Pasaran buruh di Malaysia berada dalam trend pemulihan yang stabil | DagangNews Skip to main content

Pasaran buruh di Malaysia berada dalam trend pemulihan yang stabil

Pembukaan semula sempadan antarabangsa akan menyaksikan lebih banyak perniagaan mencapai kapasiti operasi yang lebih tinggi dalam ekonomi domestik seperti sektor penerbangan dan pelancongan.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Jun - Pasaran buruh di negara ini terus menunjukkan trend pemulihan yang stabil apabila kadar pengangguran pada April 2022, jatuh di bawah paras 4% buat pertama kali kepada 3.9% sejak tercetusnya pandemik COVID-19.

 

Pada masa sama, kadar kekosongan pekerjaan yang dicatatkan pada Mac 2022, adalah rendah sedikit pada 70.5% berbanding rekod tinggi 74.9% pada bulan sebelumnya.

 

Ini membolehkan MIDF Research mengekalkan unjuran kadar pengangguran yang lebih rendah tahun ini pada 4%.

 

Menurutnya, pembukaan semula sempadan antarabangsa akan menyaksikan lebih banyak perniagaan mencapai kapasiti operasi yang lebih tinggi dalam ekonomi domestik seperti sektor penerbangan, pelancongan, pembinaan dan pembuatan.

 

"Sebagai ekonomi pengeksport minyak, kami menjangkakan permintaan buruh untuk sektor utama khususnya minyak & gas dan perladangan kelapa sawit akan meningkat dengan ketara di tengah-tengah peningkatan kesan harga komoditi global.

 

"Bagaimanapun, kemasukan semula pekerja asing dijangka pada kadar sederhana memandangkan terdapatnya peraturan buruh dan keperluan terhadap pendekatan COVID-19 yang perlu dipenuhi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia April 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam, ia menunjukkan bilangan penganggur terus menurun bagi 9 bulan berturut-turut, mencatatkan pengurangan sebanyak 3% peratus atau19,900 orang kepada 649,300 penganggur. 

 

Baca : Kadar pengangguran pada April pertama kali jatuh di bawah 4% selepas 2 tahun dilanda pandemik

 

Bagi perbandingan tahun ke tahun, bilangan penganggur berkurang sebanyak 12.6% atau 93,400 orang berbanding 742,700 pada April 2021.

 

Malah, kadar pengangguran juga menurun sebanyak 0.7 mata peratus berbanding April 2021 pada 4.6%

 

Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran kadar pengangguran tahun ini pada 3.9% dengan menjangkakan pasaran buruh semakin bertambah baik.

 

Namun, katanya, risiko penurunan masih wujud di tengah-tengah potensi lonjakan kes COVID-19 yang dibawa oleh varian baharu, krisis Rusia-Ukraine yang berterusan dan dasar sifar COVID-19 yang dikuatkuasakan di China

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pasaran buruh akan bertambah baik tahun ini berikutan pelbagai dasar sokongan dilaksanakan kerajaan dan kadar vaksinasi yang tinggi.

 

"Di sebalik, pasaran buruh semakin ketat dan jangkaan pemulihan kukuh dalam penggunaan swasta, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 kami pada 5 hingga 5.5%," jelas firma itu. - DagangNews.com