Pelabur runcit mesti `check' ESG syarikat sebelum melabur saham | DagangNews Skip to main content

Pelabur runcit mesti `check' ESG syarikat sebelum melabur saham

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

SEANDAINYA anda berstatus pelabur runcit, perhatikan perkara ESG atau `alam sekitar, sosial dan tadbir urus' mesti ada pada sesebuah syarikat tersenarai, dan paling penting dilaksanakan dengan baik. Perhati teliti. Tak boleh `skip'.

 

Sekian lama pelabur runcit yang juga bersamaan dengan kluster `pemegang saham minoriti’ hanya memfokus kepada untung rugi setiap suku tahunan syarikat. Aspek itu masih penting tetapi ESG semakin penting untuk tidak diambil pusing.

 

Impak dan implikasi tidak mempedulikan hal ESG mula ketara dalam kalangan syarikat-syarikat yang buat tidak tahu mengenainya, dengan publisiti mengenai syarikat tercemar lalu mendorong keyakinan menyusut, seterusnya mengakibatkan saham juga menurun. Jangan main-main.

 

Kajian lima tahun oleh Bank of America pada 2019 menunjukkan bahawa syarikat S&P dengan pelbagai kontroversi berkaitan ESG mengalami kejatuhan nilai pasaran saham mereka sebanyak kira-kira AS$534 bilion.

 

Skandal perubahan iklim, tuntutan gangguan seksual, persaingan tidak adil dan ketidakpatuhan peraturan hanyalah beberapa kes ESG yang memberi kesan buruk kepada penilaian korporat.

 

Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN) telah meletakkan Malaysia pada kedudukan 65 daripada 193 pada Indeks SDG 2021, turun daripada 60 pada 2020 dan berada di bawah Thailand (43) dan Vietnam (51), tetapi mendahului Singapura (76), Brunei (84) dan Indonesia (97).

 

Di sebalik masalah langsung kehilangan reputasi dan kepentingan tinggi dalam peralihan tempahan pengeluaran keluar dari Malaysia ke negara jiran-jiran, kejahilan terhadap ESG akan menjejaskan kemampanan dan potensi pertumbuhan perniagaan kerana akses terhad kepada modal.

 

 

ey
Definisi ESG oleh EY Malaysia

 

 

Pelabur-pelabur runcit pasti perasan juga hal ESG ini menjadi isu kepada syarikat-syarikat tersenarai di dalam sektor sarung tangan dan perladangan, industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

 

Secara idealnya menetapkan penanda aras yang signifikan untuk 2022, berkaitan cara kerja pengurus dana pada masa hadapan. Ini suatu anjakan yang besar, yang menyaksikan pengurus dana kini lebih mengutamakan elemen ESG berbanding faktor kewangan semata-mata apabila membuat keputusan pelaburan mereka.

 

Pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengotakan kata-kata mereka apabila menyatakan mahu bekerjasama dengan syarikat penerima pelaburan yang lebih telus dari segi penzahiran data berkaitan ESG dan tidak hanya mempertimbangkan pulangan jangka pendek.

 

 

KWSP

 

 

Ini dapat dilaksanakan dengan memasukkan parameter kemampanan ke dalam petunjuk prestasi utama (KPI) bagi syarikat penerima pelaburan berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Badan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG), Devanesan Evanson berkata, pemegang saham minoriti diingatkan supaya berwaspada.

 

‘’Berdasarkan perkembangan ini, kami percaya ESG merupakan faktor penting yang akan dipertimbangkan dalam keputusan pelaburan pengurus dana pada masa hadapan.

 

‘’Kini, keuntungan bukanlah segala-galanya untuk pengurus dana. Mereka bersedia menerima keuntungan yang lebih rendah atau bahkan berdepan kerugian asalkan berjaya menekankan kepentingan ESG kepada pemain pasaran,’’ katanya.

 

 

MSWG
Devanesan Evanson

 

 

MSWG membentangkan beberapa kes contoh membabitkan ESG yang memberi impak terhadap syarikat tersenarai di Bursa Malaysia:

 

  1. V.S Industry

Pada 2 Disember 2021, KWSP melupuskan 21.67 juta saham V.S. Industry Berhad, sekaligus tidak lagi menjadi antara pemegang saham terbesar V.S Industry berikutan dakwaan amalan buruh paksa.

 

Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pula menjual 6.58 juta saham V.S Industry pada hari yang sama. Ini memburukkan lagi kejatuhan harga saham V.S. Industry yang mencecah paras terendah dalam tempoh 52 minggu pada 99.5 sen sebelum susut untuk ditutup pada RM1.15 pada 2 Disember.

 

Sehingga 13 Disember, KWAP memegang 7.444% kepentingan langsung dan 1.496% kepentingan tidak langsung dalam V.S. Industry.

 

Secara kebetulan, jualan saham V.S. Industry secara besar-besaran oleh dana institusi berlaku pada hari yang sama aktivis hak pekerja asing iaitu Andy Hall yang merujuk kepada segelintir syarikat EMS tempatan, termasuk V.S. Industry, dalam taklimat pelabur yang menyentuh topik kebajikan pekerja asing di Malaysia.

 

V.S. Industry dengan pantas telah menghubungi Hall untuk mendapatkan penjelasan tentang kebimbangan beliau yang dibangkitkan sewaktu taklimat pelabur.

 

Pada 6 Disember, dalam satu kenyataan media bersama V.S. Industry, Hall menjelaskan bahawa komennya sewaktu taklimat itu “tidak bermaksud untuk merujuk secara langsung kepada V.S Industry yang tidak dapat menangani isu pekerja asing dalam syarikat tersebut”.

 

Pada masa yang sama, pihak pengurusan V.S. Industry telah bertindak untuk membendung situasi ini sebelum melarat. Pengerusi dan pengarah eksekutif syarikat, Datuk Beh Kim Ling telah memperoleh 6.358 juta saham manakala anak-anak perempuan beliau secara kolektif telah memperoleh 1.6 juta saham antara 2 dan 8 Disember.

 

 

VS INDUSTRY

 

 

Ini meningkatkan pegangan saham langsung dan tidak langsung Beh dalam V.S. Industry masing-masing kepada 7.277% dan 7.242%. Kemudian, Pengarah Urusan V.S Industry, Datuk Gan Sem Yam telah memperoleh 800,000 saham (kepentingan langsung) antara 7 dan 10 Disember. Sehingga 14 Disember, Gan sudah memiliki 4.389% kepentingan langsung dan 0.681% kepentingan tidak langsung dalam Syarikat.

 

Namun begitu, pelupusan 28.25 juta saham oleh KWSP dan KWAP mungkin disifatkan sebagai “bahagian yang terlalu besar”, sehingga boleh mencetuskan gelombang kejutan yang berpotensi mencetuskan mentaliti kelompok dalam kalangan pelabur institusi lain (seterusnya mengheret kaunter ke paras lebih rendah).

 

  1. SKP Resources

Dalam perkembangan yang sama, satu lagi pemain EMS iaitu SKP Resources Bhd telah menghubungi Hall selepas beliau mendakwa menerima aduan daripada pekerja SKP Resources berhubung kerja lebih masa yang melampau dan pembayaran yuran pengambilan pekerja.

 

Dalam satu kenyataan media bersama SKP Resources, Hall menyatakan kedua-dua pihak telah membincangkan isu yang dibangkitkan olehnya. Beliau yakin Syarikat akan menangani isu tersebut dan tetap terbuka untuk menangani cabaran lain yang mungkin timbul berkaitan pengurusan pekerja asing.

 

Walau bagaimanapun, SKP Resources tidak menghadapi tindak balas yang sama daripada pelabur institusinya.

 

KWAP, yang merupakan salah satu pemegang saham utama SKP Resources, telah menjual 353,000 saham yang dipegang secara langsung dan 1.6 juta saham yang dipegang secara tidak langsung antara 2 hingga 8 Disember dan memperoleh 4.05 juta saham secara tidak langsung melalui pengurus dananya. KWAP memegang 7.47% kepentingan langsung dan 2.06% kepentingan tidak langsung dalam SKP Resources setakat 8 Disember.

 

Selain itu, pengerusi eksekutif merangkap pengarah urusan SKP Resources, Datuk Gan Kim Huat telah memperoleh 1 juta saham dari pasaran terbuka pada 8 Disember, yang meningkatkan kepentingan langsung dan kepentingan tidak langsung beliau dalam syarikat itu, masing-masing kepada 4.53% dan 35.56%.

 

 

SKP

 

 

Pada 15 Disember, harga saham V.S. Industry telah pulih kepada RM1.27 manakala SKP Resources ditutup pada RM1.61.

 

  1. ATA IMS Bhd

Jualan saham secara besar-besaran di kaunter EMS bermula dengan ATA IMS Berhad selepas ia mencatatkan kerugian bersih suku tahunan berjumlah RM11.17 juta untuk suku tahun kedua tahun kewangan 2022 serta penamatan kontrak oleh Dyson Ltd atas dakwaan penganiayaan terhadap pekerja asing.

 

Peristiwa ini secara kolektif telah menyebabkan harga saham ATA IMS merudum ke paras terendah dalam tempoh 52 minggu iaitu 38 sen pada 30 November sebelum disatukan pada julat harga semasa iaitu 70 sen.

 

 

ATA ims

 

 

Memandangkan pengurus dana melabur dalam jumlah yang besar dalam saham syarikat Malaysia, keutamaan dan kecenderungan mereka pasti memberi kesan terhadap harga saham.

 

‘’Ini merupakan satu lagi pertimbangan yang perlu diambil perhatian oleh pemegang saham minoriti apabila membuat sebarang keputusan berkaitan pelaburan mereka,’’ kata Devanesan. – DagangNews.com

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Money, Mony oleh Billy Idol berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.