MDEC, MTDC meterai MoU percepat pertumbuhan syarikat teknologi Malaysia | DagangNews Skip to main content

MDEC, MTDC meterai MoU percepat pertumbuhan syarikat teknologi Malaysia

Mahadhir Aziz (kiri) dan Datuk Norhalim Yunus bertukar dokumen selepas menandatangani MoU tersebut.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 April - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pakatan dan kerjasama dengan sasaran untuk memangkinkan pertumbuhan syarikat teknologi Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, platform dan kepakaran setiap organisasi akan dimanfaatkan dan menjadi teras utama kerjasama itu dalam usaha merealisasikan objektif mereka.

 

“Program di bawah inisiatif Malaysia Digital dan #SayaDigital akan memainkan peranan membantu lebih ramai khalayak dalam usaha memacu pendigitalan negara. Menerusi MoU ini, kami dapat memastikan bukan sahaja capaian, kecekapan serta impak yang lebih baik kepada ekosistem teknologi kita malahan meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital. 

 

“MoU ini akan menyokong pembangunan ekosistem untuk syarikat Malaysia terus berkembang maju. Persaingan untuk melahirkan juara global yang berjaya adalah tanggungjawab bersama dan MoU ini bukti pendekatan holistik Malaysia. Menerusi inisiatif ini, kami mampu bergerak sebagai satu negara untuk memacu objektif utama dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya dalam satu kenyaataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus pula berkata, MoU itu akan menjadi platform kepada MTDC Centre of 9 Pillars (Co9P) untuk bekerjasama dengan syarikat dan rakan kongsi di bawah MDEC iaitu ahli komuniti MTDC Co9P yang membantu syarikat dalam sektor Revolusi Perindustrian 4.0 dan digital. 

 

“Peluang untuk bekerjasama dengan syarikat di bawah MDEC merupakan sebahagian daripada usaha kami mengembangkan Co9P ke kawasan lain di Malaysia dan menawarkan peluang untuk membina hubungan dengan rakan kongsi globalnya melalui khidmat nasihat perniagaan dan MDEC sebagai rakan kongsi strategik kami,” katanya.

 

MDEC dan MTDC berpeluang mencatatkan pencapaian yang lebih ketara berdasarkan rekod kejayaan sejak penubuhan MTDC pada 1992 dan MDEC pada 1996.

 

Menerusi MoU ini, MDEC dan MTDC akan berusaha membangunkan program pembangunan usahawan berasaskan teknologi secara bersama serta mempromosikan teknologi digital dan adaptasi dalam kalangan syarikat pemula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perusahaan kecil sederhana (PKS).

 

Selain membuka lebih banyak kemudahan pembiayaan dan peluang kepada syarikat teknologi, kerjasama antara MDEC dan MTDC ini akan mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan secara sinergi bagi memastikan capaian dan impak yang maksimum. - DagangNews.com