Melaka, Lembah Klang beralih Fasa 4 pada 18 Oktober 2021 | DagangNews Skip to main content

Melaka, Lembah Klang beralih Fasa 4 pada 18 Oktober 2021

PUTRAJAYA 15 Okt - Melaka dan Lembah Klang akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Isnin ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pula akan beralih ke Fasa 3 mulai tarikh sama.

 

Katanya, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.

 

"Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

 

"Dengan peralihan fasa bagi negeri yang dinyatakan, Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Lembah Klang membabitkan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki fasa tiga dan empat boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan laporan kes positif COVID-19 harian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), negara mencatatkan bilangan kes di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

 

"Kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan merekodkan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

 

"Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95% manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2% dan dijangka terus meningkat," katanya. - DagangNews.com