Perdana Menteri arah JPA tambah elaun jurulatih, tenaga pengajar Akademi Bomba | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri arah JPA tambah elaun jurulatih, tenaga pengajar Akademi Bomba

Gambar portal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KEPALA BATAS 22 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM).

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan telah meluluskan permohonan pemanjangan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di akademi tersebut.

 

Beliau berkata, kelulusan elaun itu akan memberi manfaat kepada 114 orang pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima buah APBM.

 

"Walaupun pada peringkat awal kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, namun beliau berpandangan kadar itu tidak sesuai.

 

"Saya telah mengarah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar berikut:

 

PERTAMA - Bayaran Insentif HAZMAT: melibatkan kadar bayaran RM30.00 bagi setiap operasi (maksimum RM600.00 sebulan)

KEDUA - Bayaran Insentif Penyelamat Di Air: melibatkan kadar bayaran RM30.00 bagi setiap operasi (maksimum RM600.00 sebulan)

KETIGA - Bayaran Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS): melibatkan kadar bayaran secara pro rata (maksimum RM150.00 sebulan)

KEEMPAT - Bayaran Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu: melibatkan kadar bayaran secara pro rata (maksimum RM150.00 sebulan)

 

"Diharapkan dengan kelulusan ini, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas ini akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berwibawa," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Bomba Sedunia 2022 di pekarangan Dewan Millenium di sini, hari ini.

 

Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat atas segala khidmat dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan nyawa dan harta benda Keluarga Malaysia. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Sesungguhnya jasa bakti dan pengorbanan anggota bomba dan penyelamat akan terus dihargai oleh seluruh Keluarga Malaysia serta generasi akan datang," katanya.

 

Beliau berkata, tugas anggota penyelamat amat berisiko dan berbahaya, namun dengan perkembangan era teknologi, Keluarga Malaysia sudah mula memahami magnitud cabaran yang lebih kompleks dan rumit yang dihadapi oleh anggota bomba. 

 

"Ketika banjir buruk pada penghujung tahun lepas, saya membuat pemantauan di kawasan terjejas teruk seperti di Selangor dan Kelantan, dan melihat sendiri komitmen dan dedikasi pasukan bomba dalam menjamin keselamatan Keluarga Malaysia. 

 

"Saya dimaklumkan, ketika itu ada rumah pegawai dan anggota bomba dan penyelamat yang ditenggelami air namun mereka tidak sempat pulang kerana terlalu sibuk dengan misi menyelamatkan nyawa dan harta benda mangsa banjir.

 

"Malah ada yang bekerja 72 jam tanpa henti dan tidak tidur semata-mata kerana fokus dengan tugas membantu orang yang memerlukan. Keutamaan mereka ialah keselamatan dan nyawa orang lain," katanya.

 

Beliau berkata, pengorbanan dan sifat altruisme iaitu mengutamakan kepentingan orang lain lebih daripada diri sendiri seumpama ini amatlah beliau hargai dan anggota bomba merupakan contoh terbaik kepada Keluarga Malaysia.

 

"Semasa pandemik COVID-19, anggota bomba merupakan salah satu Frontliners Keluarga Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat merupakan antara organisasi kecemasan terawal digerakkan untuk menangani penularan wabak ini, antaranya bantuan kemanusiaan dan bencana, pemindahan mangsa, disinfeksi bangunan sehinggalah kepada membantu pengurusan pengebumian jenazah pesakit COVID-19. 

 

"Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan tertinggi kepada 'Wira-Wira Merah' negara atas komitmen dan jasa bakti mereka ketika negara menghadapi krisis kesihatan rentas sempadan ini. Syabas," katanya. - DagangNews.com