Mengapa kewangan sosial penting ketika pasca pandemik? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 15 June 2021

Mengapa kewangan sosial penting ketika pasca pandemik?

 

KRISIS pandemik COVID-19 telah mempengaruhi sektor kewangan di seluruh dunia, termasuklah industri kewangan Islam. Malah, institusi kewangan Islam menghabiskan sebahagian besar tahun lalu untuk mengatasi dua kejutan iaitu menyesuaikan diri dengan pandemik ini dan harga minyak yang rendah.

 

Hakikatnya, kewangan Islam dilihat mampu memberikan tindak balas positif terhadap kesan wabak tersebut dalam memastikan kelangsungan dalam ekonomi dunia. 

 

Persoalannya sekarang, bagaimana kewangan Islam dapat membantu negara dalam memakmurkan ekonomi pasca pandemik? 

 

Seperti yang kita tahu, pandemik ini telah menyebabkan ekonomi global semakin goyah. 

 

 

Peranan kewangan Islam

 

Dalam usaha mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang baik, kewangan Islam juga mempunyai peranan penting.

 

Ini kerana kewangan Islam adalah satu-satunya institusi dari sudut pengstrukturannya yang mampu mempunyai daya tahan kepada krisis ekonomi.

 

Pada penulis, untuk kewangan Islam membantu memulihkan ekonomi negara, mereka perlu terlebih dahulu menangani 2 cabaran utama yang hingga kini, masih belum terlaksana:

 

  • Mengiktiraf dan mengesahkan kewujudan kewangan Islam dalam sistem kewangan global.

 

  • Penyertaan aktif untuk mengembalikan kekuatan ekonomi dengan menggunakan segala kekuatan dan usaha yang sedia ada.

 

 

zakat
Zakat adalah antara institusi penting di bawah industri kewangan Islam.

 

 

Untuk makluman, sistem kewangan Islam terdiri daripada perbankan, takaful, pasaran modal dan pengurusan kekayaan.

 

Ia tidak terhad kepada perbankan Islam atau takaful sahaja, sebaliknya merangkumi institusi-institusi lain seperti zakat, wakaf dan sadaqah (sedekah). 

 

Penulis melihat institusi-institusi ini perlu bertindak segera dengan meletakkan institusi mereka dan mengambil peranan dalam sistem kewangan Islam. 

 

Langkah seterusnya adalah memainkan peranan sebagai pemain utama dalam menyediakan pilihan produk dan perkhidmatan yang lebih baik agar pasaran serta ekonomi dapat berkembang semula.

 

 

Pertumbuhan kewangan sosial

 

Sejarah telah membuktikan bahawa kebangkitan semula tamadun ekonomi Islam mampu dicetuskan oleh pertumbuhan kewangan sosial seperti zakat, wakaf dan sadaqah.

 

Mengambil contoh inisiatif murni Bank Islam yang telah mengilhamkan penubuhan Sadaqa House, di mana mereka menyediakan perkhidmatan untuk mengumpulkan, mengurus dan mengagihkan sumbangan dari orang ramai. 

 

 

bank islam
Inisiatif Bank Islam memperkenalkan Sadaqa House adalah antara contoh kewangan sosial yang baik di negara ini.

 

 

Sumbangan tersebut disalurkan kepada projek-projek amal yang dikenal pasti, termasuklah bidang kesihatan, persekitaran, pendidikan dan pemerkasaan masyarakat, terutama kepada ahli komuniti yang tidak berpeluang menikmati perkhidmatan perbankan.

 

Oleh demikian, penulis merasakan tempoh pandemik ini sebenarnya telah membuka peluang kepada para pemikir kewangan Islam untuk berusaha memperbaiki, memodenkan, memperkemas, merombak dan menaik taraf strategi serta perancangan untuk memberi impak positif di pasca pandemik nanti, dengan tumpuan kepada sektor kewangan sosial.

 

Penulis percaya tumpuan kepada kewangan sosial adalah satu daripada jawapan untuk menangani krisis ekonomi pasca pandemik. - DagangNews.com

 

 

Dr. Razli Ramli, merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

 

 

Portfolio Tags