Pengunjung mahu penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan lebih kerap | DagangNews Skip to main content

Pengunjung mahu penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan lebih kerap

Fairudz Latiff dan isterinya, Rohana Ag Zulkiflee teruja dengan penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah.
Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 22 Mei - Ribuan pengunjung siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di sini rata-rata teruja dan berpuas hati dengan pelbagai produk, barangan dan peluang yang ditawarkan menerusi program berkenaan.

 

Program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu ternyata dibanjiri masyarakat dari pelbagai peringkat usia, bangsa dan latar belakang.

 

Tinjauan turut mendapati, selain gerai pameran pelbagai agensi kerajaan, pengunjung turut mengambil peluang meninjau sendiri puluhan gerai jualan dan pameran usahawan tempatan serta menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia secara percuma.

 

Seorang pengunjung, Anizam Zainuddin, 42, berkata, program itu memberikan dimensi baharu baik dari segi aspek peluang perniagaan ataupun harga barangan yang ditawarkan.

 

Katanya, produk-produk yang dijual juga sangat unik dan ia membuktikan barangan jualan di Sabah mampu mendapat tempat di pasaran luar negara.

 

“Saya berkesempatan datang ke sini untuk melihat sendiri apa sebenarnya yang ada sepanjang program tiga hari ini.

 

“Saya teruja apabila melihat ia bukan saja untuk perniagaan semata-mata, malah peluang lain seperti pekerjaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi selari dengan tema program ini iaitu Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya ketika ditemui DagangNews, hari ini.

 

 

AKM
Anizam Zainuddin

 

 

Anizam berkata, dia mengetahui program berkenaan daripada rakan-rakan yang memuat naik status di media sosial yang memuji kehebatan program berkenaan.

 

Seorang lagi pengunjung, Fairudz Latiff, 41, berkata, sebaik mengetahui penganjuran program berkenaan, dia dan keluarga mengambil keputusan untuk datang dari Kudat untuk melihat sendiri kehebatannya.

 

 

AKM

 

 

AKM

 

 

Katanya, mereka sangat teruja melihat pelbagai produk terutamanya makanan yang ‘diinovasi’ sangat menarik dan sedap dimakan.

 

“Sebelum ini, kita tahu kebanyakan makanan yang ditawarkan di sini adalah makanan tradisi dari pelbagai suku kaum.

 

“Tapi apabila diberitahu kelainan yang dibuat, saya mencuba sendiri dan ternyata ia memang sedap dan hebat,” katanya.

 

 

AKM
Rabili Atoh

 

 

Seorang lagi pengunjung, Rabili Atoh, 51, berkata, beliau amat berpuas hati dengan program berkenaan.

 

Malah ketika ditemui, dia memberitahu ia adalah lawatan keduanya sejak pelancarannya, kelmarin. - DagangNews.com