Pelantikan 2 pengarah kejurulatihan di BAM suatu pembaziran | DagangNews Skip to main content

Pelantikan 2 pengarah kejurulatihan di BAM suatu pembaziran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Bekas pemain No.1 dunia, Roslin Hashim mempertikaikan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik legenda Indonesia, Rexy Mainaky selaku pengarah kejurulatihan beregu negara dan menyifatkannya sebagai satu pembaziran.

 

Beliau berkata, kepakaran yang dimiliki Rexy sebagai bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik dan juara Dunia seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengendalikan pemain dan bukan hanya sekadar menerima laporan.

 

Katanya, ketika Rexy bersama Thailand sebelum ini, dia menggalas jawatan selaku ketua jurulatih dan bukan pengarah kejurulatihan seperti yang disandangnya ketika ini.

 

"Untuk apa BAM memanggilnya jika hanya untuk memantau pemain dan jurulatih sahaja, dengan kepakaran yang dimilikinya, Rexy wajar diberi tanggungjawab untuk membimbing pemain.

 

"Sebelum ini pun, kita hanya ada satu sahaja pengarah iaitu Morten Frost (Hansen), selepas itu Choong Hann. Cukup hanya seorang pengarah kejurulatihan.

 

"Memang benar Rexy setuju untuk bersama Malaysia tetapi tidak pernah berlaku ada dua pengarah teknikal dalam satu organisasi, memang berbeza bahagian tetapi perkara yang dijaga mereka sama sahaja," katanya ketika dihubungi Dagangnews, hari ini.

 

bam

 

Kelmarin, BAM membuat keputusan melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan bagi memastikan lebih banyak kejayaan dapat dicapai pada 2022 yang mana Piala Thomas akan menjadi fokus utama.

 

Penstrukturan semula itu menyaksikan Choong Hann yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Kejurulatihan BAM akan menggalas tugas sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan.

 

Manakala Rexy Mainaky yang sebelum ini dilantik Penolong Pengarah Kejurulatihan dinaikkan pangkat dan akan menjawat jawatan pengarah kejurulatihan beregu. - DagangNews.com