Peniaga mesti belajar urus kewangan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 21 February 2022

Peniaga mesti belajar urus kewangan

Oleh Dr. Nurazleena Ismail

 

 

“Ramai usahawan yang ada duit, tapi tak ramai yang boleh urus duit dengan bijak.”

 

Tidak sampai setahun dua, perniagaan pun tutup. Kenapa? Tidak pandai urus wang….

 

Produk bagus, dah ada pelanggan yang setia tapi perniagaan tidak boleh diteruskan disebabkan tiada ilmu dalam menguruskan kewangan dengan bijak.

 

Kata-kata ini selalu bermain di fikiran para penasihat perancangan kewangan kepada para usahawan atau “founder” yang masih kabur dengan pengurusan kewangan yang bijak.

 

Perkara sedemikian selalu terjadi kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana.

 

Mereka kurang ilmu dalam perniagaan dan tidak ingin menimba ilmu tersebut.

 

Adakah mereka tidak tahu? Atau tidak ingin ambil tahu? Itu adalah dua perkara yang berbeza.


 

masmed

 


Mereka tidak tahu kerana kurang pendedahan mengenai maklumat kursus-kursus yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan dan NGO.

 

Mereka tidak ingin ambil tahu atau bersikap tidak endah walaupun telah didedahkan pelbagai maklumat mengenai latihan dan kursus dalam perniagaan, tetapi tidak cuba untuk meluangkan masa mengikutinya.

 

Kenapa? Sebab mereka kata mereka sudah tahu segala-galanya mengenai pengurusan kewangan.

 

Hakikatnya, ramai usahawan di luar sana masih menjalankan perniagaan tanpa ada rekod kewangan yang betul yang menyebabkan mereka tidak tahu sama ada perniagaan mereka untung ataupun rugi.

 

Kebanyakan usahawan mikro dan kecil menganggap pengurusan kewangan perniagaan tidaklah penting, kerana selagi ada duit hendak pusing modal, ada untung sedikit sudah cukup bagi mereka.

 

Sikap seperti ini amat dikhuatiri kerana mereka tiada simpanan wang dari hasil perniagaan untuk menghadapi perkara yang tidak diingini di masa hadapan.

 

Dalam merealisasikan aktiviti keusahawanan, pengurusan kewangan amatlah penting untuk dititikberatkan dalam menjamin kelestarian sesebuah perniagaan.

 

Kebanyakan usahawan tidak mengambil berat tentang bagaimana untuk menguruskan kewangan dengan bijak.


 

kursus
Luangkan masa menyertai kursus pengurusan kewangan. - Gambar hiasan

 

 

Bagaimana hendak urus wang dengan bijak?

 

Berikut adalah berapa panduan:

  1. Asingkan wang peribadi dengan wang perniagaan. Usahawan perlu membuka akaun bagi syarikat mereka bagi memudahkan mereka mengurus wang syarikat. Jangan jadi “pencuri” wang syarikat sendiri. Maksud “pencuri” di sini adalah menggunakan wang syarikat untuk kegunaan peribadi. Ini berlaku kepada usahawan yang mencampur adukkan wang peribadi dan wang syarikat.

     
  2. Simpan dan rekod semua transaksi. Para usahawan perlu menyimpan semua penyata akaun, resit, bil dan invois yang berkaitan dengan perniagaan. Ini akan memudahkan usahawan untuk menyemak rekod transaksi yang telah dibuat sama ada rekod tersebut dibuat menggunakan “Microsoft Excel” atau secara manual.


    Seterusnya, para usahawan juga perlu merekod segala pembelian dan jualan yang terlibat dalam perniagaan. Setiap kos pembelian bahan mentah ataupun stok yang akan kita jual, perlu direkod tarikh, item, kuantiti, harga dan nama pembekal/penjual. Begitu juga dengan hasil jualan yang diterima daripada pelanggan, perlu direkod sama ada wang diterima secara tunai atau pembayaran terus ke akaun bank.


    Selain itu juga, usahawan perlu merekod segala perbelanjaan selain daripada kos belian seperti perbelanjaan pengangkutan, percetakan, bil utiliti, sewa kedai, gaji pekerja, kos pemasaran dan sebagainya.

     
  3. Usahawan perlu menetapkan berapakah jumlah “petty cash” yang diperlukan dalam tempoh sebulan untuk kegunaan kecemasan dan perbelanjaan tunai segera. Jumlah tersebut mestilah bersesuaian dengan operasi syarikat.


 

masmed
Amat penting ada ilmu pengurusan kewangan. - Gambar hiasan

 


Kesimpulannya, usahawan harus membiasakan diri menyimpan rekod perniagaan yang lengkap walaupun perniagaan yang dijalankan masih kecil.

 

Dengan menyimpan rekod perniagaan secara konsisten, ia akan lebih memudahkan perniagaan anda untuk berkembang dengan cepat dan teratur di masa hadapan. Seterusnya, dapat melestarikan perniagaan di pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Kata-kata orang yang berjaya:

 

“Orang yang paling teruk nak dilayan ialah orang yang miskin minda” (Jack Ma)    - DagangNews.com

 

 

Dr. Nurazleena Ismail adalah Koordinator Keusahawanan, Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM Cawangan Kelantan

 

Portfolio Tags