Mengapa perancangan kewangan Islam penting kepada usahawan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 28 December 2021

Mengapa perancangan kewangan Islam penting kepada usahawan?

 

 

DALAM usaha membangunkan sistem kewangan Islam yang progresif dan inklusif, Malaysia memberi tumpuan kepada 3 bidang utama iaitu daya tahan sosial, daya tahan iklim dan pemerkasaan perniagaan.

 

Usaha tersebut melibatkan kepelbagaian penyelesaian kewangan patuh syariah untuk menangani jurang pasaran dan mengambil pendekatan inovatif bagi memenuhi keperluan masyarakat dan ekonomi yang berubah. 

 

Ini turut menyaksikan penglibatan para usahawan dalam program Perancang Kewangan Islam (IFP) yang kian meningkat demi mengembangkan lagi perniagaan mereka. 

 

Perkembangan ini beserta fokus industri berasaskan nilai, akan membantu mengukuhkan lagi kecekapan usahawan dalam sektor kewangan Islam dan seterusnya meningkatkan sumbangan mereka kepada pertumbuhan dan kemajuan sosioekonomi Malaysia.

 

Untuk makluman, program IFP telah bermula sejak 2007 lagi dan ia diiktiraf kedua-dua badan kawal selia iaitu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta memperoleh status akreditasi penuh oleh Agensi Akreditasi Kewangan (FAA). 

 

Sehingga kini, lebih 1,700 usahawan dengan sijil IFP telah dilahirkan meliputi negara-negara seperti Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan separuh dari negara di Afrika.

 

Malaysia sememangnya memerlukan lebih ramai pakar-pakar perancang kewangan Islam bagi memenuhi permintaan yang meningkat terutama daripada pelanggan runcit muslim yang memerlukan piawaian kecekapan dan amalan yang menurut prinsip syariah. 

 

Malah, masyarakat pula kini mula faham dan mencari pakar perancang kewangan Islam untuk bantuan dan sokongan nasihat untuk memenuhi tanggungjawab mereka dalam pengurusan kewangan.

 

Antara institusi latihan yang prihatin tentang usaha membina kompetensi usahawan dalam bidang ilmu perancang kewangan Islam termasuklah Emzek Associates (M) Sdn Bhd (Emzek) melalui anak syarikatnya, Emzek Academy PLT. 

 

Sehingga kini mereka telah menyumbang kepada 136 usahawan dengan sijil IFP yang mana kemasukan kelima telah mencatat kadar kelulusan 100% dan penulis adalah salah seorang tenaga pengajarnya.

 

Dari sudut perniagaan, tanpa sistem pengurusan kewangan yang baik, segala keputusan perniagaan tidak dapat dilakukan dengan tepat kerana banyak proses pembuatan keputusan dalam perniagaan ditentukan melalui maklumat dan data-data kewangan.

 

Pandangan pakar tentang perkara-perkara penting yang perlu diambil kira oleh setiap usahawan dalam pengurusan kewangan perniagaan.  

 

Mereka kena bijak menguruskan kewangan mereka berdasarkan prinsip-prinsip kewangan yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam. 

 

Oleh demikian, pelaksanaan pengurusan kewangan secara Islam merupakan sebahagian daripada perkara asas dalam membentuk etika perniagaan Islam. 

 

Dalam hal ini, setiap usahawan perlu diserap dengan ilmu pengurusan kewangan Islam demi memastikan setiap aktiviti kewangan bebas daripada semua unsur yang diharamkan seperti riba, gharar dan maysir. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

 

Portfolio Tags