Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Industri Kreatif - 11 March 2022

MEMANFAATKAN `NUSANTARA` UNTUK KANDUNGAN KREATIF BORNEO

 

 

BARU-BARU ini, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan nama ibu negara baharu bagi negara tersebut yang kini sedang giat dalam pembangunan di wilayah Kalimatan Timur.

 

Nama `Nusantara` telah dipilih secara rasmi yang secara tidak langsung boleh boleh dilihat sebagai komitmen Indonesia untuk menjadi teraju di rantau ini.

 

Pemindahan ibu negara Indonesia ke Borneo ini seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang baik kepada wilayah negara lain yang turut berada di pulau ketiga terbesar di dunia ini.

 

jokowi
Presiden Jokowi meninjau tapak pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur, baru-baru ini.

 

 

Dalam konteks Malaysia, Nusantara berpotensi untuk membawa limpahan manfaat kepada Malaysia Timur meliputi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam pelbagai aspek – terutamanya jaringan infrastruktur serta ekonomi.

 

Selain itu, perancangan pembinaan jajaran rel keretapi daripada Kalimantan Utara hingga ke Kalimantan Selatan oleh kerajaan Indonesia mampu menjadi pelengkap kepada projek Lebuhraya Pan Borneo yang diusahakan kerajaan Malaysia dalam melengkapkan jajaran pengangkutan darat di Borneo.

 

Perkembangan ini bakal memberikan kesan positif dalam pelbagai sektor dan industri.

 

Pastinya saya turut mengharapkan, malah sangat yakin bahawa industri kandungan kreatif juga bakal menerima manfaat daripada situasi ini.

 

Bagaimanapun, dalam mengharap ia berlaku, para penggiat dan pentadbir industri ini perlu tidak sekadar mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

 

Setiap pihak harus sudah mula berfikir, merancang serta menggerakkan inisiatif yang perlu dan sesuai mengikut kemampuan mengikut bidang tugas masing-masing untuk sama memastikan semua pihak dalam industri ini bakal dapat merasai limpahan manfaat ini nanti.

 

Kajian impak situasi ini terhadap pertumbuhan industri kandungan kreatif di Borneo harus mula dijalankan, sekaligus membangunkan anggaran dan unjurannya.

 

 

kreatif
Lakaran pelukis terhadap Istana Presiden yang bakal dibina di Nusantara. 

 

 

Ini membolehkan semua pihak boleh melihat dengan lebih jelas ruang, peluang serta potensi yang boleh diteroka - bagi memastikan tiada istilah terlewat atau ketinggalan berbanding industri utama yang lain seperti pelancongan dan logistik, yang pastinya sudah pantas ke hadapan.

 

Malah, idea-idea seperti membangunkan wilayah ekonomi bebas bagi kandungan kreatif Borneo, walau mungkin dilihat terlalu idealis ketika ini, namun bukanlah sesuatu yang mustahil dan harus diabaikan.

 

Setidaknya, usaha membina jaringan antara penggiat dari wilayah di Malaysia dengan penggiat dari Kalimantan sudah boleh bermula dari kini.

 

Malah, usaha penjenamaan kandungan dari Borneo berpotensi untuk digerakkan secara bersama antara tiga negara - Brunei, Malaysia dan Indonesia – bagi membolehkan kerjasama meneroka pasaran yang sesuai.

 

Setidaknya, jika digabungkan pasaran domestik di tiga negara tersebut sudah cukup besar untuk diteroka, berbanding terus meneruskan kebergantungan kepada pasaran domestik di negara masing-masing.

 

Bagi kandungan Malaysia, kemampuan diterima di pasaran Indonesia sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan yang boleh dan layak untuk diraikan.

 

Ini kerana sepertimana yang kita tahu, selain atas faktor pasaran yang luas, pasaran Indonesia merupakan pasaran dengan pertumbuhan dalaman yang sangat baik dalam kalangan negara-negara serantau.

 

 

borneo

 

 

Ini membolehkan penggiat bukan sekadar boleh berusaha untuk memasuki pasaran massa, malah berpotensi untuk meneroka malah membangunkan segmen pasaran niche dengan skala dan saiz yang ideal dalam kira-kira pulangan pelaburan.

 

Namun, selain melihat manfaat kepada Malaysia semata-mata, saya percaya  jika kita mampu untuk membentuk gabungan kerjasama ketiga-tiga negara bagi mencapai satu objektif yang sama akan membawa impak yang lebih besar dan konsisten untuk jangka masa panjang.

 

Dengan kekuatan sumber yang lebih besar, jenama Borneo mampu untuk mempunyai lebih keupayaan untuk meneroka pasaran global, dengan gerak kerja pemasaran berskala besar serta kualiti hasil penerbitan tempatan yang berkualiti dan setanding penerbit dari negara maju yang lain.

 

Tidak dinafikan, dalam usaha tersebut, pasti ada kesukaran yang bakal ditempuhi  memandangkan pasti wujud sudut pandang yang berbeza, akibat kepentingan yang berbeza, apatah lagi saiz pasaran dan industri kandungan kreatif di ketiga negara boleh dianggap tidak berada dalam liga yang sama.

 

Namun, dengan berteraskan semangat Borneo, saya percaya titik persamaan dan persefahaman tersebut boleh dicari.

 

Kekuatan jenama serta populariti Borneo di peringkat antarabangsa seharusnya dieksploitasi dan diteroka secara bersama, untuk manfaat bersama bagi ketiga-tiga negara.

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman  merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags