Penggunaan e-dompet dari perspektif kepatuhan syariah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 31 August 2021

Penggunaan e-dompet dari perspektif kepatuhan syariah

 

 

E-WALLET atau dompet digital (e-dompet) telah diperkenalkan oleh pemain teknologi. Kini sebarang bentuk pembayaran semakin mudah. Pengguna perlu memiliki kod tersendiri untuk pemindahan wang kepada pihak lain dengan hanya menggunakan kod tersebut. Pengguna dan pedagang menggunakan aplikasi scan untuk memindahkan wang antara satu sama lain. 

 


Secara tradisi, apabila pengguna pergi ke kedai untuk membeli barang, pengguna memindahkan wang daripada dompet mereka kepada pekedai. 

 

Yang membezakan dompet biasa dan e-dompet hanyalah bentuknya; dompet berbentuk fizikal manakala e-dompet dalam bentuk maya. 

 

Antara contoh e-dompet terkenal di Malaysia termasuklah GrabPay, Touch n Go, Boost dan Razerpay. Di lapangan antarabangsa pula Samsung Pay, Alipay, Googlepay adalah jenama e-dompet yang popular.

 

Aplikasi e-dompet ini boleh merekodkan segala perbelanjaan pengguna, justeru, mereka tidak perlu memikirkan ke mana duit dibelanjakan.

 

Tambahan lagi, dengan adanya e-dompet, para pengguna tidak perlu lagi beratur panjang di plaza tol atau pasar raya untuk membuat bayaran atau menambah nilai kerana ia boleh dilakukan secara dalam talian sahaja.

 

Ini akan menjimatkan masa dan yang menyeronokan, pelanggan tidak lagi akan menerima duit baki di kaunter tunai. 

 

Di samping itu, pelbagai tawaran diskaun ditawarkan seperti pulangan tunai dan baucer daripada pelbagai syarikat pedagang sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan pengguna.

 

Bagi penulis, secara teknikal, e-dompet ini adalah alat elektronik atau alat perkhidmatan dalam talian yang membolehkan individu membuat transaksi elektronik. 

 

Antara transaksi e-dompet termasuklah pembelian barangan secara dalam talian menggunakan komputer atau telefon pintar daripada mana-mana pembekal atau penjual barang. 

 

Aplikasi penggunaan ini sebenarnya sama seperti kad kredit atau kad debit kerana ia mesti bergabung dengan akaun bank individu untuk membuat pembayaran. 

 

Dengan adanya kata kunci (password), e-dompet bertindak sebagai akaun prabayaran dan membolehkan pengguna membuat pembayaran secara mudah alih. 

 

Sebelum diaktifkan, mereka perlu memasukkan maklumat bank mereka untuk disimpan di dalam e-dompet. Apabila tiba masanya, maka individu tersebut boleh membuat pembayaran daripada aplikasi tersebut.

 

 

Grabpay
Kemudahan e-dompet seperti GrabPay banyak membantu memudahkan kehidupan seharian.

 

 

Pandangan syariah


Islam hakikatnya tidak pernah menghalang sebarang bentuk teknologi baharu. Bahkan Islam mengiktiraf dan menggalakkan penggunaan akal manusia pada tahap maksimum untuk kemaslahatan kehidupan manusia. 

 

Islam memandu prinsip akal agar tidak bercanggah dengan kehidupan manusiawi. Jenis apapun teknologi yang direka cipta, ia mestilah bertujuan untuk kebaikan kehidupan manusia dan bukan mencabar kekuasaan tuhan. Objektif adalah sama untuk mencapai maqasid syariah.

 

Prinsip syariah dalam mualamat dan transaksi moden yang berlaku hari ini adalah bersifat harus (halal) selagi tidak mempunyai unsur riba, gharar, judi, serta tidak ada perkara yang haram dan kezaliman. Evolusi dan inovasi manusia tetap perlu diraikan sesuai dengan zamannya.

 

Penulis bersetuju dengan pendapat yang mengatakan penggunaan e-dompet ini bersifat harus. E-dompet adalah alat elektronik kepada perkhidmatan dalam talian, yang digunakan untuk tujuan membuat pembayaran dengan lebih berkesan, efisien dan mudah. 

 

Penulis memberi kiasan e-dompet ini umpama 'gelas'. Gelas itu 'alat' atau 'tool' untuk kita minum. Oleh demikian jika penggunaan gelas untuk minum air, maka ia dibenarkan. 

 

Namun, jika gelas ini diguna untuk minum arak, maka ia tidak mematuhi kehendak syariah. Kiasan ini sama juga kepada e-dompet. Sekiranya, ia digunakan untuk tujuan yang baik, maka ia dibenarkan.

 

Bagi penulis, e-dompet sebenarnya tidak ada status ‘halal’ atau ‘haram’. Kepatuhan syariah bergantung kepada cara aplikasi serta tujuan penggunaannya oleh pedagang dan pelanggan.

 

Kesimpulannya, perkhidmatan e-dompet ini, hingga kini masih boleh dipraktikan selagi tidak melanggar prinsip syariah apatah lagi ia sebenarnya membantu manusia memudahkan urusan kewangan harian.

 

Bagaimanapun, para penasihat syariah masih lagi meneliti dan memperbaiki beberapa isu teknikal, aplikasi kontrak, proses dan kaedah promosi oleh syarikat penyedia e-dompet agar tidak akan ada lagi isu perkhidmatan e-dompet yang tidak patuh syariah. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia mulai 1 September ini dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

 

Portfolio Tags