Mengapa Tok Janggut bangkit memberontak di Pasir Puteh? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 17 July 2021

MENGAPA TOK JANGGUT BANGKIT MEMBERONTAK DI PASIR PUTEH?

 

 

SEBENARNYA, jika kita gagal mengenang kisah legenda lama, kita terlepas peluang menggunakan wira yang berwibawa di dalam penceritaan zaman ini.

 

Generasi muda kita tidak nampak apa yang dikatakan oleh tokoh budayawan sebagai inventori warisan budaya Melayu yang kaya. Di manakah kita dapat melihat warisan hikayat dan legenda lama? Di muzium? Melalui penulisan buku? Diceritakan oleh tukang cerita? Apatah lagi di zaman pra-pandemik COVID-19 di mana isi kandungan digital dan alam maya melebihi segalanya.

 

Siapakah yang masih membaca manuskrip Melayu lama?

 

Kita melihat British Museum dan banyak lagi pusat budaya antarabangsa mendekatkan pelayar alam maya dengan pengalaman digital mereka. Adakah kita mempunyai pendekatan yang sama? Amat diharapkan pembuat filem dan para animasi serta pengkarya kreatif mempergiatkan pembikinan kreatif sebegini.

 

Di Netflix, semakin hari semakin rancak kisah legenda China dan Korea mendapat tempat di hati penonton di Asia. Bagaimana dengan kisah hero hikayat dan legenda lama kita?

 

Minggu ini mari kita melihat hero legenda dunia Melayu yang benar-benar ‘heroic’ melawan arus pada zaman mereka. Minggu ini, Dari Hikayat Kita memilih untuk membayangkan semangat, perasaan dan naluri Tok Janggut dari Kelantan.

 

 

Dari Pasir Puteh ke Tanah Suci Mekah

Pada abad ke-19, Tanah Melayu merupakan permata tidak ternilai Empayar Kerajaan Inggeris. Semenanjung Tanah Melayu ini membekalkan getah dan timah untuk memenuhi keperluan Komanwel. Tetapi rakyat menderita dan saying sekali berlaku pertelagahan antara mereka yang menyokong British dan mereka yang menentang campur tangan asing.

 

Mohd Hassan bin Munas dilahirkan di Kelantan pada tahun 1853. Dan pada awal usia dia belajar silat diwarisi daripada ayahnya Munas Samad, seorang guru agama dan panglima hebat di istana Jeram, Pasir Puteh sehingga menjadi pahlawan perang terkenal.

 

tok janggut

 

Setentunya, Tok Janggut orang Melayu Kelantan. Ibunya, Che Mah berasal dari Patani manakala ayahnya dari Kampung Saring, Pasir Puteh.

 

Ketika berusia 27 tahun, Tok Janggut mendalami ilmu agama di Mekah dikatakan dengan Syeikh Ahmad al-Fatani, tokoh ulama tersohor nusantara. Sekembalinya Tok Janggut ke Kelantan membawa amanah besar supaya berikhtiar membebaskan Patani daripada penjajahan.

 

Pada tahun 1909, Perjanjian Anglo-Siam membenarkan Britain mengambil alih pentadbiran Kelantan dari Siam, dan mereka segera membuat perubahan dalam adat dan adab pentadbiran Kelantan.

 

Inilah pencetus pemberontakan Tok Janggut yang dipengaruhi pemberontakan Kerajaan Uthmaniyyah pada awal abad ke-20, yang menganjurkan perang menentang imperialisme Barat.

 

Sistem cukai baru memaksa rakyat untuk membayar cukai – jika gagal mereka dipenjara atau didenda. Selain itu, tingkah laku pegawai cukai Inggeris memang tidak beradat semakin dibenci. Pada masa yang sama, rakan karib Tok Janggut Engku Besar Jeram semakin kehilangan kuasa di kawasannya dan memberontak terhadap Sultan Kelantan.

 

Orang Kelantan mula merasa tertekan dan benci terhadap orang luar seperti D.O kelahiran Singapura di Pasir Puteh, Abdul Latif yang dilantik British.

 

Sentimen anti-British meluap-luap.

 

Akhirnya, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan seterusnya jatuh ke tangan British. Abdul Latif, pegawai ‘orang luar’ yang tidak menyenangkan, mengambil alih pentadbiran Kelantan daripada Engku Jeram. Keadaan tidak terkawal kerana Latif tegas dan berkeras dalam memungut cukai di Kelantan.

 

Engku Besar Jeram meminta Tok Janggut, Haji Said, Che Sahak Merbol dan Penghulu Adam, bersepakat dan mereka menandatangani perjanjian yang melarang salsatu sama lain bekerjasama dengan pihak British sekeras-kerasnya.

 

Tidak hairanlah, perjuangan ini mendapat sokongan dari kebanyakan penduduk Kelantan. Inilah ‘jogho Kelate’ sebenar dan ini membimbangkan DO Encik Latif. Beliau memutuskan untuk menghentikan keadaan sebelum kemungkinan berlaku pemberontakan.

 

Latif pun menghantar Sarjan Sulaiman, yang lebih dikenali sebagai Sarjan Che Wan, untuk menangkap Tok Janggut kerana gagal membayar cukai kerajaan.

 

Tok Janggut bersetuju untuk pergi dengan cara damai tetapi dia enggan berjalan di hadapan. Pergaduhan pun berlaku, di mana Tok Janggut menikam Sarjan Che Wan.

 

Seperti kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur.

 

Walau apa pun, Tok Janggut dan anak buahnya sudah bosan menunggu peluang yang tepat untuk menghentikan penjajahan British.

 

Tok Janggut mengumpulkan semua anak buahnya dan menuju ke Pasir Puteh. Latif yang awalnya mengganas, cepat-cepat melarikan diri dari Pasir Puteh kerana ketakutan mendengar kehebatan Tok Janggut.

 

Merdekalah Pasir Puteh dari pemerintahan Inggeris selepas tiga hari bertempur.

 

Engku Besar Jeram dipilih sebagai Raja dan Tok Janggut sebagai Tok Menteri. British pun segeralah mengisytiharkan Tok Janggut sebagai pengkhianat. Sebenarnya pihak British panik dan menjanjikan hadiah lumayan bagi mereka yang berjaya menangkap Tok Janggut.

 

 

hikayat
Tugu peringatan Tok Janggut keris tanjak dan dua meriam di Pasir Puteh, Kelantan.

 

 

Hidup atau pun mati

Segala kerenah British hanya membakar semangat Tok Janggut . Tekadnya untuk membebaskan seluruh negeri Kelantan bertambah kuat.

 

Apa guna kepuk di ladang
Kalau tidak berisi padi
Apa guna berambut panjang
Kalau tidak berani mati

 

Guruh berdentum bumi bergegar
Ayam jaguh sedang bersabung
Jangan cakap sahaja berdegar
Hulur senjata kita bertarung

 

Patah rotan tali bersilang
Batang meranti rimbun berjejal
Langkah pahlawan di tengah gelanggang
Berpantang mati sebelum ajal

 

Batang meranti rimbun berjejal,
Ditanah datar tanam sengkuang,
Berpantang mati sebelum ajal,
Baru bermakna hidup perjuang.

 

Perahu payang layarnya merah,
Belayar menuju arah utara,
Keris dipegang bermandikan darah,
Adat pahlawan membela negara!

 

Secara diam-diam, di rumah, di madrasah dan serata negeri, masyarakat Kelantan mendoakan agar Tok Janggut tabah dan berjaya.

 

Akibat ‘kedegilan’ Tok Janggut untuk tidak menyerah kalah, pegawai British di Kelantan mengambil tindakan segera dengan membakar rumah Tok Janggut dan juga rumah pengikutnya. Api tidak dibenarkan padam dan berfungsi sebagai ‘scaring tactic’ kepada seluruh rakyat Kelantan apa yang akan berlaku sekiranya seseorang berani menentang pemerintahan Inggeris.

 

Semakin tinggi api menjulang, semakin tersebar luas kemasyhuran Tok Janggut. Tok Janggut segera kembali mengepung Pasir Puteh. Namun kali ini, nasib menyebelahi pihak Inggeris. Tok Janggut diburu dan akhirnya pertempuran sengit berlaku dekat Kampung Pupuh.

 

British mendapat perintah jangan berhenti hingga menangkap Tok Janggut.  Pertempuran begitu mengerikan dan berpanjangan. Tok Janggut berseru bahawa kesetiaannya kepada tanah airnya dan Allah adalah petunjuknya. Dia meletakkan senjatanya. Tapi adakah benar Tok Janggut tertangkap?

 

 

hikayat
Makam Tok Janggut di Pasir Pekan, Kelantan.

 

 

Jenazah Tok Janggut dikebumikan mengakhiri pemberontakan menentang pemerintahan Inggeris di Kelantan. Namun timbul pelbagai spekulasi sebenarnya Tok Janggut berjaya menyelamatkan diri seperti rakan seperjuangan Mat Kilau dari Pahang yang akhirnya menunjukkan diri setelah lama menghilang.

 

Kita menunggu anak bangsa berilmu dan bersemangat pendekar kembali ke tanah air. Yang pasti, semangat perjuangan Tok Janggut menginginkan bangsa Melayu menjadi bangsa hebat di dunia berlandaskan ugama Islam dan adat Melayu menjadi kekuatan.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags