Perdana Menteri percepat mesyuarat Kabinet bincang isu kos sara hidup, harga barangan | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri percepat mesyuarat Kabinet bincang isu kos sara hidup, harga barangan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Ismail Sabri pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di ibu negara, hari ini. - Gambar Astro Awani

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kerajaan mempercepatkan mesyuarat Kabinet mingguan kepada Isnin (esok) bagi membincangkan mengenai kos sara hidup, peningkatan harga serta masalah bekalan barangan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga diminta membentangkan mekanisme bagi menghadapi dan mengatasi isu-isu berkenaan.

 

Mesyuarat Kabinet kebiasaannya diadakan pada Rabu, setiap minggu.

 

“Jadi, esok (Isnin) saya panggil mesyuarat Kabinet untuk melihat khusus dari segi bagaimana kita nak mengimbangi kenaikan harga barang yang mendadak ini. Dan saya minta KPDNHEP untuk membentangkan.

 

“Begitu juga dengan penawaran makanan termasuk ayam, Kementerian Pertanian perlu bentang dan umumkan. AP (Permit Kelulusan) dihapuskan dan saya melihat mungkin AP-AP lain pun akan dikaji, sama ada kita akan hapuskan atau tidak.

 

“Banyak lagi AP lain yang kita akan tengok bukan setakat makanan sahaja. Jadi kita harap apabila AP dihapuskan, sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan tekanan kita dari segi pengurangan bekalan barangan.

 

"Dan kalau banyak pihak yang terlibat, mungkin harga pun boleh dikurangkan. Tetapi kita tunggu keputusannya. Dan esok, semua kementerian ini akan membentangkan apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

 

“Sebab, kalau perang berlarutan, kesannya adalah jangka panjang. Dan kita akan tengok secara lebih lanjut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini. 

 

Ismail Sabri berkata, sekiranya lebih banyak pihak yang terlibat dalam perbincangan mengenai masalah tersebut, ada kemungkinan harga barangan boleh dikurangkan.

 

"Tetapi, kita tunggu keputusannya. Esok, semua kementerian ini akan membentangkan apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

 

“Sebab, kalau perang berlarutan, kesannya adalah jangka panjang. Dan kita akan tengok secara lebih lanjut,” katanya, merujuk kepada peperangan antara Rusia dan Ukraine.

 

Rabu lalu, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan AP bahan makanan dari luar negara ke Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.

 

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, selain hal berkaitan harga barangan, mesyuarat Kabinet esok akan turut meneliti masalah bekalan ayam dan gandum yang disifatkan sebagai isu global, lapor Astro Awani.

 

“Permintaan dan penawaran kepada makanan mungkin terjejas teruk kerana satu pertiga pengeluaran gandum dunia adalah oleh Rusia dan Ukraine.

 

“Saya difahamkan, ada beberapa negara telah menyekat eksport di negara mereka kepada hanya untuk penggunaan dalam negara.

 

"Jadi, kalau dari segi teori ekonomi, permintaan melebihi penawaran tentu sahaja akan mengakibatkan harga meningkat,” ujarnya. - DagangNews.com