PDB, Petros tandatangani perjanjian induk bagi perniagaan LPG di Sarawak | DagangNews Skip to main content

PDB, Petros tandatangani perjanjian induk bagi perniagaan LPG di Sarawak

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Petronas Dagangan Berhad (PDB) menandatangani Perjanjian Induk dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bagi menandakan perkongsian strategik antara kedua-dua pihak dalam perniagaan Gas Petroleum Cecair (LPG) di Sarawak.

 

Naib Presiden Pemasaran Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias berkata, majlis menandatangani perjanjian ini menandakan permulaan perkongsian jangka panjang antara kedua-dua syarikat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Sarawak. 

 

"Melalui perkongsian strategik ini, PDB dan PETROS akan memasarkan produk LPG secara kolaboratif di negeri ini, dengan memanfaatkan kepakaran kedua-dua syarikat termasuk rangkaian rantaian bekalan LPG bersepadu PDB dan pengalaman selama 30 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani; Pengarah PETROSNiaga, Janin Girie; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Datuk Sauu Kakok. 

 

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Hamid Bugo.

 

Menurut kenyataan itu lagi, perkongsian itu termasuk pelupusan perniagaan LPG PDB di Sarawak kepada PETROSNiaga Sdn Bhd (PNiaga), anak syarikat milik penuh PETROS, dan langganan saham dalam PNiaga oleh PDB. 

 

Ujarnya, perkongsian itu adalah langkah strategik untuk menggabungkan kekuatan, pengalaman dan kecekapan kedua-dua syarikat minyak dan gas untuk memaksimumkan nilai untuk pelanggannya di Sarawak. 

 

"Berikutan itu, Gas PETRONAS akan beralih secara beransur-ansur kepada silinder berisi gas LPG PETROS, memenuhi aspirasi Kerajaan Sarawak untuk liputan PETROS LPG di seluruh negeri dan merealisasikan hasrat Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016," katanya.

 

Sementara itu Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Hamid berkata, perkongsian hari ini untuk PETROS LPG secara strategik menyokong aspirasi Negeri untuk memastikan akses saksama kepada bahan api harian yang penting untuk rakyat Sarawak, mendapatkan sumber minyak dan gas negeri untuk bekalan domestik yang mampan. 

 

"Kami tetap teguh dalam bekerjasama dengan rakan industri dan rakan sejawatan negeri kami untuk menyampaikan tenaga ke rumah, perniagaan dan industri Sarawak," katanya.

 

LPG PETROS mula memasuki pasaran domestik pada 4 Ogos 2021, menerusi perkongsian ini, kedua-dua PDB dan PETROS akan memudahkan peralihan yang lancar untuk memastikan bekalan LPG berterusan kepada pelanggan di Sarawak. -DagangNews.com