Penggunaan IBS di Malaysia masih ketinggalan terutama projek pembinaan swasta | DagangNews Skip to main content

Penggunaan IBS di Malaysia masih ketinggalan terutama projek pembinaan swasta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Mac - Penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) di Malaysia masih ketinggalan berbanding negara lain di peringkat global, khususnya Eropah dengan Sweden kini menerajui teknologi tersebut, menurut CGS-CIMB Research. 

 

Penganalisisnya, Sharizan Rosely turut mendapati penggunaan IBS juga masih rendah dalam projek sektor swasta berbanding awam, dan antara faktornya disebabkan penambahan dari segi kos pembinaan, yang mungkin diterjemahkan ke dalam ruang yang terhad bagi menyalurkan kos kepada pengguna untuk kategori tertentu daripada hartanah.

 

Katanya, secara dasarnya, kaedah IBS ialah pembinaan bangunan dengan mencantumkan bahagian-bahagian yang telah dibina yang dibuat dalam kilang.

 

"Ini terutamanya terpakai kepada pembinaan rumah kediaman atau pembangunan komersial dan biasanya berkaitan dengan pemaju hartanah atau kontraktor bangunan.

 

"IBS tidak digunakan secara meluas dalam projek infrastruktur pengangkutan walaupun ia boleh digunakan untuk pembinaan stesen di sepanjang laluan rel bandar, contohnya, projek MRT dan LRT di Lembah Klang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), penggunaan IBS dalam projek awam meningkat kepada 87% pada 2020 berbanding 24% pada 2014, manakala bagi projek swasta meningkat kepada 41% daripada 14% bagi tempoh berkenaan.

 

Purata kadar penggunaan IBS sebanyak 64% pada 2020 antara projek sektor swasta dan sektor awam melebihi sasaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sebanyak 50% menjelang akhir tempoh CITP.

 

Menurut CIDB, penggunaan IBS yang lebih besar dalam jangka masa lebih lama (sementara pada masa sama menyumbang kepada pengurangan jejak karbon) akan dapat meningkatkan lagi produktiviti industri daripada 2.3 kaki persegi setiap hari dengan kaedah konvensional kepada 10.4 kaki persegi setiap hari.

 

Dalam pada itu menurut Sharizan, peningkatan penggunaan pembinaan mampan akan muncul sebagai tema pemulihan sektor pembinaan bagi tempoh jangka panjang, disokong oleh langkah dasar makro baharu dan pengaktifan semula projek MRT3 bernilai RM31 bilion.

 

Katanya, ini akan mengurangkan risiko sektor jangka pendek hingga sederhana, seperti kelemahan dalam kontrak projek mega baharu yang lain, ruang fiskal kerajaan yang terhad dan ketidaktentuan mengenai kontrak mega disebabkan landskap politik.

 

"Projek MRT3 yang diluluskan kerajaan baru-baru ini akan menjadi tunjang utama kepada projek pemulihan ekonomi.

 

"Ini kerana projek berkenaan memberi kesan pengganda yang lebih tinggi dan kelebihan kemampanan jangka panjang di sepanjang rantaian bekalan rel dengan penggunaan kaedah pembinaan alternatif (mampan) yang lebih baik seperti IBS," jelasnya. 

 

Beliau berkata, kontraktor rel dengan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang unggul telah menunjukkan keupayaan untuk menerima pakai, melancarkan dan menambah baik strategi kemampanan, membolehkan mereka mendapat manfaat daripada tender kontrak mega.

 

Oleh itu, Gamuda Bhd. merupakan pilihan utama CGS-CIMB bagi kedua-dua projek MRT3 dan ESG, di samping IJM Corp. Bhd. dan HSS Engineers Bhd.

 

"Kami juga mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dan kekal berhati-hati dengan positif mengenai pemulihan ekonomi pasca pandemik bagi projek mega yang lain pada 2022. 

 

"Ketidaktentuan politik dan pembiayaan yang terhad bagi projek mega selain MRT3, masih kekal menjadi risiko utama," katanya.

 

Firma itu memberi saranan 'tambah' kepada Gamuda, HSS Engineers dan IJM Corp. dengan harga sasaran masing-masing pada RM4.05, 68.5 sen dan RM1.79. - DagangNews.com