Pantun Darah Daging Baba & Nyonya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 28 May 2022

PANTUN DARAH DAGING BABA & NYONYA

 

 

 

 

Pantun. Pantun Peranakan Baba. Dondang Sayang.

 

Dondang Sayang lagu Melayu
Boleh meng dengar di ilir dan ulu
Terpuji oleh Tiong Hwa dan Melayu
Suda meshor dari dahulu…
(Entri  992)

 

Pertalian budaya antara Peranakan Baba dan Melayu memang tidak dapat dinafikan. Sejak berkurun lamanya, sejarah asimilasi budaya masyarakat Baba dan Nyonya dan Melayu menjadi pengikat keharmonian.

 

Ramai melihat hakikat ini dari segi pemakaian busana, pemakanan dan bahasa harian. Namun jika melihat pada kesusasteraan, jalinan seni dan budaya ternyata lebih jauh mendalam dan begitu bermakna sebagai warisan sejarah negara.

 

Baru-baru ini, Prof Ding Choo Ming telah menerbitkan buku Bibliografi Pantun Peranakan Baba Negeri Selat: Khazanah Sastera Yang Tersembunyi yang mengandungi 2797 rangkap iaitu kira kira 18% dari rangkap yang pernah dikumpulkan beliau.

 

 

buku
Buku Bibliografi Pantun Peranakan Baba Negeri Selat karya Prof Ding Choo Ming

 

 

Daripada pendokumentasian yang sudah dilakukan 10 tahun dahulu, sebanyak 15,612 rangkap puisi bahasa peranakan baba telah diterbitkan dalam bentuk buku dan disiarkan di  pelbagai akhbar dari tahun 1889 hingga tahun 1950an. Prof  Ding memberikan sebab utama pemilihan ini yang saya akan sentuh kemudian.

 

Saya mula mengenali Pantun Peranakan Baba atas pengenalan dan buku-buku diberikan oleh Prof  Ding semasa mula berkenalan dahulu. Prof Ding atau yang saya kenali sebagai Pak Ding adalah ahli akademik yang pertama begitu menyokong saya meneruskan kajian dan penulisan bertemakan Hikayat Melayu.

 

Pak Ding menggalakkan saya membuat pembentangan sebagai pengkaji bebas dan berkenalan sarjana seluruh dunia di Persidangan Folklor Antarabangsa di Yogjakarta pada tahun 2013 serta di Seminar Antarabangsa Manuskrip Jawa dan Melayu anjuran Pusat Nalanda Sriwijaya, ISEAS, Singapura pada tahun 2014. 

 

Pak Ding begitu cintakan pantun dan dalam koleksi ini, menonjolkan pantun Baba yang begitu hampir dengan pantun Melayu dari segi format (pembayang dan maksud). Beliau mengatakan bahawa peranakan baba amat minat dengan pantun yang telah menjadi darah daging mereka.

 

Beliau berkata, “Kekuatan sastera peranakan baba di Negeri Selat ialah pantun yang telah digunakan setengah pengarang peranakan baba secara luas untuk meliputi syair, gurindam, seloka, syair dan dondang sayang. Dalam makalah ini akan diperkatakan serba-serbi tentang puisi itu, lebih-lebih lagi keistimewaannya.”

 

Pantun yang masih mampu difahami meskipun ditulis dengan sistem ejaan baba nyonya tersendiri itu, dikenali sebagai sebahagian warisan kesusasteraan komuniti peranakan ini di mana Bahasa Melayu yang digunakan kadang kala ada mengandungi perkataan yang dipinjam dari Bahasa Cina terutamanya dari dialek Hokkien.

 

 

Prof Ding Choo Ming
                                   Prof Ding Choo Ming

 

 

Ujar beliau lagi, masa antara tahun 1890an hingga tahun 1950an adalah “zaman kegemilangan” bahasa, sastera dan budaya peranakan baba di Negeri Selat.

 

Zaman kegemilangan itu juga boleh dikatakan sebagai “post-literate period” masyarakat peranakan baba, berbanding dengan tempoh sebelumnya yang boleh dikenali sebagai “pre-literate period” masyarakat itu.

 

Perbezaan utama antara kedua-dua period itu ialah peranakan baba post-literate period telah menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa persuratan, dan bukan lagi digunakan sebagai bahasa pertuturan.

 

Selaras dengan pembentukan persekitaran sosio-budaya yang baru itu, lahirlah generasi baru peranakan baba yang tahu membaca dan menulis, selain memiliki semangat penerokaan yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka dahulu.”

 

 Pak Ding menganggap kekuatan sastera Peranakan Baba di Negeri-Negeri Selat  memang terletak pada pantun.

 

Pantun Baba dan Nyonya di Negeri-negeri Selat iaitu Melaka, Singapura dan Pulau Pinang yang diberikan nafas baru bersama iringan muzik Dondang Sayang menunjukkan lagi hubungan harmoni dan kesantunan antara kedua budaya, Melayu dan Cina yang begitu berkait rapat.

 

 

hikayat

 

 

Dondang Sayang makin mendapat tempati di hati rakyat di mana pada tahun 2018 seni warisan ni diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori warisan kebudayaan tidak ketara (intangible cultural heritage). Contoh Pantun Baba yang menjadi lirik irama Dondang Sayang,

 

Naday bugis tolak blayar,

   Tengah laot patah kemudi-nya;

Hutang budi dapat di bayer,

   Hutang hati apa ganti-nya.

Tengah laot patah kemudi,

   Layar koyak di pukol angin;

Hutang hati membawak mati,

   Sebagi bola di pukol angin.

Pisang mas bawak blayer,

   Jerok mari dalam kendi;

Hutang budi balas di dunia,

   Hutang hati mengikat diri.

Pisang mas bawak blayer,

   Masak sa-bijik di-atas peti;

Hutang mas boleh di bayer,

   Hutang budi menanggong hati.

Melayu warisi secara lisan

 

Dari segi sejarah, dondang sayang warisan budaya zaman Kesultanan Melaka begitu dekat di hati Peranakan hingga menjadi sebahagian identiti kebudayaan masyarakat ini.

 

Namun  ada perbezaan asal penyemarakan pantun. Pantun Peranakan Baba berkembang luas dengan hadirnya budaya penerbitan di abad ke-19 di Negeri Selat.  Pantun orang Melayu pula diwarisi secara lisan zaman berzaman.

 

 

baba

 

 

Peranakan Baba ini kebanyakannya bersekolah di sekolah mubaligh sehingga menguasai kemahiran membaca dan menulis, sekali gus menjelaskan pantun ditulis berdasarkan bunyi yang mereka dengar. Oleh itu ejaannya agak tidak seragam.

 

Uniknya Bibliografi ini di mana Pak Ding telah melengkapkan teks asal dengan pantun dalam bahasa Melayu sekarang untuk membantu pembaca mengatasi kecelaruan ejaan asal bahasa Baba.

 

Saya selitkan beberapa pantun dari koleksi ini bertemakan burung yang sangat istimewa. Dari nasihat hingga berkasih-kasihan.

 

792...

Burong pipit di atas ranting                                     Burong pipit di atas ranting            

Jatuh seekor dimakan kucing                                 Jatuh seekor dimakan kucing

Tritep suda menjadi beting                                     Teritip sudah menjadi beting

Ikan tak sedar mati di panching                              Ikan tak sedar mati dipancing

 

Maksud: Dengan perubahan yang berlaku, orang yang tidak sedar akan terkena.

 

 

795

Burong pipit trabang s’kawan                                 Burung pipit terbang sekawan

Singga ka-kebun makan padi                                  Singgah ke kebun makan padi

Suda rindu bertamba rawan                                   Sudah rindu bertambah rawan

Apa pekerjaan smua tak jadi                                  Apa pekerjaan semua tak jadi

 

Maksud: Semua kerja tidak boleh dibuat kerana rindu dan sedih.

 

799...

Burong rwak rwak mati brinpet                             Burung rewak rewak mati berhimpitan

Mati skawan dalam kurong-an                               Mati sekawan dalam kurungan

Nak bwak prau ku sempet                                      Nak bawa perahu ku sempit

Tinggallah Tuan atas junjongan                              Tinggallah Tuan atas junjungan

 

Maksud: Apalah daya kerana tidak berdaya, maka tuan terpaksa ditinggalkan

 

 

nyonya

 

 

Sesungguhnya, Bibliografi ini penting untuk memahami akulturasi budaya. Dengan terbitnya bibliografi ini sudah tidak timbul masalah susah mendapatkan bahan pantun peranakan untuk dikaji. 

 

Pak Ding sudah mendapatkan bahan kajiannya dari London, Leiden, Paris, Singapura dan koleksi peranakan baba yang tertentu di Melaka.

 

Buku ini boleh dibeli dari Pusat Kajian Cina Malaysia, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA 

Portfolio Tags