Pendapatan TNB Q3 meningkat 16.83% kepada RM12.98 bilion | DagangNews Skip to main content

Pendapatan TNB Q3 meningkat 16.83% kepada RM12.98 bilion


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Tenaga Nasional Bhd. merekodkan pendapatan berjumlah RM12.98 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, meningkat 16.83% daripada RM11.11 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pergerakan pendapatan ini adalah hasil daripada kedudukan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) di bawah pemulihan sebanyak RM1.31 bilion berbanding kedudukan pemulihan yang berlebihan berjumlah RM956.8 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Perbelanjaan operasi meningkat daripada RM9.55 bilion kepada RM10.82 bilion disebabkan kos penjanaan yang tinggi, menyebabkan peningkatan keuntungan operasi sebanyak RM201.1 juta atau 10.8%. 

 

Keuntungan selepas cukai bagi tempoh suku dikaji juga meningkat 4.7% kepada RM1.049 bilion berbanding RM1.002 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ini terutamanya disumbangkan oleh keuntungan operasi yang lebih tinggi, diimbangi kerugian terjemahan tukaran asing dan peruntukan cukai yang lebih rendah diiktiraf pada suku semasa.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, pendapatan TNB meningkat 9.6% kepada RM36.9 bilion daripada RM33.7 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan ini adalah berikutan jualan elektrik yang lebih tinggi sebanyak RM3.13 bilion, meningkat 9.5% daripada RM33.08 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Termasuk jualan elektrik ini, ICPT yang berada dalam kedudukan di bawah pemulihan adalah sebanyak RM1.3 bilion berbanding kedudukan pemulihan yang berlebihan sebanyak RM1.48 bilion dilaporkan pada tempoh sebelumnya, disebabkan kos penjanaan lebih tinggi. 

 

 

Datuk Ir. Baharin Din
Datuk Ir. Baharin Din

 

 

Kesan pandemik COVID-19 yang berpanjangan telah menjejaskan tingkah laku pembayaran pelanggan apabila hutang tertunggak yang lebih lama menjadi semakin mencabar untuk dipulihkan.

 

Oleh itu, kerugian bersih yang lebih tinggi atas kemerosotan nilai instrumen kewangan bagi RM906.9 juta telah diiktiraf dalam tempoh semasa.

 

Hasil keuntungan operasi adalah peningkatan bersih sebanyak RM606.2 juta atau 10.3%, meningkat kepada RM6.51 bilion daripada RM5.9 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Sementara itu, dalam kenyataan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, Kumpulan merekodkan satu lagi tempoh prestasi berdaya tahan terutamanya disokong oleh aktiviti ekonomi yang semakin berkembang baik.

 

Bagaimanapun, katanya, ia menyaksikan penguncupan sebanyak 6.7% bagi jualan elektrik dalam tempoh suku ketiga berbanding suku sebelumnya, kesan daripada peralihan dinamik disebabkan pandemik yang berterusan dan bersiap sedia menghadapi ketidaktentuan yang berlaku pada masa akan datang.

 

"Namun, permintaan dijangka meningkat pada bulan-bulan akan datang dan memasuki tahun hadapan memandangkan lebih banyak ekonomi dibuka untuk perniagaan.

 

"TNB juga terus bekerjasama dengan kerajaan dalam pelbagai bidang untuk menyokong pemulihan ekonomi negara.

 

 

TNB

 

 

"Ini termasuklah inisiatif kesan pengganda melalui program biasiswa, program pembangunan vendor serta program kemahiran semula intensif untuk melatih dan menempatkan pekerja dalam sektor pekerjaan," katanya. 

 

Di samping itu, menurut beliau, TNB merancang untuk meningkatkan portfolio tenaga diperbaharui sebanyak 66% diikuti termal bukan arang batu (24%) dan arang batu (10%) menjelang 2035 berbanding ketika ini 14% RE, termal bukan arang batu (41%) dan arang batu (45%). 

 

"Kami akan terus meneroka dan melabur dalam teknologi hijau yang mempunyai potensi untuk mempercepatkan usaha kami ke arah sifar bersih selepas 2035," jelas beliau.  - DagangNews.com