Mengembalikan kemeriahan industri buku pasca pandemik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 10 December 2021

MENGEMBALIKAN KEMERIAHAN INDUSTRI BUKU PASCA PANDEMIK

 

 

 

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, industri perbukuan negara khususnya dalam konteks jualan buku fizikal menempuh fasa yang cukup mencabar.

 

Pandemik yang melanda menyebabkan kebanyakan penerbit buku yang sebelum ini banyak berharap dari jualan dalam acara pesta buku contohnya, berhadapan dengan situasi penurunan jualan yang mendadak.

 

Kedai dan premis jualan buku juga sekian lama dikategorikan sebagai perniagaan bukan keperluan, hingga membuatkan ia menjadi antara sektor perniagaan terakhir yang diberikan kebenaran untuk beroperasi setelah situasi pandemik semakin reda.

 

Bagaimanapun, dari satu sisi yang lain, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan peningkatan berlaku bagi jualan buku secara dalam talian, malah ia memberikan ruang yang lebih bagi masyarakat mengisi masa terluang sepanjang PKP di rumah dengan membaca. Pastinya iaitu sesuatu yang positif bagi industri ini.

 

Namun, situasi tersebut tidak cukup untuk menutup kelompongan penurunan jualan buku di kedai-kedai buku serta acara perbukuan yang sebelum ini menjadi penyumbang utama kepada sebahagian besar penerbit buku.


 

kreatif
Pertengahan tahun 2020, MPH menutup 9 cawangannya menyebabkan ramai yang bersedih.

 

Situasi ini pastinya diburukkan lagi oleh ketidakcekapan beberapa perusahaan penerbit untuk beradaptasi dengan jualan dalam talian.

 

Suku terakhir tahun 2021, dengan situasi pandemik yang semakin baik kini, dan kegiatan ekonomi yang semakin pulih, penggiat industri perbukuan harus pantas untuk memanfaatkan perkembangan situasi kini dalam berusaha mengembalikan kepercayaan semua pihak terhadap industri ini, termasuklah penerbit serta pembaca.

 

Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) telah  mengorak langkah menjadi antara pihak yang pertama menganjurkan semula acara fizikal berbentuk pesta buku iaitu Pesta Buku Selangor 2021 yang kini berlangsung bermula 2 hingga 12 Disember 2021.

 

Acara sebegini dilihat penting bagi mengembalikan persekitaran perbukuan yang meriah dalam mendekati khalayak massa.

 

Pada hujung minggu yang lalu, saya berkesempatan mengunjungi pesta buku ini bagi melihat sambutan yang diberikan oleh orang ramai, khususnya peminat buku serta masyarakat awam.


 

kreatif

 


Seingat saya, ini merupakan acara perbukuan pertama yang saya hadiri dalam fasa pasca pandemik kini.

 

Industi perbukuan merupakan sektor penting dalam keseluruhan industri kreatif – yang mana industri ini merupakan industri yang mempunyai perkaitan dan kesalinghubungan dengan pelbagai sektor lain dalam industri kreatif.

 

Sebagai industri yang akrab dan mempunyai hubungan yang rapat dengan aspek keilmuan, ia juga merupakan rantaian penting dalam memperkukuhkan keberadaan dan daya tahan industri kreatif untuk jangka masa panjang.

 

Melihat kepada sambutan yang diberikan oleh khalayak kepada Pesta Buku Selangor 2021, saya cukup optimis untuk industri perbukuan khususnya acara-acara perbukuan akan kembali mendapat sambutan.

 

Malah dengan pandemik sebagai salah satu fasa reset menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat umum, tidak mustahil ia boleh menjadi faktor penting pertumbuhan kembali industri ini untuk setidaknya lima tahun ke hadapan.


 

kreatif

 


Meskipun saiz dan skala Pesta Buku Selangor tidaklah sebesar beberapa pesta buku lain, khususnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), melihatkan kepada jangkauan kehadiran khalayak dari pelbagai latar dan golongan masyarakat memperlihat bahawa mereka sememangnya sudah cukup merindukan untuk kembali ke acara-acara sebegini.

 

Penganjuran Pesta Buku Selangor ini dilihat mampu menjadi pencetus awal kepada gelombang acara perbukuan bagi mengembalikan suasana yang pernah dimiliki industri buku sebelum pandemik terdahulu.

 

Malah jika kena dengan caranya, tidak mustahil momentum kegemilangan industri perbukuan Malaysia sekitar tahun 2014 dan 2015 dapat dikembalikan semula.

 

Apa yang perlu kini adalah menyusun dan merangka semula aktiviti perbukuan secara bersama bagi memastikan tiada pertindihan serta terdapat kelangsungan antara satu acara ke satu acara yang lain.


 

kreatif

 


Jika dilihat secara umum, perancangan bersama dalam merangka jadual acara perbukuan ini adalah praktikal untuk dilaksanakan memandangkan penggiat industri perbukuan di negara ini mengenali satu sama lain, di samping keberadaan beberapa agensi dan persatuan industri buku induk yang boleh memainkan peranan secara kolektif bagi merangka pengisian secara berstruktur, setidaknya untuk dua tahun ke hadapan.

 

Acara-acara perbukuan bukanlah sekadar platform jualan, tetapi ia juga ruang untuk mengangkat dan meraikan semangat perbukuan – yang mana ia merupakan perihal penting dalam mewujudkan masyarakat mesra buku di negara ini.

 

Usaha memasyarakatkan buku pula harus dilihat bukan sekadar kegiatan sosial dalam melahirkan masyarakat berilmu  yang membuatkan ia sering kali dilihat dalam konteks pembangunan masyarakat semata-mata.


 

kreatif

 


Dengan kadar masyarakat membaca yang rendah, acara penyuburan begini sangat penting kepada industri, sebagai usaha untuk memperluaskan saiz pasaran tempatan sebagai sumber utama pendapatan kepada industri ini. Dalam kata lain, ia juga penting dalam konteks ekonomi.

 

Semoga industri perbukuan Malaysia akan terus subur, tidak hanya dalam konteks jualan, tetapi juga aspek lain termasuk penerbitan  dengan mencatatkan peningkatan jumlah dan kepelbagaian bentuk serta genre penerbitan - yang bakal memberikan lebih warna kepada industri ini.

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags