NWP tuntut RM6.5 juta daripada Kee Soon Ling dan Yew Onn Chong | DagangNews Skip to main content

NWP tuntut RM6.5 juta daripada Kee Soon Ling dan Yew Onn Chong

Pengarah Urusan NWP, Dato’ Sri Kee Soon Ling disaman oleh pengurusan baharu syarikat NWP.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR  17 Jan – NWP Holdings Berhad mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Urusannya, Dato’ Sri Kee Soon Ling dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Yew Onn Chong atas dakwaan transaksi meragukan oleh mereka dari tahun 2016 hingga 2021.

 

NWP bersama subsidiari milik penuhnya, NWP O&M Sdn Bhd, NWP Aquatech Sdn Bhd dan NWP Builder Sdn Bhd memfailkan writ dan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi menerusi peguam Messrs Chong + Kheng Hoe selepas pengurusan baharu syarikat menemukan transaksi meragukan tersebut, yang didakwa mengakibatkan NWP dan subsidiari mengalami kerugian.

 

Kedua-dua Kee dan Yew didakwa membenarkan transaksi meragukan tersebut dicatat dan dimasukkan ke dalam Penyata Kewangan syarikat dari tahun kewangan berakhir 2016 hingga 2021 yang telah dikemukakan dan diumumkan kepada Bursa Malaysia.

 

Di bawah saman tersebut, NWP menuntut ganti rugi sebanyak RM6.5 juta daripada Kee dan Yew, selain menghalang mereka daripada berperanan sebagai pengarah Syarikat selama 5 tahun dan memiliki hak mengundi berdasarkan saham biasa syarikat.

 

‘’NWP dan syarikat subsidiari telah memfailkan permohonan Perintah Interim terhadap defendan,’’ kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Pada 16 Januari lalu, NWP turut mendakwa telah mendapati Rekod Pendeposit Syarikat (ROD) bahawa setakat 10 Januari 2022 telah dibocorkan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan, kebenaran dan diberi kuasa oleh syarikat.
 

Yew Onn Chong
                                                       Yew Onn Chong

 


''Mengikut rekod syarikat, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk ROD daripada pihak ketiga, atau memberi kuasa untuk menyediakan ROD kepada mana-mana pihak ketiga. 

 

‘’Syarikat telah melancarkan penyiasatan untuk mengesan bahaimana dan dalam kaedah apa pihak ketiga memperoleh salinan penuh ROD,’’ ujar syarikat itu.

 

TERKINI: NWP tolak permintaan adakan EGM, anggap tidak sah

 

Di peringkat interim, NWP telah menuntut penjelasan bertulis daripada One Capital Market Services Sdn Bhd,  Affin Hwang Nominees (Tempatan) Sdn Bhd iaitu Akaun Sekuriti bagi Tan Lik Houe dan Maybank Nominees (Tempatan) Sdn Bhd untuk Akaun Sekuriti bagi Chang Huan Soon. 

 

``Syarikat akan berhubung dengan pihak berkuasa dan pengawal selia untuk tindakan lanjut sejurus penyiasatan dilengkapkan.

 

‘’Bagi memelihara integriti ROD, syarikat telah bertindak menamatkan perkhidmatan One Capital Market Services dengan notis serta-merta di mana pengumuman berasingan akan dibuat tidak lama lagi,’’ kata NWP.

 

NWP

 


Menurut NWP, ROD tersebut mengandungi maklumat peribadi ahli-ahlinya seperti nama penuh, nombor akaun CDS, Nombor Kad Pengenalan dan alamat.

 

Sebarang permintaan, pengendalian dan penyediaan ROD adalah ditadbir mengikut Akta Industri Sekuriti (Pendeposit Pusat) 1991, dan syarikat akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggar peraturan itu.

 

NWP juga telah mendapati notis bertarikh 30 Disember 2021 oleh Dato’ Tan Lik Houe yang mendakwa dan mengisytiharkan beliau merupakan Pemegang Saham Berdaftar bagi  26,611,100 saham syarikat, adalah tidak benar dan memesongkan.

 

‘’Oleh itu, syarikat telah mengarahkan peguamnya untuk menuntut Dato’ Tan supaya memperbetulkan notis berkenaan,’’ kata NWP. – DagangNews.com