Perdana Menteri jumpa Anwar, Guan Eng dan Mohamad Sabu di Parlimen | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri jumpa Anwar, Guan Eng dan Mohamad Sabu di Parlimen

KUALA LUMPUR 20 Jan - Tiga wakil parti pembangkang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen, hari ini.

 

Pertemuan selama satu jam itu melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bagi membincangkan mengenai beberapa perkara.

 

"Saya bersama saudara Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Parlimen.

 

''Kami bangkitkan soal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentang dalam sesi Parlimen akan datang.

 

"Turut dibincang perihal rasuah yang semakin menggila serta langkah pasca banjir yang dihadapi sebelum ini," kata Anwar dalam satu hantaran dilaman Facebook miliknya, pada Khamis. - DagangNews.com