MGB raih kontrak bina rumah bernilai RM172.34 juta di Selangor | DagangNews Skip to main content

MGB raih kontrak bina rumah bernilai RM172.34 juta di Selangor

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Ogos - MGB Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, MGB Construction &
Engineering Sdn. Bhd. meraih kontrak pembinaan kediaman bertingkat di Sepang, Selangor bernilai RM172.34 juta.

 

Ia menerima surat anugerah bagi projek itu daripada Kita Sejati Sdn. Bhd. menerusi Blee & W Architects Sdn. Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Projek itu membabitkan pembinaan 2 blok apartmen perkhidmatan 24 tingkat merangkumi 843 unit dan 211 unit mampu milik.

 

Selain itu, ia juga terdiri daripada 1 blok 8 tingkat terdiri daripada 7 tingkat tempat letak kereta manakala kemudahan di tingkat bawah dan 1. 

 

Kontrak pembinaan itu turut merangkumi pembinaan sebuah rumah pengawal dan ruang sampah.

 

"Projek ini akan bermula pada 1 September 2022 dan dijangka siap pada 30 November 2023," katanya. 

 

Menurut MGB, perolehan kontrak itu akan meningkatkan dan menambah baik nilai projek sedia ada bagi kumpulan syarikat. 

 

Katanya, dengan perolehan itu, menjadikan nilai kontrak semasa kumpulan kepada hampir RM2.21 bilion.

 

"Bagaimanapun, ia dijangka tidak memberi kesan kepada terbitan modal saham syarikat tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham bagi syarikat dan kumpulan sepanjang tempoh kontrak," katanya. - DagangNews.com