makan minum percuma.

 

Sebagai sebahagian daripada Visi McDonald’s Malaysia 2026, syarikat akan melabur sejumlah RM1.35 bilion dalam tempoh lima tahun mendatang untuk membuka 205 restoran baru, menjadikan jumlah keseluruhannya 500 restoran McDonald’s di seluruh Malaysia.

 

Dengan pertumbuhan ini, syarikat dijangka mampu menawarkan lebih 50,000 peluang kerjaya kepada rakyat Malaysia menjelang 2026, termasuk 15,000 perantis baru di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s.

 

Dengan 15,000 kakitangan setakat ini di seluruh negara, McDonald’s Malaysia sentiasa mengutamakan pembangunan bakat dan kemahiran dalam kalangan warga kerjanya.

 

Selain Program Perantis Vokasional McDonald’s, restoran khidmat segera ini juga mempunyai inisiatif pembangunan bakat lain seperti Program Perantis Pengurusan McDonald’s, Program Latihan Industri dan program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

McDonald’s Malaysia juga akan melaburkan sejumlah RM300 juta untuk program latihan dan pembangunan menjelang 2026. 

 

Layari https://www.maukerja.my/mcd/ untuk anda yang berminat menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s. - DagangNews.com