NWP tolak permintaan adakan EGM, anggap tidak sah | DagangNews Skip to main content

NWP tolak permintaan adakan EGM, anggap tidak sah

KUALA LUMPUR 20 Jan - Mesyuarat agung luar biasa (EGM) NWP Holdings Bhd. seperti yang diminta oleh beberapa pemegang sahamnya tidak akan diadakan memandangkan lembaga pengarah menganggapnya sebagai tidak sah.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan berkata, alasan penolakan itu dibuat kerana agensi yang membuat permintaan EGM iaitu Maybank Nominees (Tempatan) Sdn. Bhd. Pledged Securities Account Bagi Datuk Tan Lik Houe (Maybank) dan Affin Hwang Nominees (Tempatan) Sdn. Bhd. Pledged Securities Account Bagi Chang Huan Soon (Affin).

 

"Affin dan Maybank bukan ahli syarikat untuk sekurang-kurangnya 10% daripada terbitan modal saham syarikat secara agregat setakat 6 Januari 2022," katanya. 

 

Syarikat itu juga mendapati notis EGM menetapkan bahawa borang proksi akan didepositkan dengan Shareworks Sdn Bhd.

 

Shareworks telah mengesahkan secara bertulis bahawa ia tidak akan menerima mana-mana borang proksi berkenaan EGM; Datuk Tan Lik Houe telah mengesahkan secara bertulis bahawa Affin dan Maybank tidak pernah melantik Shareworks sebagai pentadbir tinjauan pendapat untuk EGM.

 

"Oleh itu, lembaga pengarah NWP ingin mengumumkan bahawa EGM adalah tidak sah, dan tidak akan diadakan, dan tidak sah jika diadakan sedemikian," tegasnya. 

 

Malah, NWP juga menyedari harga sahamnya menurun dengan ketara selepas syarikat membuat pengumuman pada 12 Januari lalu berhubung notis dan EGM. 

 

Ia juga memberi amaran kepada ahli dan pemegang sahamnya supaya lebih berhati-hati dan berwaspada ketika mengemukakan sebarang dokumen dan/atau maklumat yang perlu diumumkan oleh syarikat.

 

Baca : NWP tuntut RM6.5 juta daripada Kee Soon Ling dan Yew Onn Chong

 

Pada 17 Januari lalu, NWP mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Urusannya, Dato’ Sri Kee
Soon Ling dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Yew Onn Chong atas dakwaan transaksi meragukan oleh mereka dari tahun 2016 hingga 2021.

 

NWP bersama subsidiari milik penuhnya, NWP O&M Sdn Bhd, NWP Aquatech Sdn Bhd dan NWP Builder Sdn Bhd memfailkan writ dan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi menerusi peguam Messrs Chong + Kheng Hoe selepas pengurusan baharu syarikat menemukan transaksi meragukan tersebut, yang didakwa mengakibatkan NWP dan subsidiari mengalami kerugian.

 

Kedua-dua Kee dan Yew didakwa membenarkan transaksi meragukan tersebut dicatat dan dimasukkan ke dalam Penyata Kewangan syarikat dari tahun kewangan berakhir 2016 hingga 2021 yang telah dikemukakan dan diumumkan kepada Bursa Malaysia.

 

Ketika dagangan berakhir petang ini, saham NWP susut 1 sen atau 5.56% kepada 17 sen dengan 16.02 juta saham diniagakan menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM87 juta. - DagangNews.com