Memastikan pelanggan datang kembali, dengan kemudahan-kemudahan Shopee   | DagangNews Skip to main content

Memastikan pelanggan datang kembali, dengan kemudahan-kemudahan Shopee  

DUA usahawan yang mencatat jualan tinggi di platform Shopee, Jamie Thoo dan Kiridaren Jayakumar.

 

 

SELEPAS berkahwin dan berpindah balik ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan, Jamie Thoo, 36, memulakan kedai Shopee menjual alat permainan yang lazimnya menjadi minat pengumpul, kira-kira enam tahun lalu.

 

Ketika itu, lebih mudah meraih perhatian pada platform Shopee kerana bilangan penjual tempatan tidak seramai sekarang.

 

‘’Bilangan penjual pada platform telah bertambah berlipat ganda tetapi ia tidak bermakna seseorang itu tidak boleh berjaya. Cuma perlukan strategi berbeza,’’ nasihat Thoo.

 

Bagi wanita ini, ia bukan lagi berkaitan persaingan dengan penjual lain yang menawarkan barangan serupa tetapi usaha mengekalkan pelanggannya supaya mereka datang balik dan membeli barangan lain daripadanya, dan pada masa sama, menarik pelanggan baharu.

 

Aspek inilah yang beliau ingatkan kakitangannya setiap hari.

 

“Untuk berjaya, anda seharusnya menyasar untuk mengatasi prestasi jualan anda sebelum ini dan tidak perlu cuba mengatasi prestasi penjual lain kerana setiap daripada kita memiliki situasi berbeza seperti saiz inventori, modal pusingan dan kapasiti penyimpanan,’’ ujar ibu kepada dua anak ini yang mengendalikan BABYMART.os di Shopee.

 

 

shopee
Produk bayi berkualiti premium yang dijual oleh Jamie Thoo di kedai BABYMART.os di Shopee

 

 

Beliau menambah bahawa perniagaan e-dagang benar-benar bermanfaat bagi wanita dan ibu seperti dirinya kerana dia mempunyai fleksibiliti untuk menguruskan perniagaannya dan pada masa yang sama menjaga keluarganya. Kedai beliau kini menjana perolehan lebih RM100,000 setiap bulan, menjual produk bayi berkualiti premium.

 

“Pengalaman pelanggan di kedai anda adalah sangat penting. Anda hendaklah berupaya menarik pelanggan untuk menekan klik ke atas produk-produk anda. Oleh itu, gambar-gambar sangat mustahak.’’

 

“Walaubagaimanapun, produk anda tidak akan terserlah jika anda menggunakan gambar atau video yang serupa dengan 100 penjual lain pada platform Shopee. Ambil sendiri gambar atau video, supaya anda boleh mempamerkan produk sebenar dan meraih kepercayaan para pelanggan.’’

 

Thoo menambah kata bahawa penjual perlu memastikan pertanyaan pembeli menerusi sembang langsung (live chat) dijawab dengan pantas. ‘’Jika pembeli terpaksa menunggu, ada kemungkinan mereka akan beralih ke kedai lain dan membeli di kedai yang menjawab pantas soalan mereka.’’

 

 

shopee
KAKITANGAN BABYMART.os membungkus barangan yang ditempah oleh pembeli menerusi platform Shopee.

 

 

Thoo juga menawarkan hadiah percuma dan baucar serta menggunakan sepenuhnya fungsi Siaran Sembang (Chat Broadcast) untuk sentiasa berhubungan dengan para pengikut kedai, bagi mengumumkan jualan produk terbaharu dan banyak lagi.

 

Seorang lagi penjual, Kiridaren Jayakumar, 29, memulakan kedai Shopeenya, The Bibliophile Official Bookstore pada 2017, kejayaan kedai dalam taliannya itu berpunca daripada keupayaan Shopee menjana traffik dan tempahan berulang daripada pelanggan.

 

Dalam banyak jenis perniagaan, tempahan berulang adalah sumber pendapatan paling penting, kata Kiridaren.

 

“Saya selalu mengingatkan kakitangan saya bahawa pelanggan yang mengulang beli adalah nadi kepada perniagaan kami. Kita tidak boleh kehilangan mereka sama sekali.

 

“Apabila saya mula menjual buku, saya menyedari bahawa saya memerlukan platform yang boleh membantu menguruskan perniagaan saya dan memastikan pelanggan datang mengulang, sementara saya memberi tumpuan untuk mengembangkannya.

 

‘’Itulah ketikanya saya memutuskan untuk membuka kedai di Shopee dan belajar kaedah menggunakannya, yang tidak rumit pun.’’

 

 

shopee
The Bibliophile Official Bookstore milik Kiridaren Jayakumar, pelanggan kini boleh menempah bukunya di Shopee

 


Kedai The Bibliophile Official Bookstore memiliki kumpulan pelanggan yang sangat khusus – peminat buku. Sementara sememangnya tugas Kiridaren untuk menyumber buku-buku baharu yang akan menarik minat pelanggannya, beliau mengambil peluang untuk menggunakan ciri-ciri dan kemudahan yang terdapat pada platform bagi membantunya menguruskan perniagaan.

 

“Ini termasuk ciri-ciri untuk membuat penyiaran kepada pelanggan kedai kami mengenai buku baharu dan promosi serta fungsi Bump yang membolehkan saya melonjakkan promosi setiap empat jam supaya sentiasa terserlah di mata pelanggan saya.’’

 

“Selain daripada itu, Shopee membolehkan saya meraih pelanggan baharu menerusi pertambahan trafik platform semasa kempen digit berganda seperti 10.10 Shopee Jualan Berjenama yang baharu sahaja berlangsung,’’ kata Kiridaren.

 

Menurut beliau, perolehan purata kedainya ialah antara RM60,000 hingga RM70,000 sebulan, dan jualan akan meningkat sebanyak 400%-500% sepanjang tempoh jualan dua digit tersebut.

 

 

shopee
Kakitangan The Bibliophile Official Bookstore membungkus buku yang ditempah pembeli menerusi platform Shopee

 

 

Sejak 2015, Shopee telah berusaha mencari kaedah untuk mewujudkan sebuah platform yang menawarkan pengalaman membeli-belah yang menyenangkan dan tawaran-tawaran menarik. Ia telah menarik jutaan pengguna di seluruh Malaysia dan memberi manfaat kepada jutaan penjual terutama komuniti perniagaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang turut meraih manfaat besar daripadanya.

 

Namun begitu, ia adalah lebih daripada sekadar membuka kedai jika penjual mahu berjaya pada platform tersebut, menurut Zed Li, Pengurus Kanan (Pembangunan Perniagaan) di Shopee Malaysia.

 

“Dengan semakin ramai penjual mengguna pakai pendigitalan, mereka perlu mencari cara untuk menyerlahkan diri. Mereka perlu memberikan perkhidmatan pelanggan yang bagus seperti tempoh masa respons yang pantas, penyenaraian produk yang bermaklumat dan lengkap keterangan mengenainya, gambar yang jelas, memastikan penghantaran cepat dan produk dibungkus dengan selamat – sekadar menyebut beberapa perkara utama.

 

Beliau menambah, penjual seharusnya menggunakan sepenuhnya kemudahan-kemudahan yang Shopee berterusan perkenalkan bagi membantu penjual mencapai pelanggan sedia ada untuk menyampaikan tawaran dan baucar baharu, bagi memastikan mereka datang kembali membeli seperti fungsi Chat Broadcast dan Bump.

 

“Terdapat juga Program Penghantaran Percuma dan Pulangan Tunai Syiling Shopee yang penjual boleh sertai. Ini bukan sahaja akan membantu menarik pelanggan baharu tetapi juga pelanggan sedia ada akan kembali ke kedai penjual untuk menikmati penghantaran percuma atau mendapatkan lebih banyak Syiling Shopee untuk digunakan bagi menampung pembelian lain.”

 

“Kami juga memastikan penjual dilengkapi dengan maklumat penting yang mereka perlu untuk menguruskan kedai mereka dengan lebih baik. Pusat Penjual Shopee adalah tempat sehenti bagi penjual memeriksa prestasi kedai mereka manakala Hab Pendidikan Penjual memastikan mereka sentiasa dimaklumkan mengenai kempen-kempen akan datang selain ciri-ciri yang mereka boleh gunakan. Penjual juga boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai pasaran dan meraih peluang-peluang yang belum diteroka menerusi ciri Selling Coach.’’ - DagangNews.com