Penamatan kontrak Supermax, CGS-CIMB negatif, turunkan penarafan kepada 'Kurangkan' | DagangNews Skip to main content

Penamatan kontrak Supermax, CGS-CIMB negatif, turunkan penarafan kepada 'Kurangkan'

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 21 Jan -  CGS-CIMB negatif terhadap laporan media terkini yang menyatakan bahawa kerajaan Kanada telah menamatkan dua kontrak dengan Supermax Corp Bhd bagi  pembekalan sarung tangan nitril.

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penganalisis itu berkata, ia percaya bahawa pesanan daripada kerajaan Kanada membentuk sebahagian besar daripada jualan Supermax ke Kanada iaitu kita-kira 9% daripada jumlah hasil FY21. 

 

"Selain daripada jualan yang lebih rendah (kadar penggunaan yang lebih rendah juga), kami percaya bahawa ini juga akan melemahkan lagi kelayakan Supermax dari segi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Akibatnya, ini mungkin menimbulkan kebimbangan mengenai lebih banyak kemungkinan penamatan kontrak daripada pelanggan utama lain pada masa hadapan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Semalam Supermax mengesahkan bahawa anak syarikat Kanada Kumpulan Supermax, Supermax Healthcare Canada Inc, bersetuju untuk menamatkan dengan persetujuan bersama dengan Kerajaan Persekutuan Kanada 2 kontrak sedia ada bagi pembekalan sarung tangan nitril. 

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, baki 2 kontrak ini pada nilai FOB ialah AS$12.67 juta (RM53.07 juta) atau di bawah 0.8% daripada hasil Kumpulan.

 

"Kontrak unit Kanada Kumpulan untuk produk Peralatan Pelindung Diri (PPE) lain kekal dan tidak terjejas," kata syarikat itu.

 

CGS-CIMB menurunkan pendapatan sesaham (EPS) FY22-24F dengan mengambil kira volum jualan yang lebih rendah dan penurunan dalam harga purata jualan (ASP) dan harga sasaran saham Supermax juga diturunkan kepada RM1.00. 

 

"Kami juga menurunkan penarafan kepada 'Kurangkan' daripada 'Kekal' kerana pada pandangan kami, penilaian semasa (15% premium kepada purata 5 tahun) tidak mengambil kira kebimbangan ESG yang berterusan (aspek buruh asing) serta penurunan yang lebih drastik daripada jangkaan dalam keuntungan FY22-24," katanya. -DagangNews.com