Pasukan Khas Jihad Inflasi: Dua sudut pandangan berbeza | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 6 July 2022

Pasukan Khas Jihad Inflasi: Dua sudut berbeza

 

 

 

KETIKA rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi kerana kenaikan harga barang yang agak mendadak, tiba-tiba kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

 

Penubuhan pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini mendapat pelbagai pandangan daripada rakyat.

 

Ada yang mengkritik penubuhan ini dan ada yang menyokong.

 

Yang pasti setiap perkara itu boleh dilihat dari dua sudut yang berbeza untuk kita nilaikan.

 

Apa dan Siapa Penubuhan pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi?

Frasa “Jihad” ini dipilih oleh kerajaan berkemungkinan untuk menunjukkan usaha dan matlamat kerajaan yang penting bagi menangani isu inflasi di Malaysia yang semakin “kritikal”.

 

Pasukan jihad ini dianggotai oleh Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia, selaku pengerusi. Selain itu, pasukan ini turut dianggotai oleh  Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

 

Selain itu, pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Jihad dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai urusetia.

 

 

volatiliti

 

 

Apakah peranan Pasukan Jihad?

Pasukan Jihad ini berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

 

Pasukan ini juga akan menyusun strategi dan menyelaraskan tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya dalam mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.

 

Mengambil kira kejayaan pasukan yang menguruskan pandemik COVID-19, pasukan jihad adalah sebagai satu “klon” pasukan pandemik.

 

Pasukan jihad ini dijangka akan mengadakan mesyuarat sebanyak 2 kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis dan akan mengadakan sidang media selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat yang telah diputuskan dalam mesyuarat.

 

“Bunyinya” macam menarik

Jika dilihat daripada perancangan di “atas kertas” dan apa yang disebutkan, bunyinya macam menarik yang mana pasukan ini akan cuba mencari penyelesaian terbaik setiap minggu untuk menangani masalah inflasi.

 

Ia sebagai satu pendekatan  rentas kementerian yang holistik dirumuskan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat memahami situasi yang sedang melanda negara.

 

Pandemik vs. Inflasi

Walaupun penubuhan Pasukan Jihad ini sebagai klon pasukan pandemik, namun begitu keadaan pandemik dan inflasi adalah dua keadaan yang berbeza.

 

Pandemik memerlukan tindakan segera kerana kes jangkitan dan kematian melibat setiap jam dan minit namun begitu masalah inflasi ini adalah satu keadaan yang melibatkan satu tempoh masa.

 

Untuk menyelesaikan masalah inflasi ini ia memerlukan satu tindakan proses dan bukannya satu tindakan serta merta seperti menangani pandemik COVID-19.

 

 

MPN

 

 

Apa jadi dengan MPN?

Seperti yang kita ketahui, dalam era pasca pandemik ini, negara dalam proses pemulihan ekonomi melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN).

 

Apa dah jadi dengan MPN? Adakah MPN masih wujud?

 

Tidakkah berlaku pertindihan tugas dan tanggungjawab antara MPN dan Pasukan Jihad. MPN ini ditubuhkan adalah bertujuan untuk memulihkan ekonomi termasuk menangani inflasi ini.

 

Seperti yang kita tahu, MPN dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Adakah kerajaan mahu “mengeluarkan” Muhyiddin dalam membuat keputusan negara maka kerajaan tubuhkan Pasukan Jihad?

 

Sepatutnya keputusan yang dibuat oleh MPN boleh dibincangkan dan  dicari penyelesaian apabila bertemu dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

 

Lantik individu pakar ekonomi dan kurangkan birokrasi

Jika kerajaan tekad menubuhkan juga Pasukan Jihad bagi menyelesaikan masalah inflasi ini tanpa ada apa-apa agenda “udang di sebalik batu”, kerajaan perlu melantik individu yang mempunyai ilmu pengetahuan dan pemahaman yang luas mengenai ekonomi untuk menganggotai Pasukan Jihad.

 

Selain mengambil pendapatan daripada pakar ekonomi ini, sekurang-kurangnya individu berkecuali ini akan menjadi “check and balance” dalam keputusan yang dibuat.

 

Namun begitu, Pasukan Jihad mahupun kerajaan tidak perlu khuatir, keputusan akhir tetap diputuskan oleh Pasukan Jihad dan kerajaan,

 

Selain itu, jika mahukan Pasukan Jihad ini benar-benar berjaya, perlu kurangkan  kerenah birokrasi yang menjadi sering menjadi dinding yang  memisahkan agensi kerajaan dan pihak luar.

 

 

volatiliti

 

 

Bukan sekadar kempen jualan murah

Pasukan Jihad dijangka mengadakan perbincangan dengan pasar raya bagi melancarkan kempen jualan murah secara besar-besaran.

 

Persoalannya, adakah jualan murah ini jalan penyelesaian kepada masalah inflasi? Adakah barang yang dijual semasa kempen jualan murah di pasar raya ini benar-benar murah? Mampukah pasar raya melakukannya? Berapa lama pun kempen ini akan berjalan?

 

Peniaga juga perlu dilindungi

Dari sudut pandang berbeza, hak peniaga juga perlu dilindungi sama seperti hak pengguna. Peniaga juga terpaksa membeli barang dengan kos yang tinggi daripada pembekal.

 

Bagaimana peniaga boleh menjual dengan harga yang sama atau lebih murah sedang kos belian dan kos operasi mereka yang semakin meningkat.

 

Sebagai contoh lain, peniaga kecil-kecil yang meniaga nasi lemak dan kuih-muih terpaksa menaikkan harga jualannya kerana mereka menanggung kos belian dan operasi yang tinggi, Adilkah untuk mereka untuk menjual pada harga yang sama?

 

Kawal selia orang tengah

Bagi melindungi hak peniaga dan juga rakyat, Pasukan Jihad perlu mengawal selia orang tengah iaitu pemborong yang menjadi punca kenaikan harga barang yang agak mendadak.

 

Dek kerana pengaruh dan kuasa orang tengah yang dikenali sebagai kartel yang sangat dominan ini menyebabkan skim kawalan harga yang dilancarkan oleh kerajaan “sepi” begitu sahaja kerana harga ini dikawal oleh kartel ini bukannya oleh kerajaan.

 

Kawalan harga tidak akan berjaya dilaksanakan jika orang tengah bebas membuat keputusan dalam penentuan harga. Ada banyak negara lain di dunia yang boleh kerajaan jadikan contoh di mana orang tengah ini dikawal oleh kerajaan.

 

Bagi mengawal orang tengah ini menentukan harga sesuka hati, mekanisme penetapan harga boleh dilakukan.

 

 

volatiliti

 

 

Rakyat perlu bagi sokongan

Apa yang diharapkan kepada Pasukan Jihad mampu untuk mencari penyelesaian jangka masa pendek dan panjang dalam isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat sepatutnya menjadi tanggungjawab utama pasukan ini.

 

Isu inflasi dan kenaikan kos sara hidup merupakan isu yang perlu dinilai secara menyeluruh dan memerlukan penyusunan strategi dan menyelaraskan tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya dalam mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.

 

Tuntas nya, jika kerajaan nekad menubuhkan Pasukan Jihad ini, rakyat perlu memberi sokongan dan kepercayaan kepada Pasukan Jihad ini. Moga yang baik-baik sahaja buat rakyat kelak! - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags