Mercury Securities kekal saranan 'beli' terhadap Pentamaster dengan TP RM4.72 | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities kekal saranan 'beli' terhadap Pentamaster dengan TP RM4.72

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Mercury Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pentamaster Corporation Berhad dengan harga sasaran (TP) RM4.72.

 

Firma itu berkata, mereka menyukainya kumpulan itu kerana memiliki pelan pengembangan yang menarik selain memeiliki rekod yang sangat baik.

 

Katanya, TP yang ditetapkan itu mewakili potensi pulangan sebanyak 13.7% berbanding harga semasa.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu tetap berdepan risiko kenaikan harga bahan mentah selain kekurangan tenaga pekerja mahir yang dilihat akan menjejaskan prestasi mereka pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, dalam usaha mengembangkan pengeluaran kumpulan, mereka sedang membina kilang ke-3 di Batu Kawan dengan keluasan binaan seluas 600,000 kaki persegi atau tiga kali ganda lebih besar daripada ruang lantai pengeluaran sedia ada yang dijangka siap dalam 1H24.

 

Katanya, 40% daripada ruang akan diperuntukkan untuk segmen perubatan dengan pemasangan bilik bersih dan barisan pengeluaran dan ruang selebihnya akan digunakan untuk segmen penyelesaian automasi kilang (FAS).

 

"Walaupun masih menunggu kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Malaysia (MDA), syarikat itu menjangkakan produk perubatan daripada MediQ akan menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan pada FY23.

 

"Kami menjangkakan, apabila kilang ke-3 syarikat itu siap pada FY24, kumpulan itu akan berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan segmen perubatannya dan mencapai sasaran pendapatan RM1 bilion menjelang FY25.

 

"Pada masa sama, kumpulan akan memanfaatkan industri peranti perubatan yang dianggarkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 14% dari 2021 hingga 2026," katanya. - DagangNews.com