Orang ramai masih ragu-ragu beli rumah, pilih untuk menyewa - kajian PropertyGuru | DagangNews Skip to main content

Orang ramai masih ragu-ragu beli rumah, pilih untuk menyewa - kajian PropertyGuru

Pasaran sewa mungkin akan terus berkembang hingga ke separuh kedua tahun ini. - Gambar : Maria Ziegler/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 0gos - Pasaran sewa dijangka terus berkembang hingga ke separuh kedua 2022 ekoran kebimbangan pembeli terhadap kenaikan inflasi dan kadar dasar semalaman (OPR). 

 

Laporan Pasaran Hartanah Malaysia (MPMR) bagi suku ketiga 2022 yang dikeluarkan PropertyGuru DataSense menunjukkan permintaan sewa dijangka terus meningkat 12.89% suku ke suku dengan peningkatan besar tahun ke tahun sebanyak 96.83% pada suku kedua 2022.

 

Ia mendapati bakal pembeli rumah mungkin akan terus berhati-hati dalam membuat keputusan pembelian yang besar, justeru, lebih tertarik kepada penyewaan sebagai alternatif jangka pendek.

 

Ini menyaksikan indeks harga sewa meningkat 2.82% suku ke suku dan 4.46% tahun ke tahun pada suku kedua 2022. 

 

Peningkatan permintaan sewa yang perlahan tetapi stabil juga membantu dalam pertumbuhan penawaran hartanah sewa kerana pemilik berpeluang memanfaatkan aliran permintaan yang semakin meningkat dan menggalakkan penyenaraian hartanah untuk disewa. 

 

 

Sheldon Fernandez
Sheldon Fernandez

 

 

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, pasaran hartanah pada suku kedua tahun ini seperti dijangka menunjukkan aliran peningkatan secara beransur-ansur, namun ia masih belum pulih sepenuhnya. 

 

Katanya, beberapa faktor berterusan seperti kenaikan inflasi, OPR dan isu kemampuan telah menjejaskan situasi pasaran. 

 

"Walaupun kami melihat lebih banyak aktiviti pada suku sebelum ini, tetapi ia akan mengambil sedikit masa sebelum pengguna lebih yakin dalam membuat keputusan besar untuk membeli hartanah. 

 

"Kesan daripada faktor-faktor tersebut berkemungkinan besar dapat dilihat dalam prestasi suku semasa," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

propertyguru

 

 

Laporan Pasaran Hartanah Malaysia itu menyaksikan peningkatan secara beransur-ansur, dengan indeks permintaan keseluruhan meningkat 7.93% suku ke suku, walaupun berada dalam zon negatif pada suku sebelumnya. 

 

Malah, laporan itu mencatatkan aliran menaik dalam beberapa aspek seperti Indeks Pasaran Jualan Hartanah, Indeks Permintaan dan Indeks Bekalan bagi sektor hartanah bertanah dan bertingkat tinggi. 

 

Peningkatan itu disebabkan peralihan negara kepada fasa endemik, yang membolehkan pembukaan semula sempadan dan peningkatan produktiviti, sekali gus menambah baik tahap keyakinan pengguna.

 

Sementara itu, kediaman bertanah mengatasi bertingkat tinggi, dengan Indeks Harga Jualan Tanah yang meningkat sebanyak 1.32% suku ke suku dan 5% tahun ke tahun pada suku kedua 2022. 

 

Terdapat juga kenaikan dalam bekalan sebanyak 1.91% suku ke suku dan 7.31% tahun ke tahun, menunjukkan sedikit peningkatan dalam keyakinan pembeli dan penjual pada masa sekarang. 

 

 

propertyguru

 

 

Selain peningkatan secara beransur-ansur yang dilihat pada suku sebelum ini, pembukaan semula sempadan selepas tempoh sekatan yang panjang telah mengembalikan prospek pengembangan pasaran yang menarik pembeli asing. 

 

Dapatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) tmenunjukkan bahawa pelabur hartanah Singapura adalah antara 3 pelabur langsung asing teratas pada 2017 semasa kadar pertukaran mata wang amat memberangsangkan.

 

Berikutan itu, Johor telah menjadi kawasan tumpuan berdasarkan penemuan dalam Laporan Pasaran Hartanah Malaysia suku ketiga 2022, yang menunjukkan permintaan tinggi untuk hartanah di kawasan Kulai, sebuah perbandaran dengan pertumbuhan kehadiran industri moden dan pengembangan pesat revolusi bandar. 

 

Menurut Sheldon, berdasarkan pemerhatian dalam laporan berkenaan, didapati keadaan semasa adalah lebih baik berbanding keadaan pasaran sewaktu pandemik. 

 

"Walaupun peningkatan secara beransur-ansur dapat dilihat, tetapi masih ramai yang agak ragu-ragu dalam membuat keputusan pembelian. 

 

"Secara keseluruhan, kami berharap untuk melihat keadaan pasaran terus memperoleh manfaat seimbang pada suku akan datang," katanya. - DagangNews.com