Pelarasan OPR perlu dilaksanakan, elak kenaikan mendadak pada masa akan datang - Gabenor BNM | DagangNews Skip to main content

Pelarasan OPR perlu dilaksanakan, elak kenaikan mendadak pada masa akan datang - Gabenor BNM

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pelarasan kadar dasar semalaman (OPR) yang mula dinaikkan sejak Mei lalu adalah perlu dilaksanakan bagi mengelakkan langkah-langkah yang lebih kukuh pada masa hadapan, antaranya peningkatan dengan lebih cepat dan mendadak. 

 

"Kami jelas tidak mahu berada dalam keadaan sedemikian," jelas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM),  Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus dalam sidang akhbarnya mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2022 hari ini. 

 

 

Nor Shamsiah Mohd Yunus
Nor Shamsiah Mohd. Yunus 

 

 

Menurut beliau,  Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus menilai keadaan yang berkembang dan implikasinya terhadap prospek keseluruhan kepada inflasi dan pertumbuhan domestik.

 

Katanya, sebarang pelarasan dasar pada masa hadapan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan pendirian terhadap dasar monetarik kekal akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.

 

"Saya tahu ramai yang ingin mengetahui mengenai pelarasan dasar monetari baru-baru ini, dan ingin saya ulangi bahawa OPR pertama kali dinaikkan pada Mei kerana sokongan besar yang diperlukan semasa wabak COVID-19 tidak lagi wajar.

 

"Pandangan ini kekal tidak berubah apabila ekonomi meneruskan laluan pemulihannya dengan pertumbuhan 6.9% pada separuh pertama tahun ini. Jadi, adalah jelas bahawa kita tidak lagi berada dalam krisis.

 

“Adalah penting untuk diingat bahawa OPR kita ada terendah dalam sejarah sebelum ini. Ini bermakna walaupun terdapat pelarasan OPR, dasar monetari akan kekal akomodatif tahun ini untuk menyokong pemulihan ekonomi," katanya. 

 

Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 8.9% pada suku kedua 

 

Baca : BNM : Ekonomi negara dijangka terus berkembang di sebalik pertumbuhan global yang lemah 

 

Beliau berkata, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dalam keadaan pasaran buruh yang lebih baik, pemulihan dalam aktiviti pelancongan dan prospek pelaburan yang lebih baik.

 

Jelasnya, dengan pemulihan dalam permintaan dalam negeri, terdapat beberapa tanda awal inflasi yang didorong oleh permintaan.

 

Oleh itu, tambahnya, pelarasan OPR baru-baru ini juga akan menguruskan risiko permintaan yang berlebihan terhadap tekanan harga.

 

"Ini penting kerana apabila tekanan inflasi berlebihan, ia lebih merosakkan ekonomi dan menyebabkan kesusahan yang lebih teruk kepada rakyat berbanding kenaikan kadar dasar secara beransur-ansur," jelas beliau.

 

Pada Mei lalu, MPC BNM menaikkan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 mata asas kepada 2.00% daripada paras terendah 1.75% sejak 7 Julai 2020.

 

Kadar itu dinaikkan sekali lagi sebanyak 25 mata asas dalam mesyuaratnya pada Julai lalu. Malah, para penganalisis menjangkakan OPR akan dinaikkan lagi dalam mesyuaratnya September ini. 

 

Sejak awal tahun sehingga mesyuarat MPC pada Julai, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.4%. 

 

Meskipun purata tersebut dijangka kekal dalam julat unjuran tahun ini iaitu 2.2% hingga 3.2%, inflasi keseluruhan mungkin lebih tinggi pada sesetengah bulan disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga elektrik. 

 

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata antara 2% hingga 3% pada 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi. 

 

Bagaimanapun, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

 

Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri. - DagangNews.com