Pembaziran meningkat sepanjang Ramadan  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 5 May 2022

Pembaziran meningkat sepanjang Ramadan 

 

 

 

KITA baru saja meninggalkan Ramadan dengan airmata kesedihan dan harus menunggu setahun lagi kalau panjang umur.

 

Mungkin ramai bergembira dengan kedatangan Syawal dengan berhari raya selama sebulan hingga ke Eidul Adha.

 

Buat di luar Malaysia, rasanya hari raya disambut hanya sehari setelah sebulan berpuasa. Semasa di UAE, selepas solat raya maka raya disambut dengan biasa tanpa kemeriahan untuk bersama keluarga.

 

Selalunya terus melakukan sunat enam hari di bulan Syawal yang pahalanya berpuasa selama setahun.  Ramai tidak mampu menghadapi ujian berpuasa enam kerana hanya yang benar-benar beriman dan bertakwa mampu berjaya.

 

Itulah juga kayu pengukur untuk kualiti puasa sepanjang Ramadan samada dilakukan puasa enam berturut-turut atau berasingan.

 

Apakah matlamat ketakwaan digariskan Allah SWT daripada madrasah Ramadan lalu mampu diraih sepenuhnya atau tidak? Antara ibadat yang dititikberatkan ialah doa dengan sentiasa berdoa walaupun telah hidup senang.

 

Firman Allah SWT: “Apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah: 186)

 

Masih baru lagi pembaziran makanan yang bertambah dengan amalan buruk yang berlaku dalam Ramadan dengan dilaporkan berlaku peningkatan 20 peratus berbanding bulan biasa.

 

Menghairankan kerana Ramadan sepatutnya mendidik jiwa supaya dapat mengawal diri daripada godaan hawa nafsu sebagai menghormati konsep sebenar amalan puasa.

 

Pembaziran makanan dalam bulan Ramadan merupakan satu perkara yang tidak masuk akal apabila perkara itu sering berlaku setiap kali bulan puasa tiba dan terus berlaku.

 


 

wainuiomata

 


 

Pendidikan dan amalan disiplin perlu dititikberatkan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran makanan sehingga menyimpang konsep puasa sebenar.

 

Pada hari biasa dilaporkan 45 peratus daripada keseluruhan sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan di negara ini adalah sisa buangan bahan makanan dengan anggaran 17,000 tan metrik sehari.

 

 24 peratus buangan bahan makanan dilaporkan masih elok dan boleh mengisi perut tiga juta orang sehari. 

 

Peratusan pembaziran membayangkan betapa seriusnya pembaziran makanan yang berlaku dengan perbuatan yang bercanggah dengan falsafah berpuasa dan golongan pembazir adalah saudara kepada syaitan.

 

Ini dijelaskan dalam al-Quran menerusi ayat 27 surah al-Isra’ yang bermaksud ‘Sesungguhnya orang-orang yang membazir ialah saudara syaitan. Dan syaitan itu sangat kufur kepada tuhannya’.

 

Ayat 31 surah al-A’raf pula Allah memberi peringatan yang bermaksud ‘Makan dan minumlah tetapi janganlah berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melakukan sesuatu secara berlebihan’.

 

Kita harus menginsafi diri dengan tidak membazirkan makanan terutama sepanjang Ramadan dan apakah kita telah menyedari?

 

Ibadah puasa sebenarnya berupaya membetulkan tabiat pengambilan makanan untuk berjimat cermat dengan makan apa yang ada. 

 

Perubahan fisiologi badan akan berlaku pada fasa awal puasa dengan menunjukkan sistem dalam badan manusia mampu berperanan secara biasa. Segala sel, otot dan organ tubuh terbabit secara langsung sewaktu berlaku perubahan fisiologi dan fizikal itu.

 

 

wainuiomata

 

 

Selepas lima belas hari berpuasa selalunya pengamal akan berasa badan semakin ringan sebab sebahagian lemak yang tersimpan dalam otot dan hati telah dibakar dan digunakan sebagai sumber tenaga. 

 

Keadaan ini akan meningkatkan tahap kesihatan tubuh orang berpuasa.

 

Tawaran hotel yang menawarkan pelbagai hidangan makanan yang terlampau banyak yang tidak kena dengan amalan puasa. Pendidikan berjimat ini perlu bermula daripada masyarakat dan pendidikan diajar seawal di rumah, bukan di sekolah untuk kanak-kanak.

 

Pembaziran sering berlaku setiap kali Ramadan kerana banyak makanan dibeli lebih daripada dikehendaki untuk berbuka.

 

Realiti perlu dicegah sebab dua tahun PKP dapat kurang pembaziran. Masyarakat dalam ekosistem membeli lebih dari keperluan yang mana bercanggah dengan falsafah puasa dan realiti ini berlaku tiap-tiap tahun.

 

Dengan memberi nasihat di mana suasana pengguna bukan dari sudut buta huruf tetapi berpelajaran dan berpendidikan. Dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan memberi tekanan membuatkan mereka perlu lebih tanggungjawab.

 

Bagaimanapun penjual tidak boleh dipersalahkan dalam soal pembaziran makanan kerana penjual hanya mendapat keuntungan apabila pengguna membeli lebih banyak daripada yang diperlukan.

 

Bukan disalahkan penjaja namun di mana pergi pengguna yang waras. Orang beriman mestilah mendidik keluarga  supaya di tahun 2022 ini hanya membelanjakan apa yang perlu untuk mengelakkan pembaziran. Harus ingat untuk menjadi golongan bijak jangan lupa ukur baju pada badan sendiri.

 

Seharusnya menginsafi dengan kehidupan insan yang serba kekurangan untuk membentuk sahsiah diri dan tidak bersikap mementingkan diri.

 

Untuk renungan apabila berpuasa baru menyedari betapa peritnya hidup sebagai orang miskin yang terpaksa menahan lapar dan dahaga. Sebab tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli biar sebuku roti.

 

 

wainuiomata

 

 

Dalam semangat menginsafi masih ada dalam kalangan kita yang gagal menghayati pengertian Ramadan dengan terus membazir ketika berbuka puasa.

 

Apalagi dalam kalangan kita yang mampu menghadiri bufet Ramadan di hotel atau restoran ternama bersikap tamak dan gelojoh hingga membazir dan membuang makanan.

 

Selalunya pembaziran diberi perhatian dan peringatan saban tahun, namun tetap berlaku dan berleluasa seolah-olah semangat dan roh Ramadan tidak terkesan dalam hati sanubari.

 

Apa yang lebih mengejutkan, terdapat juga berebut-rebut dan enggan beratur untuk mendapatkan makanan ketika di bufet Ramadan.

 

Selalunya selalu mengambil makanan dengan banyak ketika di hidangan bufet dengan tidak mahu beratur mengikut prosedur. Namun akhirnya tidak mampu menghabiskan makanan kerana terlalu kenyang dan membuangnya.

 

Perkara yang sama  berlaku di rumah apabila kaum  ibu yang memasak lauk-pauk yang banyak hingga penuh satu meja sedangkan ahli keluarga tidak ramai.

 

 

wainuiomata

 

 

Sama dengan mereka yang mengunjungi bazar Ramadan saban hari dengan boros membeli kuih-muih sehingga seluruh bazar mahu dibeli. Jangan mengikut nafsu dan berbelanja mengikut keperluan.

 

Selalunya sewaktu lapar dan dahaga, perasaan teringin melihat makanan dan minuman yang dijual hingga tidak cukup tangan memegang plastik lauk. Sudahnya tidak dijamah sewaktu berbuka dan terbuang begitu sahaja.

 

Ramai menyedari umat Islam di negara yang bergolak seperti Palestin, Syria tiada makanan untuk disediakan kepada keluarga ketika berbuka. Apatah lagi untuk hidangan pada hari-hari biasa sebelum dan selepas Ramadan.

 

Kebanyakan berlapar sepanjang hari dan sedangkan kita bermewah-mewah dengan makanan. Langsung tanpa berasa bersalah membuang makanan yang masih elok ke dalam tong sampah sebab sedawa kenyang selepas berbuka puasa.

 

Harus diberi peringatan tentang rezeki yang diberikan oleh Allah bukan untuk dibazirkan dan dibuang begitu sahaja. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang suka membazir dalam kehidupan yang seperti roda, mungkin tiba masanya untuk kita berlapar tanpa makanan.

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags