Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Idea Digital - 22 June 2021

Memperhalusi, memahami strategi pemasaran Apple

 

KITA semua tahu jenama peranti mudah alih terkenal dunia, Apple. Ia merupakan syarikat pertama di dunia yang bernilai lebih dua trilion dolar Amerika. Mereka memiliki senarai produk yang berkualiti tinggi yang menggunakan huruf ‘i’ yang sengaja diletakkan di hadapan (tetapi bukan semua) nama-nama produk yang disediakan. Siapa tidak kenal iPhone, iMac, iPad, iTunes, iMovies, Macbook dan sebagainya.

 

Saya dahulu seorang pengguna produk Apple juga, iaitu iPhone. Memang tidak dinafikan lagi ia sangat bagus. Produk yang bukan sahaja berkualiti tinggi dan tahan lama, tetapi juga sangat mudah untuk digunakan.

 

Sehinggalah pada suatu hari, saya tidak lagi mampu untuk meneruskan penggunaannya apabila edisi iPhone yang saya gunakan itu secara rasminya menjadi usang dan perisiannya sudah tidak boleh dikemaskini lagi. Ia perlu ditukar baharu.

 

Harga sebuah iPhone baharu bukannya murah. Yang paling murah pun boleh mencecah lebih RM3,000. Itu baharu iPhone, belum lagi produk-produknya yang lain seperti Macbook, iPad dan sebagainya. Walaupun kadar harga produk-produknya mahal, namun kita boleh menggunakan setiap darinya dalam tempoh masa yang agak panjang.

 

Hampir setiap kejayaan jenama Apple pada masa kini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh pemerintahan kali kedua Steve Jobs pada tahun 1997. Peristiwa ini telah menjadi sejarah penting Apple dan dunia perniagaan secara keseluruhannya.

 

Pada masa itu, situasi Apple memang sangat teruk. Pada tahun 1997 inilah juga, Apple terpaksa menerima pelaburan 150 juta dolar Amerika dari Microsoft. Walaupun pada ketika itu, Microsoft dianggap sebagai pesaing yang paling ‘dibenci’ tetapi mereka tebalkan sahaja muka demi untuk terus hidup.

 

Pada tahun itu juga Michael Dell, ketua pegawai eksekutif Dell Technologies telah menghadiahkan kutukan pedas yang ditujukan kepada Steve Jobs. Dia berkata,  “Kalau saya yang menerajui Apple, lebih baik saya tutup sahaja syarikat ini dan pulangkan kembali wang pelaburan kepada semua pemegang saham.”

 

Begitulah betapa ‘kelas’nya Dell dan teruknya Apple pada waktu itu. Steve Jobs kembali ke Apple setelah syarikat miliknya, NeXT dibeli oleh Apple. Dia kemudiannya dilantik sebagai de-facto Chief Executive atau ketua eksekutif interim yang bekerjasama dengan Gil Amelio yang pada ketika itu masih lagi ketua pegawai eksekutif Apple.

 

Pada bulan Julai 1997, baharulah Steve Jobs dijadikan ketua pegawai eksekutif dengan rasmi setelah lembaga pengarah Apple memecat Gil Amelio.

 

 

idea

 

 

Fokus

Sebaik sahaja beliau kembali ke Apple, Steve Jobs terus memulakan langkahnya. Setelah beberapa minggu bekerja dengan gigih mendapatkan maklumat, pendapat dan idea dari pelbagai sudut termasuklah dari kejuruteraan, rekabentuk, pemasaran sehinggalah kepada para pelanggan Apple sendiri, lebih kurang pada minggu kelapan Steve memanggil beberapa eksekutif dan pekerja yang berkepentingan untuk satu perjumpaan penting.

 

Perjumpaan ala-ala townhall ini bertujuan untuk memberitahu pasukannya tentang strategi yang telah dikenal pasti yang bakal diambil oleh Apple. Dalam perjumpaan yang sama juga Steve Jobs memperkenalkan kempen ‘Think Different’ yang menggambarkan strategi pemasaran yang akan digunakan untuk menguatkan jenama Apple di pasaran. Video tentang perjumpaan bersejarah ini boleh dilihat di sini.

 

Dalam intipati ucapan Steve Jobs itu, tiga aspek penting beliau utamakan dalam strategi yang akan digunakan Apple iaitu:

  • produk yang berkualiti tinggi,
  • pengagihan produk yang lebih efisien dan
  • pemasaran yang berkesan.

 

Kita semua tahu salah satu kekuatan beliau adalah fokus dan seluruh kekuatan Apple akan ditumpukan kepada ketiga-tiga aspek tersebut.

 

Produk yang berkualiti tinggi

Senarai produk yang berada dalam perancangan terlalu banyak dan berserabut untuk dilakukan. Steve sendiri mengaku yang dia pun keliru dengan apa yang ada. Jadi perkara pertama yang dilakukan untuk memperbetulkan hala tuju syarikat adalah dengan mengecilkan jumlah produk yang akan dibina oleh Apple, kurangkan senarai yang ada tetapi membuatkan setiap produk yang dipilih itu lebih baik daripada biasa.

 

 

idea

 

 

Walaupun sebelum ini Apple telah mengeluarkan produk-produk seperti Newton Message Pad, komputer riba The Mac, Apple IIc dan sebagainya, Steve terpaksa merombak kesemuanya. Dengan fokus, dia yakin yang Apple akan kembali mencatatkan jualan dan keuntungan yang besar.

 

Pada tahun 1998, Apple telah memperkenalkan iMac G3. Setahun selepas itu, mereka memperkenalkan pula iBook dan kemudiannya iPod pada tahun 2001. iPhone pula pada 2007 dan seterusnya Macbook Air dan iPod Touch pada 2008.

 

Apple telah membuktikan senarai produk yang banyak tidak akan menjamin kejayaan sesebuah syarikat itu. Biar senarai produk yang ada kecil, tetapi kualiti bagi setiap satunya adalah luar biasa.

 

Pengagihan yang efisien

Steve tidak bercerita panjang tentang pengagihan. Tetapi beliau sedar terdapat kelemahan-kelemahan ketara yang perlu diperbetulkan tentang pengagihan produk, dari kilang ke pusat pengedaran dan seterusnya kepada para pelanggan. Jumlah bekalan inventori yang wujud pada masa itu tidak begitu membantu kerana terlalu banyak produk yang tidak dapat dijual.

 

Mengambil contoh ini, operasi kita di belakang tabir sangat penting sebelum kita mula membuka mulut kepada orang ramai tentang produk yang kita jual. Sangat penting untuk kita memastikan inventori, bekalan mentah, proses dan individu-individu yang bertanggungjawab di belakang tabir kesemuanya bersedia, cekap dan kekal efisien.

 

Pemasaran yang berkesan

Ucapan Steve lebih bercerita tentang pemasaran. Bagi Steve, pemasaran adalah tentang tawaran nilai atau value. Katanya lagi, dunia sekarang semakin bising. Semakin kompleks. Jadi tawaran nilai sangat penting.

 

“Di Apple, kita mesti jelas tentang apa yang pengguna hendak tahu tentang kita. Walaupun Apple adalah jenama yang terkenal, namun ia masih memerlukan penjagaan dan pelaburan untuk kekal relevan. Bagi mewujudkan pemasaran yang berkesan, kita tidak boleh bercakap tentang produk, tentang fungsi atau tentang perkara-perkara teknikal lain.

Lihat Nike contohnya. Mereka cuma jual kasut sukan, komoditi. Tetapi apabila pengguna mendengar perkataan Nike, pemasarannya sangat luar biasa. Mereka tidak bercakap langsung tentang kasut mereka. Tetapi apabila mereka membuat pemasaran, mereka bercakap tentang kehebatan atlet terutamanya olahraga.

Jadi, pengguna mesti kenal siapa Apple sebenarnya, apa yang kita perjuangkan selama ini dan di mana kita berada dalam kehidupan mereka. Mesej kita kepada mereka tentang Apple sangat penting agar mereka faham mengapa kita sangat berbeza dari jenama lain.”

 

Untuk menjual produk dengan lebih baik, Steve Jobs mengambil pendekatan psikologi yang hampir sama dengan Nike - membuatkan pengguna bercakap tentang Apple, tanpa merujuk kepada produk.

 

Dan melalui strategi ini juga Apple melancarkan kempen ‘Think Different’ yang beliau kongsikan pada sesi perjumpaan itu. Video tentang ‘Think Different’ ini boleh dilihat di sini.

 

Dan saya juga yakin Michael Dell kini tidak lagi berani mengutuk Apple buat kali kedua. - DagangNews.com

 

 

 

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

 

KOLEKSI IDEA DIGITAL:

3 Benda Ini Bakal Tentukan Nama Bisnes Yang Efektif

Saya Seorang Pemasar Digital. Ini Pendapat Saya Tentang 2021

Bisnes Saya Beroperasi Secara Digital Sejak 2011. Ini Apa Yang Saya Belajar

Orang Membeli Tidak Hanya Berdasarkan Iklan

4 Pengajaran Tentang Pemasaran Digital Dari Kemenangan Joe Biden

Mengapa Strategi Pemasaran Mahal?

E-pemasaran : Minta 20 rakan baik di media sosial tolong tularkan

Guna Platform Ini Kalau Rasa Media Sosial Semakin Mahal

Jangan Percaya. Ini Semua Mitos Penjenamaan Sahaja

SELAMATKAN TAHUN 2020 ANDA!

Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini

Saya Lakukan Ini Untuk Hidupkan Kembali Laman Blog Yang Lesu

Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

 

 

 

 

 

Portfolio Tags